SEGAMAT – Amalan melakukan solat sunat dhuha dan hajat setiap hari merupakan rutin harian tiga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Segamat, di sini, yang mencatatkan keputusan cemerlang 11A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2015.
Mohd Iqbal Mubarak Jamali, 18, berkata, selain sentiasa konsisten dalam mengamalkan solat sunat tersebut, dia sentiasa mendapatkan nasihat daripada guru dan ibu bapanya yang merupakan rujukan utamanya.
“Di sini (sekolah), saya dan rakan-rakan pelajar yang lain akan menjadikan aktiviti keagamaan seperti qiamulail, tahajjud dan membaca al-Quran sebagai rutin wajib kami dan rutin tersebut tetap saya teruskan sehingga sekarang walaupun saya sudah menamatkan persekolahan.
“Apabila saya melakukan kesemua amalan tersebut, secara tidak langsung jiwa saya menjadi lebih tenang dan dekat dengan ALLAH SWT dan pada masa sama memudahkan saya untuk mengulangkaji pelajaran,” katanya kepada Komuniti Facebook Segamat.
Menurut anak kedua kepada pasangan Jamali Salleh, 56, dan Nur Azura Shahdan, 49, dari Pekan Jabi, di sini, keputusan cemerlang tersebut juga membolehkannya meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi selepas ini dan mencapai cita-citanya sebagai jurutera.
Sementara itu, bagi rakannya, Nurfarahain Bahrudin, 18, selain dididik menjadi pelajar yang cemerlang, dia juga dididik supaya menjadi insan yang beriman dan bertakwa di sekolah tersebut.
“Al-Quran merupakan kunci kepada sesebuah kejayaan kerana di dalamnya tersimpan pelbagai rahsia untuk menjadi pelajar dan insan yang berjaya selain amalan-amalan seperti solat dan puasa sunat juga amat membantu.
“Di sekolah, kami diwajibkan untuk mengambil mata pelajaran tambahan iaitu Bahasa Arab, Quran dan Sunnah serta Syariah Islamiah dan Alhamdulillah apa yang dipelajari amat berguna dalam kehidupan seharian saya,” katanya.
Menurut anak kelima dari enam beradik yang berasal dari Felda Pemanis 2, di sini, dia berhasrat impiannya untuk mendapat biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) tercapai bagi membolehkan dirinya menyambung pengajian di luar negara dalam bidang kedoktoran.
Bagi Nadia Yazid, 18, berkata, proses mengulangkaji pelajaran juga dijadikan sebagai aktiviti yang menenangkan dan menyeronokkan bagi dirinya selain sentiasa menumpukan sepenuh perhatian di dalam kelas sewaktu sesi pembelajaran.
“Bagi saya kejayaan pada hari ini (semalam) merupakan salah satu bukti usaha kami mengorbankan waktu tidur untuk mengulangkaji pelajaran pada setiap malam meruapakan satu usaha yang berbaloi.
“Saya bercita-cita untuk menjadi jurutera perubatan dan akan merebut peluang untuk melanjutkan pelajaran sama ada di universiti di dalam atau luar negara selain berkongsi kegembiraan ini bersama ibu bapa dan ahli keluarga yang lain,” katanya.
Comments