LABIS – Rata-rata Sukarelawan Darul Takzim (SDT) yang menyertai Ops Cuci Banjir di Segamat baru-baru ini melahirkan rasa teruja dan bangga berpeluang membantu mangsa banjir.
Lee Ren Tau,22, pelajar semester tiga Kolej Komuniti Pasir Gudang dalam bidang Teknologi Maklumat (IT) mengakui berasa bertuah berpeluang menjadi salah seorang ahli SDT dalam program tersebut.
“Ini merupakan kali pertama saya terlibat dengan program seumpama ini dan saya antara yang bertuah kerana berpeluang melihat kehidupan masyarakat orang Asli secara lebih dekat yang begitu asing bagi saya sebelum.
“Lebih menarik, kami bekerjasama dengan penduduk membersihkan rumah penduduk serta bangunan awam seperti surau, sekolah dan balairaya dan berjaya mengenepikan perbezaan kaum dan agama antara kami,” katanya kepada Komuniti Segamat baru-baru ini.

Katanya, sebelum ini tidak pernah pun melihat keadaan selepas banjir secara lebih dekat dan menyifatkan program tersebut memberi pengalaman baharu kepadanya terutama perlu mengamalkan sikap tolong menolong dan kerjasama antara satu sama lain.
Rakannya pula, S.Vikneash,20, berkata, melakukan kerja-kerja pembersihan kawasan bencana banjir tidak asing kepadanya kerana pernah melakukannya di Pahang dua tahun lalu.
Katanya, program tersebut selain mampu memupuk semangat sukarelawan dan kerjasama, peserta juga diajar untuk mengamalkan sikap jujur ketika melakukan kerja-kerja pembersihan.
Menurutnya, kadang-kadang peserta akan terjumpa barangan berharga milik mangsa banjir ketika melakukan kerja-kerja pembersihan dan ketika itu peserta harus bersikap jujur dengan mengembalikannya kepada pemilik.
Bagi Nur Hazwani Nadzirah Dahiyah Roslan,19, sukarelawan badan bukan kerajaan (NGO) di Pasir Gudang berkata, menyertai program sebegini bukan sekadar membantu mereka yang dalam kesusahan, malah peluang terbaik untuk bergaul dan melihat tempat orang.

“Saya sudah dua tahun terlibat dengan kerja-kerja kemasyarakatan dan ini merupakan kali pertama terlibat dengan program membersihkan rumah mangsa banjir dan mengambil langkah berhati-hati supaya tidak dijangkiti penyakit seperti kencing tikus berikutan kawasan tersebut yang masih belum dibersihkan sepenuhnya.
“Melihat kesan kemusnahan akibat banjir di sini, saya berasa bertuah kerana tidak menjadi mangsa banjir dan sedikit sebanyak memberi keinsafan kepada saya melihat penderitaan yang dialami mangsa banjir akibat kemusnahan harta benda mereka,” katanya.
Comments