SEGAMAT – Penduduk di daerah ini khususnya mereka yang terlibat dalam bidang pertanian dan perladangan diminta mengambil peluang usaha kerajaan negeri dalam menjadikan Segamat sebagai daerah pertanian dan agro-pelancongan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan negeri, Datuk Ayub Rahmat berkata, Segamat merupakan lokasi yang ideal bagi para usahawan industri asas tani (IAT) dan penduduk setempat bergiat secara aktif dalam industri ini.

“Kerajaan negeri melalui portfolio pertanian juga telah mengenalpasti beberapa lokasi di daerah ini untuk dibangunkan untuk aktiviti pertanian seperti program Kebun Nukleus atau Agro Mix Farm di persimpangan Felda Pemanis.

“Sebanyak RM1.25 juta juga telah diperuntukkan bagi projek ini yang menggabungkan pelbagai aktiviti pertanian, penternakan dan akuakultur seperti tanaman sayur-sayuran, penternakan rusa dan ikan tilapia merah,” katanya.

Ayub yang juga Adun Kemelah berkata kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Muafakat Tani Daerah Segamat di Dewan Serbaguna Dun Kemelah Taman Pelangi, di sini, baru-baru ini.

Turut hadir ialah Pengerusi Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas), Datuk Seri Saipolbahari Suib: Pengarah Jabatan Pertanian Johor, Mohd Kamil Mohd Yunus dan Pemangku Pengarah Lembaga Lada Malaysia, Muhammad Hassan M Salleh.

Menurutnya, kawasan Jabatan Perhilitan di Bangas, di sini, yang mempunyai kawasan penternakan rusa juga boleh dijadikan lokasi agro-pelancongan di daerah ini selain banyak peluang berkaitan pertanian yang masih belum diterokai.

“Selain itu, apa yang menjadi keperluan usahawan IAT di daerah ini adalah satu pusat pengumpulan produk-produk pertanian berskala besar kerana sebelum ini ada pusat pengumpulan kecil tapi menelan kos yang sangat besar.

“Projek pertanian yang diusahakan di daerah ini juga perlu dipelbagaikan lagi fungsinya dan tidak terhad sebagai pengeluar makanan sahaja sebaliknya boleh dijadikan daya tarikan pelancongan serta projek hiliran yang mampu memberi pulangan lumayan,” katanya.

Pada masa sama, penduduk di daerah ini harus membuka minda untuk menilai bidang pertanian dengan lebih positif kerana bidang ini terlalu luas dan tidak terhad kepada aktiviti tanaman mahupun ternakan semata-mata.

(Visited 429 times, 1 visits today)

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Sign In

Register

Reset Password

Please enter your username or email address, you will receive a link to create a new password via email.

error: Alert: Content selection is disabled!!