LABIS – Pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) berupa wang tunai adalah langkah dilaksanakan kerajaan dalam usaha menstrukturkan semula dan menambahbaikkan sistem penyampaian subsidi kepada golongan sasaran.
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Chua Tee Yong berkata, pemberian secara tunai ini secara tidak langsung memberi kemudahan kepada penerima, selain mampu membantu meningkatkan ekonomi setempat terutama kawasan pedalaman dan luar bandar.
“BR1M sebenarnya dapat menjana ekonomi penduduk setempat seperti golongan peniaga kecil kerana wang diterima akan dibelanjakan untuk membeli barangan keperluan yang melibatkan peniaga setempat.
“Situasi tersebut bukan sahaja sihat kepada iklim ekonomi peniaga setempat, sebaliknya mampu membantu merancakkan ekonomi negara kerana duit tersebut akan dibelanjakan kepada peniaga kecil,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Labis berkata kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan BR1M Parlimen Labis di Dewan Majlis Daerah Labis (MDL), di sini, kelmarin.
Turut hadir, Adun Tenang, Mohd Azahar Ibrahim, Pegawai Daerah Segamat, Ahmad Ma’in, Penghulu Mukim Labis, Sabri Nozari dan ketua kampung di mukim Labis.
Menurutnya, pemberian BR1M secara tunai melibatkan pembayaran keseluruhan RM5.7 billion juga menepati saranan Bank Dunia yang mengesyorkan subsidi diberikan secara tunai.
“Penerima boleh berbelanja secara terus untuk mendapatkan barangan keperluan sebaik menerima wang BR1M dan dapat mempercepatkan proses menjana ekonomi yang melibatkan aktiviti jual beli.
“Di Parlimen Labis, terdapat 14,000 penerima BR1M dan daripada jumlah tersebut, hanya 208 pemohon sahaja masih belum memiliki akaun bank dan saya harap jumlah itu dapat dikurangkan akan datang bagi memudahkan proses pembayaran,” katanya.
Pada masa sama, kaedah penyampaian BR1M melibatkan golongan orang kurang upaya (OKU) terlantar yang tidak mempunyai akaun bank perlu dikaji semula agar mereka tidak perlu datang ke pusat pembayaran.
“Penambahbaikan kaedah pengagihan kepada golongan tersebut adalah perlu, sebelum ini terdapat individu terpaksa bersusah payah meminta bantuan orang lain untuk datang ke pusat pengagihan semata-mata untuk mengambil wang BR1M.
“Usaha mempermudah proses pengagihan wang BR1M melibatkan golongan tersebut adalah selari hasrat pemberian BR1M untuk membantu golongan berpendapatan rendah di negara ini,” katanya.
Sumber | Sinar Harian
Comments