LABIS – Penantian seramai 46 pelajar dan 17 warga Sekolah Kebangsaan (SK) Sawah Baru, di sini, untuk memiliki surau sendiri hampir terlaksana selepas pembinaannya telah bermula pada awal bulan Mei lalu.

Guru besarnya, Mohamad Yahya berkata, tambah bermakna, kos pembinaan surau itu sebanyak RM15,000 merupakan sumbangan ibu bapa pelajar dan komuniti setempat yang peka dengan keperluan sekolah berkenaan.

“Sewaktu saya berpindah ke sekolah ini pada bulan April lalu, salah satu cadangan yang dibawa oleh saya semasa mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) adalah pembinaan surau ini dan cadangan tersebut disambut baik oleh penduduk kampung ini.

“Sebelum ini, para pelajar dan guru terpaksa menggunakan bilik darjah untuk melakukan aktiviti kerohanian seperti solat dhuha dan solat hajat setiap hari dengan meletakkan kerusi dan meja di luar kelas,” katanya kepada Komuniti Segamat.

Menurutnya, pembinaan surau berkenaan juga dilakukan sepenuhnya oleh penduduk kampung dan dijangka siap sebelum Hari Raya Aidiladha selain mendapat sumbangan 40 beg simen daripada seorang individu yang bermurah hati.

Katanya, apabila surau tersebut siap sepenuhnya kelak, ianya boleh menempatkan 100 jemaah pada satu masa serentak dan tidak perlu menggunakan bilik darjah lagi untuk melakukan aktiviti-aktiviti kerohanian.

“Selain itu, terdapat beberapa masalah lagi di sekolah ini seperti masalah pendawaian kerana pendawaian yang ada sudah terlalu lama dan sering kali bekalan elektrik sekolah ini terputus terutamanya pada waktu hujan lebat dan guruh.

“Saya juga telah melakukan perbincangan dengan pemimpin setempat untuk menyelesaikan masalah ini kerana walaupun sekolah ini terletak di kawasan pedalaman, kemudahan-kemudahan asas yang sedia ada perlu berada di dalam keadaan baik,” katanya.

Sementara itu, Adun Tenang, Mohd Azahar Ibrahim yang melawat tapak pembinaan surau tersebut berkata, beliau bersetuju untuk menyumbang keperluan tambahan surau seperti pendingin hawa, karpet dan kos pendawaian.

Menurutnya, berkenaan masalah sistem pendawaian sekolah di sekolah tersebut, beliau akan membawa perkara itu semasa Mesyuarat Tindakan Daerah (MTD) agar dapat diselesaikan.

“Apa yang dilakukan oleh komuniti di Kampung Sawah Baru ini perlu dicontohi oleh komuniti-komuniti di tempat lain dan ini juga dapat mengeratkan lagi hubungan di antara komuniti dan sekolah,” katanya.

(Visited 397 times, 1 visits today)

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Sign In

Register

Reset Password

Please enter your username or email address, you will receive a link to create a new password via email.

error: Alert: Content selection is disabled!!