LABIS – Siapa sangka seorang wanita yang pernah memegang jawatan sebagai Jurutera Proses Petroleum suatu ketika dahulu kini menceburkan diri dalam bidang pertanian selepas syarikatnya itu mengurangkan jumlah pekerja sejak 10 tahun lalu.
Bagi Rozita Mohd Taha, 34, berkata, setelah diberhentikan kerja, dia bertekad menggunakan wang pampasan yang diterimanya untuk menceburi bidang pertanian selepas melihat dan menilai potensi bidang tersebut yang begitu cerah.
“Bidang pertanian sebenarnya bukan sesuatu yang asing dalam kehidupan saya kerana saya membesar sebagai anak peneroka di Felda Tenang dan saya juga tidak mempunyai masalah untuk melakukan kerja-kerja kebun sejak di bangku sekolah lagi.

“Selain itu saya juga ingin membuktikan jantina bukanlah penghalang kepada kita untuk menceburi bidang baharu, sebaliknya displin serta kesungguhan adalah kunci kepada kejayaan seseorang,” katanya kepada Komuniti Facebook Segamat.
Menurutnya, berbekalkan sedikit pengalaman, dia juga memberanikan diri untuk memulakan projek pertanian intergrasi di atas tanah berkeluasan dua hektar milik keluarganya di Feda Tenang, di sini, sejak setahun lalu
Katanya, dia juga bercadang membawa konsep pertanian intergrasi yang sudah lama diamalkan di luar negara dengan mempelbagaikan lagi sumber pengeluaran makanan seperti sayur-sayuran, daging dan ikan di dalam satu kawasan sahaja.
“Setakat ini hanya cendawan tiram sahaja yang sudah berhasil dan saya sedang berusaha membina beberapa buah reban untuk menternak ayam kampung, itik dan kambing disamping ikan talapia dan keli.
“Saya juga tidak bercadang untuk memasarkan hasil pertanian saya melalui orang tengah sebaliknya akan memperkenalkan konsep datang dan tuai sendiri kepada pelanggan bagi memberi peluang kepada orang ramai memilih sendiri barangan yang diperlukan,” katanya.
Menurutnya, dia mengakui apa yang dilakukannya itu memang agak asing kepada penduduk setempat dan turut dipandang sinis oleh pihak tertentu pada awalnya dan berharap mereka dapat menerimanya secara perlahan-lahan.
Katanya, dia juga bersyukur kerana keluarganya amat memahami dan memberi galakan terhadap apa yang diusahakannya itu termasuk membantu melakukan kerja-kerja di kebun seperti mendirikan reban dan sebagainya.

“Bagi menjamin kualiti produk dan penjimatan kos, saya akan menggunakan sumber semula jadi seperti baja kompos untuk tanaman dan tumbuhan sedia ada bagi haiwan ternakan seperti kambing.
“Secara tidak langsung, projek yang diusahakan saya ini bukan sahaja mampu menjana pendapatan sendiri, tetapi konsep mesra alam yang diterap diharap mampu mendidik masyarakat agar lebih sayang kepada alam semulajadi,” katanya.
Menurutnya, dia juga tidak bercadang menggunakan mesin penjana kuasa yang menggunakan bahan petroleum untuk sistem pengairan tanamannya sebaliknya sedang menyiapkan sistem solar bagi menjana elektrik bagi menggerakkan pam air serta lampu di kawasan projeknya.
Katanya, pada sebelah malam pula dia bercadang untuk membuka kelas tuisyen bagi membantu pelajar dalam subjek Bahasa Inggeris, Matematik, Matematik Tambahan serta Sains yang sering menjadi masalah dalam kalangan pelajar luar
Comments