LABIS – Seorang nenek di Taman Suria, di sini, terpaksa tabah membesarkan tiga cucunya dengan kudratnya sendiri selepas anak dan menantunya menghilangkan diri sejak beberapa tahun lalu.

Normah Asinar, 61, berkata, dia juga terpaksa bekerja sebagai pekerja pembersihan di sebuah pasar raya di Pekan Labis untuk menyara tiga cucunya, Mohamad Zainawi Abdullah, 14; Mohamad Syawal Zainawi, 4, dan Siti Aishah, 3.

“Sebelum ini mak cik tinggal di rumah peninggalan keluarga di Pekan Air Panas selama dua tahun sebelum berpindah ke rumah sewa sekarang kerana hendak bekerja dan menyara tiga cucu mak cik yang masih kecil dan bersekolah.

“Mak cik baharu bekerja di pasar raya tersebut tiga bulan dan mak cik juga terpaksa berjalan kaki kira-kira tiga kilometer dari rumah sewa ke tempat kerja dan mak cik lakukan ini semua kerana cucu-cucu,” katanya kepada Komuniti Segamat.

Menurutnya, Zainawi yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kamarul Ariffin, di sini, juga terpaksa menumpang jirannya untuk ke sekolah dan terpaksa pulang ke rumah hanya dengan berjalan kaki.

Katanya, dia juga terpaksa menghantar Syawal dan Siti Aishah ke taman asuhan kanak-kanak (taska) berhampiran rumah sewanya sewaktu dia keluar bekerja dari pukul sembilan pagi hingga lapan malam.

“Apabila Zainawi balik dari sekolah pada pukul dua petang, dia akan mengambil adik-adiknya dari taska dan menjaganya sehingga mak cik pulang dari kerja dan sebelum itu memang mak cik sudah siapkan makanan untuk mereka di rumah.

“Dengan pendapatan mak cik yang tidak seberapa ini, mak cik terpaksa bahagikan untuk duit sewa rumah sebanyak RM150 sebulan, persekolahan dan taska cucu-cucu mak cik dan selebihnya untuk perbelanjaan dan kos ubat-ubatan,” katanya.

Menurutnya, seperti Syawal, dia hanya mempunyai satu buah zakar sahaja dan mengalami kesukaran untuk kencing selain mempunyai masalah jantung dan Aishah pula sel darah putih dan merahnya tiada vitamin dan sering pengsan.

Katanya, dia juga akan pergi ke Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru (HSAJB) dua kali sebulan untuk rawatan susulan Aishah kerana disyaki menghidap penyakit leukimea dan berada di bawah pemantauan doktor.

“Ketiga-tiga cucu mak cik setiap seorang mendapat bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM100 dan mak cik pula mendapat bantuan Baitulmal sebanyak RM350.

“Dulu, mak cik dan cucu-cucu juga pernah mengikat perut dengan tidak makan selama seminggu disebabkan tiada wang untuk membeli makanan dan pernah memberi minum Aishah dengan air teh sahaja kerana tidak mampu untuk membeli susu,” katanya.

Menurutnya, kali terakhir dia bertemu dengan ibu kepada cucu-cucunya itu, Siti Noraini Talib, 27, adalah pada tahun 2014 sewaktu dia hendak melahirkan Aishah sebelum menghilangkan diri sejurus selepas bersalin.

(Visited 1,246 times, 1 visits today)

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Sign In

Register

Reset Password

Please enter your username or email address, you will receive a link to create a new password via email.

error: Alert: Content selection is disabled!!