LABIS – Pokok buah mata kucing yang dahulunya banyak di sekitar kawasan Labis kini semakin berkurangan disebabkan kurangnya usaha untuk menanam semula pokok tersebut sehingga mengakibatkan tanaman tersebut semakin dilupakan.

Mohd Yusof Idris, 54, salah seorang pemilik dusun buah mata kucing di Kampung Tenang, di sini, berkata, buah mata kucing memberi pulangan lumayan kepada dirinya dan pemilik dusun yang masih mengusahakannya disebabkan harganya yang semakin tinggi.

“Sekitar tahun 1970an, musim mata kucing sentiasa dinantikan oleh penduduk kampung kerana diibaratkan seperti pesta dan ketika itu ianya menjadi  punca pendapatan kepada pemilik dusun dan penduduk kampung yang lain terutamanya kanak-kanak.

“Ketika itu, dusun yang selama ini terbiar menjadi belukar akan dibersihkan dan apabila buah hendak masak, pemiliknya akan meletakkan pelita pada setiap pokok bagi menghalau binatang perosak seperti kelawar dan keluang,” katanya.

Mohd Yusof Idris
Mohd Yusof Idris

Menurutnya, situasi berkenaan berubah sama sekali pada zaman sekarang apabila kemeriahan tersebut semakin lenyap sehingga mengakibatkan pokok-pokok mata kucing yang tumbuh meliar suatu ketika dahulu semakin berkurangan.

Katanya, kebanyakan pokok mata kucing yang terdapat ketika ini sudah tua dan berusia 50 tahun keatas dan keadaannya pokoknya yang semakin tinggi dan membesar menyebabkan tidak ramai  penduduk yang mahu memanjat untuk memetik buahnya.

“Lima tahun lalu, saya terpaksa menebang kira-kira 20 pokok mata kucing di dusun dan mengantikan dengan pokok-pokok buahan lain kerana kecewa buahnya dimakan burung kerana tidak ada yang berminat untuk memanjat memetik buahnya.

“Saya lihat generasi muda sekarang tidak berminat untuk memetik buahnya selain faktor orang tengah serta tiada sebarang program rangsangan penanaman semula bagi mengantikan pokok yang tua dan tidak produktif,” katanya.

Bagi Suhaimi Mohd Yusuf, 32, dia mengakui generasi muda pada hari ini tidak mahu mengambil risiko membahayakan keselamatan mereka memanjat pokok mata kucing tanpa menggunakan sebarang peralatan keselamatan.

Katanya, walaupun menyedari berdepan risiko terjatuh dari pokok ketika memetik buah mata kucing, dia tetap meneruskan kerja tersebut kerana ianya mampu memberi pulangan lumayan mencecah ratusan ringgit sehari pada musimnya.

“Setakat ini hanya terdapat tiga orang sahaja termasuk saya yang aktif mengambil upah memetik buah mata kucing di sekitar Labis dan ini  menyebabkan kebanyakkan buah mata kucing terbiar meluruh ke tanah tanpa dipetik atau dimakan.

“Buah mata kucing tempatan masih menjadi pilihan pembeli berbanding buah mata kucing Siam yang terdapat di pasaran kerana rasanya yang lebih manis dan berair serta tidak mengandungi racun kimia dan bahan pengawet,” katanya.

Menurutnya, dia tidak dibayar upah dalam bentuk wang tunai sebaliknya hanya diberi 50 peratus daripada jumlah keuntungan jualan dan jika pada musimnya, dia berjaya menjual di antara 50 hingga 80 kilogram buah tersebut setiap hari.

Suhaimi menunjukkan peralatan asas seperti galah, tali dan karung guni yang diperlukan untuk memetik buah mata kucing
Suhaimi menunjukkan peralatan asas seperti galah, tali dan karung guni yang diperlukan untuk memetik buah mata kucing

Katanya, dia percaya sekiranya ada pihak yang mampu mencari kaedah yang lebih selamat dan mudah untuk memetik buahnya, tidak mustahil buah mata kucing mempunyai potensi besar untuk berkembang setanding dengan tanaman lain yang mampu memberi pulangan lumayan.

“Masalah utama mata kucing tempatan semakin kurang adalah disebabkan tidak orang yang sanggup memetik buahnya bukan disebabkan tiada buah seperti yang disangka oleh ramai pihak selama ini, malah permintaan terhadapnya juga masih tinggi,” katanya.

(Visited 1,143 times, 1 visits today)

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Sign In

Register

Reset Password

Please enter your username or email address, you will receive a link to create a new password via email.

error: Alert: Content selection is disabled!!