SEGAMAT – Fenomena El Nino dengan cuaca panas dan kering yang dijangka akan berlaku di seluruh negara pada penghujung Januari hingga Jun 2017 dikhuatiri akan menjadi penyumbang peningkatan kes demam denggi di negeri ini.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata, dalam keadaan cuaca kering dan suhu tinggi, kitaran hidup nyamuk aedes daripada telur ke peringkat nyamuk dewasa akan menjadi semakin singkat iaitu kurang dari tujuh hari.
“Ini akan menyebabkan populasi nyamuk akan meningkat dalam tempoh tersebut selain suhu panas akan menyebabkan nyamuk lebih aktif dan frekuensi menggigit mangsa adalah tinggi serta penyebaran virus dengi akan lebih meluas.
“Fenomena ini juga akan menyebabkan taburan hujan berkurangan dan isu bekalan air akan berlaku dan saya meminta semua pihak memainkan peranan aktif untuk memastikan tiada kawasan pembiakan aedes sewaktu fenomena ini,” katanya.
Subramaniam yang juga Ahli Parlimen Segamat berkata kepada pemberita selepas Program Jom Cegah Aedes 2017 di Taman Bintang Gemas Baru, di sini.
Turut hadir ialah Adun Buloh Kasap, Norshida Ibrahim dan Pegawai Kesihatan Daerah Segamat, Dr Mokhtar Ahmad.
Pada masa sama, sepanjang tahun lalu juga, sebanyak 4.2 juta premis di seluruh negara telah diperiksa oleh kementeriannya dengan 84.7 peratus kawasan pembiakan nyamuk aedes ditemui di luar rumah manakala 15.3 peratus pula di dalam rumah.
“Bekas plastik merupakan tempat pembiakan utama yang dijumpai iaitu 18.3 peratus diikuti tong (11.5 peratus), tayar (8.5 peratus) dan baldi (6.9 peratus).
“Projek rumah terbengkalai mencatatkan jumlah indeks pembiakan aedes tertinggi iaitu sebanyak 11.69 peratus diikuti tanah lot kosong (10.3 peratus), taman rekreasi (6.8 peratus), tapak pembuangan sampah (5.8 peratus) dan tapak binaan (empat peratus),” katanya.
Menurutnya, Johor merupakan antara negeri yang menunjukkan indeks pembiakan aedes tinggi melebihi nilai sensitif satu peratus iaitu 2.36 peratus selain Selangor (3.56 peratus), Pulau Pinang (3.36 peratus) dan Melaka (3.15 peratus).
Katanya, dalam tempoh seminggu iaitu dari 1 Januari hingga 7 Januari 2017, jumlah kes denggi yang dicatatkan di seluruh negara adalah sebanyak 1,663 kes berbanding 1,329 kes pada minggu sebelumnya.
“Data negeri Johor untuk tempoh sama juga menunjukkan trend peningkatan 108 peratus iaitu sebanyak 154 kes denggi pada minggu pertama 2017 berbanding hanya 74 kes denggi pada minggu sebelumnya iaitu penghujung Disember 2016.
“Daripada analisa kementerian saya, antara faktor peningkatan kes denggi adalah disebabkan faktor persekitaran yang tidak bersih, ketidakcekapan pengurusan sampah selain faktor pergerakan manusia yang lebih meluas,” katanya.
Comments