SEGAMAT – Bekas pemain bola sepak yang pernah mewakili Johor dalam saingan Liga Malaysia dan Piala Malaysia pada tahun 2000 kini terlantar akibat lumpuh daripada paras bahu ke bawah selepas terlibat dalam kemalangan pada tahun 2011.

Bekas pemain pertahanan Johor, Mohd Yussalman Jusoh, 36, berkata, dalam kejadian 29 September 2011 kira-kira pukul 11 malam itu, motosikal yang ditungganginya dirempuh sebuah kenderaan sebelum melarikan diri di Bandar Baru Uda, Johor Bahru.

“Ketika kejadian saya dalam perjalanan pulang ke rumah saya selepas pulang bekerja di sebuah pasaraya dan hanya dijumpai oleh anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) di dalam longkang dengan tidak sedarkan diri pada keesokan paginya.

“Saya kemudian terus dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru (HSAJB) dan koma selama 14 hari sebelum disahkan oleh doktor bahawa saraf tunjang saya telah rosak selain pundi kencing pecah,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, dia kemudian terpaksa ditahan di dalam wad selama 44 hari sebelum dibawa pulang oleh isterinya, Norliana Razali, 32, ke kampung mertuanya di Felda Palong Timur 1, di sini.

Tambah menyedihkan, Norliana ketika itu sedang sarat mengandung anak bongsu mereka, Mohd Zidane Mikail, 5, selain terpaksa mengharapkan ihsan ibu bapa mertuanya iaitu Razali Daud, 57 dan Zarina Hassan, 52, untuk menjaga dua lagi anak mereka.

“Saya kini tidak boleh bekerja dan haya mengharapkan bantuan bulanan sebanyak RM700 daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial Malaysia (Perkeso) selain RM300 daripada Baitulmal dan penjaga saya pula menerima RM300 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Saya juga perlu menjalani rawatan susulan setiap dua minggu sekali di Hospital Daerah Segamat (HDS) serta sebulan sekali di Pusat Rehabilitasi Perkeso di Melaka dan mujur isteri saya boleh memandu kereta,” katanya.

Menurutnya, sejak kemalangan tersebut juga, dia turut terputus hubungan dengan rakan-rakan sepasukan lain seperti Otman Katmon, Rizal Zamri Yahya dan Sani Fahmi selain pernah menangis hampir setengah tahun mengenangkan nasib dirinya itu.

Katanya, dia juga menyimpan hasrat untuk bertemu secara dekat dengan ketua pasukan Johor Darul Takzim (JDT), Mohd Safiq Rahim yang disifatkannya bukan hanya sebagai pemain yang licik, malah sebagai individu yang memiliki kepimpinan tinggi ketika di padang.

“Walaupun saya terpaksa meminta bantuan isteri untuk menguruskan diri, saya sentiasa mengikuti perkembangan pasukan JDT malah tidak pernah terlepas menyaksikan siaran langsung yang melibatkan perlawanan JDT di televisyen.

“Saya juga merindui saat-saat ketika bermain bola sepak di padang dan kali terakhir saya mewakili Johor pada tahun 2000 dengan memakai jersi nombor 25 di bawah kendalian jurulatih, Wan Jamak Wan Hassan ketika itu,” katanya.

Menurutnya, sebelum ini, dia juga pernah mewakili Johor ketika Piala Menteri Besar pada tahun 1995, Piala Razak (1996-1997), Piala Presiden (1998-1999), Piala Presiden Johor (2000) dan mewakili Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Pasir Gudang (2001).

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan bagi meringankan beban yang ditanggung oleh Yussalman boleh berbuat demikian melalui akauñ Maybank bernombor 151306742493 miliknya atau menghubunginya melalui talian 012- 7674047.

(Visited 483 times, 1 visits today)

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Sign In

Register

Reset Password

Please enter your username or email address, you will receive a link to create a new password via email.

error: Alert: Content selection is disabled!!