SEGAMAT – Kampung Sepinang yang terletak kira-kira sembilan kilometer dari bandar Segamat merupakan sebuah kampung tradisional yang masih mengekalkan kawasan penempatan secara warisian oleh masyarakat Melayu  dan mempunyai ciri-ciri Melayu dalam seni binanya.

Ketua kampungnya, Mohd Taher Ibrahim, 68, berkata,  berdasarkan cerita orang-orang tua terdahulu, Kampung Sepinangtelah dibuka kira-kira 300 tahun dahulu dan telah diterokai oleh seorang lelaki dari keturunan Temenggung dan kemudiannya diperintah oleh seorang raja.

Menurutnya, beliau sendiri tidak dapat memastikan kesahihan cerita tersebut kerana telah berlaku terlalu lama dahulu dan tidak ramai penduduk kampung ini yang dapat mengingati cerita ini sepenuhnya lebih-lebih lagi tentang salasilah atau keturunan raja tersebut.

Mohd Taher Ibrahim
Mohd Taher Ibrahim

“Kampung ini dahulu dipenuhi dengan semak samun dan ketika mula-mula diterokai dahulu, terdapat sepohon pokok pinangtunggal yang ditemui di kawasan tersebut dan sejak itulah kampung ini dinamakan Kampung Sepinang.

“Ada juga pendapat lain yang menyatakan bahawa kampung ini dinamakan Sepinang sempena nama buah pinang yang ditemui. Variasi lain berdasarkan sebuah sekolah yang dibina berasaskan batang-batang pinang dan dipanggil ‘Sekolah Batang Pinang’ ketika itu,” katanya.

Katanya, berdasarkan penceritaan secara lisan oleh orang-orang tua di kampung tersebut, penduduk Kampung Sepinangdahulunya sangat dihormati oleh penduduk-penduduk kampung lain.

Menurutnya, sebagai contoh, ketika penduduk kampung ini menghadiri sesuatu kenduri perkahwinan di sesebuah kampung, terdapat satu balai khas telah disediakan untuk mereka yang lebih tinggi kedudukannya daripada balai-balai lain.

“Walau ke mana sahaja mereka pergi ketika itu, penduduk-penduduk kampung ini amat disegani dan dihormati oleh penduduk kampung sekitar kawasan ini. Mungkin disebabkan ketika itu kampung ini merupakan satu-satunya kampung yang diperintah oleh keturunan raja.

“Bagaimanapun, sehingga kini juga tidak diketahui mengapa pemerintahan beraja itu lenyap begitu sahaja dan hanya tinggal kenangan. Asal-usul kampung ini tetap menjadi lagenda begitu juga dengan pemerintahan berajanya yang penuh misteri itu,” katanya.

Menurutnya, terdapat tiga buah kampung yang terdapat di bawah pentadbirannya selain Kampung Sepinang iaitu Kampung Pauh dan Kampung Berangan yang kesemuanya berkeluasan kira-kira 1063.5 hektar.

Kisah Atuk Bonda Sepinang menjadi seorang bidan

Di Kampung Sepinang juga, terkenal dengan sebuah kisah mengenai seorang wanita yang digelar Atuk Bonda suatu ketika dahulu. Menurut Mohd Taher, nama sebenar Atuk Bonda ialah Wan Kundur Wan Abu Bakar dan berasal dari Kampung Belimbing, Pahang.

Menurutnya, orang-orang tua di kampung tersebut ketika itu juga tidak mengetahui tujuan dan bagiamana Atuk Bonda boleh sampai ke daerah Segamat dan seterusnya menetap di Kampung Sepinang ini.

“Atuk Bonda kemudian telah berkahwin dengan penduduk kampung ini. Namun, ketika zaman pemerintahan Jepun di Tanah Melayu dahulu, suaminya telah ditembak oleh komunis. Sejak itu dia menjadi janda dan membesarkan sendiri anak-anaknya.

“Sehinggalah pada suatu hari, dia didatangi oleh seorang pemuda untuk meminta pertolongan ketika dia sedang menidurkan anaknya yang kecil. Waktu itu, keadaan kampung masih diselubungi oleh semak samun dan rumah didirikan berjauhan di antara satu sama lain,” katanya.

Taher dihadapan replika buah pinang yang terdapat di kampungnya
Taher dihadapan replika buah pinang yang terdapat di kampungnya

Katanya, Atuk Bonda kemudian memberi alasan tidak dapat pergi untuk menolong pemuda tersebut kerana tidak ada sesiapa untuk menjaga anaknya yang masih kecil. Tambahan pula, ketika itu bahaya sentiasa ada di mana-mana.

Bagaimanapun, pemuda tersebut terus mendesak dan merayu kepada Atuk Bonda dengan meyatakan dia sangat memerlukan pertolongannya ketika itu sambil menyakinkan bahawa ada orang yang akan menjaga anaknya.

“Setelah didesak beberapa kali, akhirnya Atuk Bonda setuju dan sewaktu dalam perjalanan ke rumah pemuda tersebut, mereka telah melalui satu kampung dengan pemandangan yang indan dan jalan itu tidak pernah dilaluinya sepanjang dia berada di kampung ini.

“Perjalanan tersebut diraskaan terlalu jauh dan apabila tiba di rumah pemuda tersebut, baharulah Atuk Bonda mengetahui bahawa isteri pemuda berkenaan sedang menahan sakit untuk bersalin,” katanya.

Menurutnya, dari situlah Atuk Bonda mengetahui cara-cara membidankan orang bersalin setelah diajar oleh seorang wanita lain yang turut berada di rumah pemuda tersebut. Setelah selesai membidankan anak pemuda berkenaan, beliau telah dihantar pulang.

Namun, perjalaan ketika pulang dirasakan lebih cepat berbanding perjalanan ketika pergi dan apabila sampai di rumahnya, Atuk Bonda melihat anaknya yang kecil sedang tidur nyenyak seolah-olah ada orang menjaganya.

“Bermula saat itu, Atuk Bonda kemudian telah menjadi seorang bidan dan membidankan setiap orang yang hendak bersalin di kampung ini.Dia juga dipercayai dikurniakan satu kebolehan iaitu dengan dapat merasakan sesuatu apabila ada orang yang memerlukan bantuannya.

“Namun, segalanya kini hanya tinggal sejarah dan kenangan selepas Atuk Bonda meninggal dunia. Kisah pemuda yang meminta pertolongan dan wanita yang mengajarkannya ilmu perbidanan itu juga masih kekal misteri sehingga kini,” katanya.

Menurutnya, Kampung Pinang juga kini sudah berubah dengan memiliki kemudahan infrastruktur asas yang lengkap seperti sekolah rendah, sekolah agama, perpustakaan desa dan balairaya untuk kegunaan komuniti.

Bersama kakitangan Perpustakaan Desa Kampung Sepinang
Bersama kakitangan Perpustakaan Desa Kampung Sepinang

(Visited 2,399 times, 1 visits today)

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Sign In

Register

Reset Password

Please enter your username or email address, you will receive a link to create a new password via email.

error: Alert: Content selection is disabled!!