LABIS – Penderitaan seorang bapa enam anak di Pekan Air Panas, di sini, yang hilang upaya untuk berjalan selepas menghidap sakit saraf mendapat perhatian baru-baru ini.

Mohd Noh Alias , 55, berkata, dia mengalami kesukaran untuk berjalan apabila deria rasa kakinya kian menurun sejak setahun lalu selepas disahkan oleh doktor mengalami masalah saraf, namun keadaannya semakin parah dan tidak berupaya berdiri sejak dua minggu lalu.

“Sebelum ini walaupun mengalami kesukaran untuk berjalan, namun saya kuatkan semangat untuk menguruskan anak-anak termasuk menghantar dan mengambil mereka dari sekolah kerana isteri saya bekerja sebagai pembantu kedai di pekan Labis.

“Tetapi selepas tidak boleh berdiri dan berjalan sejak dua minggu lalu, semua tugas itu diambil alih oleh isteri saya sehingga menganggu kerjanya yang menjadi sumber menyara keluarga sejak saya sakit sebelum ini,” katanya.

Menurut bapa kepada enam anak berusia lima bulan hingga 10 tahun itu, selain terpaksa mengambil alih tanggungjawab sebagai ketua keluarga, isterinya, Rukiah Zakaria, 35, juga terpaksa menguruskan keperluannya seperti mengangkatnya untuk ke bilik air.

Rukiah pula berkata, dia kini terpaksa bercuti buat sementara waktu bagi menguruskan keluarga dan sedikit sebanyak memberi kesan kepada pendapatannya.

Katanya, setakat ini dia masih belum membuat sebarang permohonan untuk mendapatkan bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) atau Baitulmal kerana kurang faham dengan prosedur untuk membuat permohonan.

“Sebelum ini suami saya walaupun tidak sihat, masih berusaha untuk berkebun seperti menanam pisang sebagai punca pendapatan keluarga selain hasil gaji saya bekerja sebagai pembantu kedai.

“Namun selepas suami saya tidak boleh berjalan, kami bukan sahaja kehilangan pendapatan daripada usahanya, malah pendapatan dari usaha saya juga turut terjejas membuatkan kami kini berdepan dugaan yang sukar,” katanya lagi.

Sementara itu, Adun Tenang, Mohd Azahar Ibrahim berkata, dia mengakui keluarga tersebut memerlukan bantuan terutama untuk perbelanjaan persekolahan anak-anak mereka.

“Saya akan memanjangkan masalah yang dihadapi oleh keluarga ini kepada pihak yang berkenaan bagi membolehkan mereka menerima bantuan yang sepatutnya.

“Selain itu saya juga akan meminta pihak yang berkaitan seperti JKM dan Baitulmal untuk memberi perhatian serta mempercepatkan proses kelulusan permohonan mereka nanti,” katanya.

(Visited 218 times, 1 visits today)

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Sign In

Register

Reset Password

Please enter your username or email address, you will receive a link to create a new password via email.

error: Alert: Content selection is disabled!!