SEGAMAT – Aksi tangkas sekumpulan lelaki memotong botol yang dipenuhi air dengan sekali hayunan menggunakan pisau dan parang serta beberapa lagi aksi mencabar berjaya memukau peminat sukan ekstrim.
Sukan ‘Blade Sport’ ini walaupun masih baharu dua tahun diperkenalkan di Malaysia, sukan ini sudah mampu mengumpul ribuan peminatnya tersendiri di seluruh negara hanya dalam tempoh yang singkat.
Pengerusi Persatuan Kraf Bilah Malaysia, Mohd Nazim Amin, 40, berkata, pihaknya yang bertanggungjawab membawa dan memperkenalkan sukan tersebut di negara ini pada tahun 2015.
“Jika dibandingkan dengan negara jiran seperti Indonesia dan Thailand, kita agak ketinggalan kerana mereka mempunyai persatuan serta dana selain mempunyai kalendar tetap penganjuran pertandingan setiap tahun.
“Kami bukan sahaja tidak mempunyai persatuan induk dan persatuan di peringkat negeri, malah terpaksa bergerak sendiri mencari dana untuk menganjurkan pertandingan,” katanya ketika ditemui di Kejohanan Blade Sport Terbuka Johor 2017 di Dataran Labis, baru-baru ini.
Menurutnya, walaupun bergerak dalam keadaan serba berkurangan, namun dia berbangga kerana mampu menghantar dua wakil negara ke pertandingan kejohanan Blade Sport terbuka antarabangsa di Bangkok, Thailand pada awal bulan Ogos ini.
Katanya, dia optimis sukan baharu ini akan terus berkembang dengan lebih meluas dan menjadi antara sukan yang digemari ramai di negara ini dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang.
Sementara itu, setiausahanya, Mansor Birat, 45, berkata, walaupun sukan tersebut pada asasnya menggunakan bilah parang yang tajam, namun belum pernah berlaku sebarang kemalangam atau kecederaan kepada peserta atau penonton.
“Ini kerana kami (penganjur) amat menitikberatkn dan mengutamakan aspek keselamatan sepanjang tempoh pertandingan berlangsung dan peserta yang bertanding juga perlu mengikut syarat-syarat yang ditetapkan.
“Pertandingan dijalankan mengikut masa dimana peserta yang menyelesaikan halangan dengan masa terpantas dengan sempurna dikira sebagai penenang,” katanya.
Menurutnya, terdapat 12 halangan yang disediakan di mana para peserta perlu menetak sehingga putus halangan seperti kayu beluti, penyedut minuman, tali sabut dan nilon, buluh, kertas, bola golf, bola tenis, hos paip dan lima botol air mineral yang berisi air.
Katanya, semua objek mesti ditetak sehingga putus dengan satu hayunan sahaja kecuali kayu beluti dan hos paip dan saiz keseluruhan parang yang dibenarkan tidak melebihi 15 inci panjang iaitu berukuran lima inci pemegang serta 10 inci panjang dan dua inci lebar mata bilah.
“Setiap halangan yang gagal disempurnakan akan dikenakan tambahan masa penalti sebanyak 10 saat setiap satu dan setiap kali pertandingan berjalan terdapat 11 orang petugas terdiri daripada lapan pembantu dan tiga orang panel juri.
“Bagi tujuan keselamatan sekeliling kawasan gelanggang akan dipasang jaring sebagai pemisah dan hanya petugas, juri dan peserta sahaja dibenarkan beada di dalam gelanggang sewaktu pertandingan dijalankan,” katanya.
Tidak kisah keluarkan belanja besar
Bagi salah seorang peserta, Shafie Salleh, 31, yang merupakan tukang besi di Tanah Merah, Kelantan berkata, dia tidak kisah untuk mengeluarkan belanja besar bagi menyertai pertandingan di beberapa negeri ternasuk di Johor kerana minat terhadap sukan tersebut.
Menurutnya, harga sebilah parang yang digunakan untuk pertandingan ini adalah di antara RM1,000 hingga RM5,000 bergantung kepada pembuatan serta kualiti besi yang digunakan.
“Saya bernasib baik kerana saya merupakan tukang besi dan boleh membuat sendiri parang untuk digunakan ketika menyertai mana-mana pertandingan dan sudah empat kali menang pertandingan di peringkat kebangsaan.
“Seperti saya yang merupakan tukang besi, adalah satu kepuasan apabila melihat parang yang kita hasilkan mampu berfungsi dengan baik dan sukan ini juga memerlukan teknik khusus terutamanya ketika mahu membelah objek,” katanya.
Sementara itu, Hashim Sulaiman, 55, dari Segamat berkata, dia tidak mahu menjadikan faktor usia dan kos yang agak tinggi sebagai penghalang untuk bersaing dengan peserta lebih muda dalam sukan tersebut.
Menurutnya, dia tidak pernah berasa rugi membelanjakan ribuan ringgit untuk membeli beberapa bilah parang untuk digunakan ketika menyertai pertandingan sukan tersebut.
“Saya juga boleh menempah besi dan sedang berusaha untuk menyiapkan beberapa bilah barang yang akan digunakan untuk menyertai pertandingan pada masa akan datang.
“Secara tidak langsung pembabitan saya dalam sukan ini dapat meningkatkan keyakinan untuk menghasilkan parang yang lebih bermutu dan tahan lasak pada masa akan datang,” katanya.
Comments