SEGAMAT – Sewaktu era kegemilangan muzik rock pada tahun 1980-an telah menyaksikan banyak penubuhan kumpulan muzik yang memainkan genre muzik tersebut sehingga telah menjadi satu era yang sungguh menarik dalam sejarah seni muzik popular tanah air.

Era itu telah menyaksikan betapa gamatnya seni muzik tanah air dengan alunan lagu-lagu rock ekoran kemunculan beberapa kumpulan muzik rock yang terkenal dan berpengaruh termasuk kumpulan Burnmark yang berasal dari Segamat.

Bagi bekas vokalis Burnmark, Jeff Abd Hamid atau lebih dikenali sebagai Jeff Burnmark, 53, dia kini mengusahakan sebuah kedai makan di Kampung Sulir, di sini, sejak tahun 2011 yang menjadi pendapatan utamanya ketika ini.

“Saya sudah lama tidak terlibat dengan bidang popular serta nyanyian dan kali terakhir saya muncul di televisyen pada tahun 2013 sewaktu program ‘Rockers Apa Khabar’ terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM).

“Memang kenangan bersama Burnmark ini terlalu banyak dan daripada sini saya belajar mengenai erti kehidupan termasuk jatuh bangun di dalam industri muzik sejak tahun 1983 lagi,” katanya kepada Komuniti Segamat.

Menurutnya, sebelum menyertai Burnmark, dia pernah menganggotai kumpulan Dr Sam sebagai pemain bass sebelum mengundurkan diri dan pulang ke Segamat untuk mencari pekerjaan yang baharu.

Bagaimanapun, Burnmark yang ketika itu tidak mempunyai vokalis tetap mempelawanya untuk menyertai kumpulan tersebut seminggu sebelum pertandingan Juara-Juara Rock 2 peringkat negeri pada tahun 1985.

“Ketika itu pertandingan diadakan di Dewan Jubli Intan, Johor Bahru dan kami muncul juara sementara tempat kedua oleh kumpulan Hurricane dan tempat ketiga pula kumpulan Gersang juga dari Johor Bahru.

Burnmark sewaktu menjuarai Juara-Juara Rock pada tahun 1984

“Dari situlah kumpulan Burnmark semakin dikenali dan selain memasuki pertandingan ‘Battle Of The Band’, ketika itu kami juga aktif membuat persembahan di ‘fun fair’ dan sambutan ketika itu sangat menggalakkan,” katanya.

Menurutnya, lirik lagu Secebis Rayuan yang mengangkat nama Burnmark juga ditulis olehnya dan mengambil masa seminggu untuk menulis lirik sebelum mendapat perhatian syarikat rakaman, Warnada Record untuk merakam album pada tahun 1986.

Katanya, dia juga sempat merakamkan tiga album di dalam studio bersama Burnmark iaitu Burnmark (1988), Opera Sang Bara (1989) dan Asmara (1990) sebelum mengundurkan diri daripada Burnmark pada tahun 1990.

“Selepas keluar daripada Burnmark, saya melakukan pelbagai pekerjaan termasuk bekerja di kedai alat ganti kenderaan sebelum membuka kedai makan dan saya juga tidak mahu kembali ke industri ini kerana mahu memberi tumpuan kepada keluarga.

“Apa yang penting kehadiran kami sudah dirasai suatu ketika dahulu dan sekarang komitmen saya adalah untuk keluarga kerana mempunyai tiga anak termasuk dua yang masih bersekolah,” katanya.

Guna studio milik bapa

Bagi pemain keyboard asal Burnmark, Khairuddin Shah Abd Hamid, 50, atau Din Busa, kumpulan mereka ketika itu banyak menghabiskan masa di studio yang dibuat oleh bapanya di rumahnya di Kampung Lubok Batu, di sini.

Katanya, ketika itu bapanya juga mempunyai kumpulan yang diberi nama ‘The Jollies’ dan Burnmark menggunakan studio berkenaan untuk berlatih dan merakamkan lagu secara manual.

“Ketika itu, setiap ahli kumpulan mempunyai peranan masing-masing dan saya bermain keyboard kerana pernah belajar bermain keyboard di Yamaha Music School sehingga ke gred tujuh.

“Ketika zaman kegemilangan kami, kami pernah membuat persembahan di seluruh negara dan walaupun kami membuat persembahan sehingga ke Kelantan, kami tidak pernah bermalam di sana sebaliknya pulang selepas persembahan,” katanya.

Kulit album kumpulan pertama Burnmark

Menurutnya, hasil bermain muzik bersama Burnmark juga dia mampu mengumpul duit simpanan untuk berkahwin pada tahun 1987 sebelum mendapat pekerjaan di Majlis Daerah Segamat (MDS) pada penghujung tahun 1980-an.

Katanya, dengan pengalaman dan kemahiran dalam bidang muzik yang dimilikinya, dia juga pernah membimbing pasukan keroncong MDS pada ketika itu sehingga menjadi pasukan yang dikenali di peringkat daerah dan negeri.

“Sekarang ini saya sudah berkhidmat dengan kerajaan dan minat bermain muzik itu masih ada sehingga ke hari ini dan ketiga-tiga anak saya juga mempunyai bakat dalam bidang muzik dan boleh bermain piano dan keyboard.

“Sekarang ini masing-masing sudah mempunyai komitmen sendiri dan hanya Joe sahaja yang masih aktif di dalam industri manakala saya, Jeff, Amy dan Zainal sekarang tinggal di Segamat dan hubungan kami masih tetap akrab,” katanya.

(Visited 2,673 times, 1 visits today)

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Sign In

Register

Reset Password

Please enter your username or email address, you will receive a link to create a new password via email.

error: Alert: Content selection is disabled!!