SEGAMAT – Disebalik pembangunan pesat yang berlaku di negeri ini, kerajaan negeri tidak pernah mengabaikan usaha melestarikan alam sekitar melalui pelbagai program yang telah dan sedang dilaksanakan.
Tebaharu menyaksikan kerajaan negeri mewujudkan Dasar Kelestarian Negeri Johor 2017 – 2021 yang memberi penekanan secara menyeluruh dalam usaha melestarikan alam sekitar di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan negeri, Datuk Ayub Rahmat berkata, bagi menjayakan dasar tersebut kerajaan negeri telah menggariskan lima perkara teras yang diberi keutamaan.
“Lima teras utama tersebut adalah memulihara warisan alam, memupuk gaya hidup berhemah, menghijaukan ekonomi, menambahbaik tadbir urus dan mengupayakan masyarakat.
“Selain lima teras utama itu, sebanyak 38 sub teras, 256 tindakan dan 11 program keutamaan yang turut dijadikan tunjang yang bakal menentukan kejayaan dasar tersebut,” katanya berucap merasmikan Majlis Pra Pelancaran Dasar Kelestarian Negeri Johor di Pasaraya One Segamat baru-baru ini.
Turut hadir Pengarah Jabatan Alam Sekitar negeri, Dayuk Dr. Mohamad Izani Mohd. Salleh, ADUN Buloh Kasap, Norshida Ibrahim, ADUN Tenang, Mohd. Azahar Ibrahim dan ADUN Serom,Abdul Razak Minhat.
Katanya, semua dasar dan usaha yang dilaksanakan ini adalah bertujuan untuk mewujudkan keseimbangan terhadap alam dengan pembangunan pesat yang berlaku di negeri ini ketika ini.
Menurutnya, sebaik mana pun dasar yang dibuat dan seketat mana pun undang-undang serta penguatkuasaan dilaksanakan tidak akan memberi kesan positif tanpa kesedaran serta kerjasama orang ramai.
“Dasar Kelestarian Negeri Johor 2017-2021 ini merupakan salah satu usaha terbaik yang dilakukan oleh kerajaan negeri dalam usaha mengimbangi implikasi pembangunan bagi kesejahteraan rakyat.
“Sekiranya usaha ini tidak digerakkan sekarang, kita tidak akan dapat mewariskan kelestarian alam ini kepada generasi akan datang dan kita semua harus berusaha menjadi sebahagian daripada mereka yang memertabatkan usaha melestarikan alam ini,” katanya.
Comments