SEGAMAT – Tindakan seorang lelaki yang disyaki seorang penagih dadah di Bekok, di sini, yang cuba merasuah anggota polis ketika ditahan untuk pemeriksaan membawa padah kepadanya apabila ditangkap kira-kira pukul 2.30 pagi, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Segamat, Supritenden Raub Selamat berkata, suspek yang berumur 50 tahun itu ditahan oleh anggota dari Balai Polis Bekok yang melakukan rondaan cegah jenayah di sekitar Pekan Bekok kira-kira pukul 1 pagi.
“Ketika ditahan untuk pemeriksaan, lelaki tersebut merayu agar dia tidak ditangkap dan mengeluarkan wang sebanyak RM120 dari poket kanan seluarnya lalu cuba memberi kepada anggota tersebut untuk membebaskannya.
“Anggota tersebut kemudian mengingatkan lelaki tersebut bahawa perbuatannya yang ingin menyogok anggota polis adalah perbuatan yang menyalahi undang-undang,” katanya kepada Komuniti Segamat.
Menurutnya, walaupun telah diingatkan berulang kali bahawa perbuatannya menyalahi undang-undang, namun lelaki tersebut masih berdegil dan tetap cuba menyogok anggota berkenaan sebelum dia ditahan.
Katanya, pihaknya juga turut merampas dua keping wang kertas bernilai RM50 bersama dua keping lagi wang kertas bernilai RM10 sebagai bahan bukti.
“Suspek kemudiannya diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Segamat untuk tindakan lanjut.
“Saya ingin menasihatkan orang ramai agar tidak mencuba untuk menyogok anggota polis yang menahan mereka untuk pemeriksaan kerana perbuatan tersebut menyalahi undang-undang dan boleh ditangkap atas tuduhan cuba memberi rasuah kepada penjawat awam,” katanya.
Comments