SEGAMAT – Usaha seorang bekas anggota tentera yang mempelajari cara-cara pembuatan ikan pekasam sewaktu tempoh perkhidmatannya nyata tidak sia-sia apabila kini dia berjaya menjadi usahawan ikan pekasam.
Mohd Zin Mohd Lani, berkata, selepas bersara wajib pada dua tahun lalu, dia mengambil keputusan untuk pulang ke kampung isterinya, Salina Hashim, 44, di Felda Kemelah, di sini, untuk memulakan kehidupannya dan keluarga selepas bersara.
“Ketika itu, saya terfikir untuk memulakan perniagaan secara kecil-kecilan namun tidak tahu produk atau barangan yang hendak diniagakan sebelum teringat mengenai pembuatan ikan pekasam yang belum pernah diusahakan di sini.
“Saya pelajari teknik-teknik pembuatan ikan pekasam ini daripada rakan-rakan dari negeri Utara tanah air sewaktu sedang berkhidmat sebagai tentera selain saya sendiri merupakan penggemar ikan pekasam,” katanya kepada Komuniti Facebook Segamat.
Menurut bapa kepada dua anak itu, bermodalkan duit simpanannya dan pinjaman sebanyak RM5,000 daripada Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun), dia kemudian membina sebuah bengkel untuk memproses ikan pekasam di belakang rumah keluarga isterinya.

Katanya, dia kemudian mendaftarkan perniagaannya ke Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan pada peringkat awalnya juga, dia hanya dibantu oleh isteri dan anak-anaknya sebelum mengupah empat lagi pekerja selepas permintaan terhadap ikan pekasam meningkat.
“Saya hanya menggunakan ikan air tawar seperti tilapia, lampam, puyu dan sebarau untuk dijadikan pekasam kerana kebiasaannya pekasam ikan air tawar sukar untuk diperoleh hari ini kerana tidak ramai yang menjalankan perusahaan berkenaan terutama di kawasan bandar.

“Setiap minggu, saya akan mengambil ikan daripada peraih dan nelayan-nelayan sungai di sekitar negeri ini seperti di Empangan Bekok, Chaah, Empangan Sembrong, Kluang dan di Melaka,” katanya.
Menurutnya, kesemua ikan pekasamnya dijual pada harga RM17 sekilogram dan mampu menjual sehingga 150 kilogram setiap minggu untuk pasaran di sekitar daerah ini dan beberapa daerah lain di negeri ini.
Katanya, proses pembuatan ikan pekasamnya juga masih dilakukan secara manual dan tradisional bagi memastikan rasa dan keenakan ikan pekasam tersebut berada pada tahap yang memuaskan selera pelanggan.
“Proses penghasilan ikan pekasam juga tidak semudah seperti dilihat kerana selepas ikan dibersihkan, ikan tersebut perlu diperap bersama asam keping dan garam selama dua minggu di dalam bekas kedap udara.
“Selepas dua minggu, ianya perlu dibilas menggunakan air bersih sebelum dilumurkan menggunakan beras goreng dan mengambil masa selama tiga minggu untuk menghasilkannya,” katanya.
Menurutnya, dia juga mengakui bahawa bukan mudah untuk menghasil dan menjual ikan pekasam kerana dia perlu memastikan keadaan ikan terbabit sentiasa berada dalam keadaan baik untuk mengelak daripada lalat.
Katanya, selain ikan pekasam, dia juga turut mengusahakan perniagaaan ikan, ayam dan daging salai dan bercadang untuk mengembangkan lagi perniagaannya pada masa akan datang.
Comments