SEGAMAT – Duta Jauhar Persatuan Mahasiswa Anak Johor (Permaj) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menyasarkan seramai lima belia dari daerah ini untuk menyertai projek Jauhar Cleaning Services kendalian mereka.
Penasihatnya, Professor Madya Dr Norinsan Kamil berkata, pihaknya menyasarkan para graduan yang belum bekerja di daerah ini termasuk mahasiswa lepasan institusi pengajian tinggi (IPT) untuk bersama-sama menggerakkan projek ini.
“Setakat ini kami sudah mengenalpasti dua belia dari daerah ini yang berkelayakan untuk menjalankan projek ini dan mereka yang layak juga telah menjalani pelbagai proses tapisan dan temuduga sebelum ini.
“Tujuan utama adalah untuk menjadikan para peserta sebagai usahawan dalam perniagaan perkhidmatan yang bukan sahaja mampu menjana pendapatan malah membantu meningkatkan kemahiran insaniah yang mampu memberi nilai tambah kepada diri mereka,” katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Projek Jauhar Cleaning Services di kediaman rasmi Pegawai Daerah Segamat, di sini baru-baru ini.
Program yang dirasmikan oleh Pegawai Daerah Segamat, Mohd Haffiz Ahmad itu turut dihadiri Pengurus Korporat Yayasan Pelajaran Johor (YPJ), Sahruddin Manas dan Pengarah Projek Jauhar Cleaning Services, Muhammad Hafizuddin Mahfoz.
Menurutnya, selaras dengan matlamat kerajaan negeri dan Duta Jauhar yang mahu menjadikan mahasiswa sebagai ejen transformasi, beliau percaya projek ini mampu mengubah mentaliti belia daripada bekerja makan gaji kepada usahawan.
“Projek ini boleh dikategorikan sebagai projek berimpak tinggi kerana kami telah menjalankan kajian di sekitar daerah ini terlebih dahulu dan terdapat permintaan perkhidmatan pembersihan ini kerana bersifat privasi.
“Tambahan pula, projek ini boleh dilakukan dengan kos yang minimum namun boleh memberikan pulangan yang maksimum dan segala peralatan pembersihan juga akan disediakan oleh kami,” katanya.
Menurutnya, dalam tempoh tiga bulan pertama, pihaknya akan membantu para peserta termasuk mendaftarkan syarikat mereka dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), promosi dan membangunkan laman sesawang sebelum para peserta berdikari sepenuhnya.
Sementara itu, Mohd Haffiz berkata, beliau berharap projek ini mampu mengatasi masalah pengangguran belia di daerah ini dan pihaknya juga bersedia memberikan sebarang bantuan yang bersesuaian.
“Daripada segi promosi, saya telah mengiklankan perkhidmatan pembersihan ini secara percuma pada papan iklan digital di Bandar Segamat dan berharap perkhidmatan ini mendapat sambutan terutamanya selepas bencana banjir yang melanda daerah ini.
“Bagi saya, usaha yang dilakukan oleh Duta Jauhar ini turut mempromosikan daerah ini dan saya juga mengalu-alukan mana-mana mahasiswa untuk menjalankan kajian dan aktiviti di daerah ini,” katanya.
Comments