SEGAMAT – Kecacatan fizikal dan menggunakan kerusi roda tidak menjadi penghalang bagi seorang pelajar Kolej Komuniti Segamat 2 (KKS2), di sini, untuk belajar sama seperti insan normal yang lain.

Muhamad Faiz Basir, 19, berkata, dia yang merupakan pelajar pelajar semester akhir program Sijil Teknologi Maklumat (Aplikasi Perisian Komputer) tidak pernah menganggap kekurangan dirinya sebagai alasan untuk berjaya di dalam pelajaran.

“Saya mula melanjutkan pelajaran ke KKS2 pada bulan Mac 2014 dan pada awalnya memang tidak dinafikan ada perasaan rendah diri dan malu kerana hanya saya seorang sahaja pelajar OKU di sini.

Tahir (berdiri, kiri) sedang melihat Faiz (berkerusi roda) melakukan kerjanya
Tahir (berdiri, kiri) sedang melihat Faiz (berkerusi roda) melakukan kerjanya

“Saya mengambil masa lebih daripada sebulan untuk mengatasi perasaan tersebut dan Alhamdulillah dengan bantuan serta dorongan daripada kawan-kawan serta para pensyarah, akhirnya saya berjaya menyesuaikan diri,” katanya kepada Komuniti Segamat.

Menurut anak bongsu daripada lima beradik yang berasal dari Kampung Lubok Lanjut, di sini, pada awalnya dia mahu memilih kursus kulinari namun program tersebut tidak ditawarkan di KKS2 sebelum memilih program yang sedang diikutinya sekarang.

Katanya, dia mengakui bidang sistem maklumat merupakan satu bidang yang baharu bagi dirinya kerana tidak mempunyai asas dalam bidang tersebut namun mahu mencabar dirinya bagi mempelajari sesuatu yang baharu.

“Semangat untuk menjadi seorang insan yang berjaya semakin berkobar-kobar selepas emak saya meninggal dunia setahun yang lalu kerana sebelum ini dia yang sering memberi saya semangat untuk terus belajar.

“Selepas ini saya bercadang untuk menyambung pengajian di peringkat diploma dan secara peribadinya, KKS2 banyak membantu saya untuk mengenali diri dan mencungkil bakat saya yang sebenar,” katanya.

Sementara itu, Pengarah KKS2, Tahir Leemat berkata, beliau mengakui Faiz seorang yang sangat peramah dan mudah mesra dengan rakan-rakannya yang lain dan merupakan salah seorang individu yang sangat menonjol bakatnya.

Katanya, Faiz juga menjadi bukti kepada golongan OKU yang lain walaupun dalam keadaan kekurangan diri dan mengharapkan kerusi roda untuk bergerak, dia masih mampu untuk terus berjuang mengejar impiannya.

“Dia (Faiz) turut aktif di sini dan sebagai bukti dia pernah dianugerahkan Tokoh Pelajar Inspirasi KKS2 pada tahun lalu selain mendapat tempat keempat di dalam Pertandingan OKU Talent Search sempena Karnival Mesra OKU di Universiti Malaya, tahun lalu.

“Kami di KKS2 tidak pernah sama sekali mengamalkan sikap pilih kasih sebaliknya semua pelajar diberi layanan sama adil dan bagi pelajar OKU, kemudahan mereka turut lengkap disediakan di sini,” katanya.

(Visited 297 times, 1 visits today)

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Sign In

Register

Reset Password

Please enter your username or email address, you will receive a link to create a new password via email.

error: Alert: Content selection is disabled!!