SEGAMAT – Seorang petugas Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Nurkasih Felda Pemanis, di sini, tidak menyangka akan menerima Faedah Pengurusan Mayat (FPM) daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Segamat.
Roslinda Roslan, 32, berkata, suaminya, Hairuddin Mohd Nasir, 36, meninggal dunia di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), Muar pada malam 6 Februari lalu selepas mengalami komplikasi pada jantungnya.
“Pada petang 6 Februari lalu, saya bersama arwah suami dan mak cik ke Felda Moakil untuk satu urusan dan melihat keadaannya yang semakin teruk, saya sendiri yang menghantar arwah ke HPSF selepas dia sendiri yang bersetuju.
“Namun, suami menghembuskan nafas terkahirnya ketika sedang mendapatkan rawatan di bilik kecemasan sebelum saya menguruskan jenazahnya untuk dibawa pulang dan dikebumikan di Felda Pemanis,” katanya.
Dia ditemui selepas menerima Faedah Pengurusan Mayat (FPM) sebanyak RM1,500 yang disampaikan oleh Penolong Pengurus Perkeso Segamat, S Mageswari di Pejabat Perkeso Segamat, baru-baru ini.
Menurutnya, dia yang telah tujuh tahun mendirikan rumah tangga bersama suaminya juga belum dikurniakan anak dan tidak menyangka akan menerima bantuan FPM tersebut selepas 17 hari suaminya meninggal dunia.
Katanya, dia juga tidak mengetahui bahawa arwah suaminya layak untuk menerima faedah tersebut kerana hanya bekerja sendiri sebelum meninggal dunia dan berterima kasih kepada rakan sekerjanya di PDK Nurkasih yang menguruskannya tanpa pengetahuannya.
Sementara itu, S Mageswari berkata, berdasarkan semakan yang dibuat, pihaknya mendapati arwah suami Roslinda pernah mencarum dengan Perkeso sebelum ini dan melayakkan dirinya sebagai waris menerima bantuan FPM tersebut.
“Selain mendapat maklumat daripada orang awam, kami akan memantau apa juga kemalangan yang disiarkan di media cetak dan elektronik yang membabitkan pencarum Perkeso melalui Skuad Prihatin Perkeso.
“Perkeso kemudiannya akan mengambil pendekatan proaktif memberi bantuan segera seperti membayar FPM sebanyak RM1,500 kepada orang tanggungan yang layak seperi balu selepas melakukan siasatan dan semakan,” katanya.
Comments