SEGAMAT – Seorang remaja tidak sempat menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini selepas motosikal yang ditungganginya merempuh sebuah kereta di Kilometer 6 Jalan Paya Pulai-Pogoh, di sini, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Segamat, Supritendan Raub Selamat berkata, dalam kejadian kira-kira 7.15 petang itu, mangsa, Mohamad Arif Najmi Mohd Zailani, 17, meninggal dunia serta merta di tempat kejadian.
“Ketika kejadian, mangsa yang menunggang motosikal seorang diri dalam perjalanan dari arah Pogoh menghala ke Paya Pulai sebelum motosikalnya memasuki laluan bertentangan dan berlanggar secara hadapan dengan sebuah kereta Proton Inspira.
“Akibat pelanggaran tersebut, mangsa tercampak beberapa meter di atas jalan raya manakala motosikal yang ditungganginya juga mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan,” katanya kepada wartawan.
Menurutnya, mangsa yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Paduka Tuan, di sini, dipercayai mengalami kecederaan parah pada anggota badan dan kepala sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan.
Katanya, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Daerah Segamat (HDS) untuk dibedah siasat manakala pemandu kereta yang merupakan lelaki berumur lingkungan 30-an juga tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih lagi diteruskan dan saya meminta saksi yang mekihat kejadian ini untuk tampil membantu siasatan.
“Saya meminta pengguna jalan raya agar lebih berhati-hati terutamanya di kawasan yang gelap dan tidak mempunyai lampu jalan bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini seperti ini,” katanya.
Comments