Kaki kebas secara tiba-tiba dan waktu yang sama tidak ingat apa-apa
LABIS – Seorang suri rumah di Felda Tenang, di sini, yang baharu disahkan menghidap penyakit buah pinggang terpaksa menjaga suaminya pula yang kini terlantar akibat strok sejak beberapa hari lalu.
Kalsom Mahat, 50, berkata, suaminya, Anuar A Rahman, 50, diserang penyakit strok ketika sedang menghantarnya untuk menjalani rawatan susulan di Hospital Daerah Segamat (HDS) pada 7 Januari lalu.
“Ketika itu, dia (suami) mengadu kepada saya terasa tidak sedap badan sebelum kakinya kebas serta tidak boleh berjalan dan pada masa juga dia seperti tidak boleh mengingati apa-apa dan segera dibawa ke bilik rawatan.
“Doktor kemudian mengesahkan suami saya menghidap strok pada bahagian badan sebelah kanan dan sebelum ini suami saya sihat dan tidak mempunyai sejarah penyakit kronik seperti darah tinggi dan sebagainya,” katanya.
Dia ditemui semasa menerima lawatan Ahli Parlimen Labis, Datuk Chua Tee Yong dan Adun Tenang, Mohd Azahar Ibrahim, di rumahnya, di sini.
Menurutnya, dia dan tiga anaknya yang berumur di antara lapan hingga 17 tahun itu secara tidak langsung juga turut kehilangan sumber pendapatan walaupun suaminya itu hanya bekerja sebagai tukang rumah.
Katanya, dia juga terpaksa menggunakan duit simpanannya untuk persekolahan anak-anak dan kos rawatan suaminya itu selain berikhitar menggunakan rawatan tradisional bagi mengubati suaminya itu.
“Saya juga sebenarnya perlu menjalani rawatan dialisis pada masa terdekat selepas buah pinggang saya rosak dan mempunyai masalah sejak awal Disember lalu dan buntu kerana tidak tahu siapa yang akan membawa saya.
“Saya sudah mengeluarkan belanja sebanyak RM1,800 untuk membuat tapak dialisis pada tangan di sebuah hospital swasta di Johor Bahru, baru-baru ini, dan tidak tahu sama ada hendak meneruskan rawatan atau tidak kerana memerlukan kos yang besar,” katanya.
Menurutnya, suaminya kini hanya bergantung kepada susu formula khas yang diberi melalui tiub tiga jam sekali selain belum memohon sebarang bantuan sama ada daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) atau Baitulmal.
Sementara itu, Tee Yong berkata, pihaknya akan membawa masalah yang dihadapi keluarga ini kepada pihak yang berkenaan bagi memastikan beban keluarga ini sedikit sebanyak dapat dikurangkan.
Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian dengan menyalurkan secara terus ke akaun Bank Islam milik Kalsom bernombor 01078020348185 atau menghubunginya di talian 01127822528.
Comments