SEGAMAT – Alumni Kolej Komuniti Segamat (KKS) yang telah berjaya dalam pelbagai bidang sama ada di dalam atau di luar negara diminta tampil kehadapan agar mampu bekerjasama serta menyumbang sesuatu kepada institusi tersebut.
Pengarahnya, Zazalli Lazin berkata, ini kerana institusi tersebut merupakan salah satu platform yang memberi mereka asas kejayaan di dalam bidang kerjaya yang diceburi oleh m ereka sekarang.
“Alumni KKS tidak sepatutnya lupa dengan budi yang ditabur oleh kerajaan sehingga membolehkan mereka berjaya dalam hidup dan mempunyai kerjaya baik. Mereka seharusnya membalas jasa itu dengan menyokong atau membantu KKS apabila diperlukan.
“Usaha yang dilakukan oleh alumni seperti yang terdapat di negara asing patut dicontohi di negara ini dengan bukan setakat berbakti dengan mengeluarkan pelbagai bantuan sebaiknya termasuk membina bangunan untuk keperluan pelajar yang sedang belajar di situ,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya sewaktu merasmikan Program ‘Sharing Is Caring’ Bersama Alumni Animasi 2D di Dewan Kuliah KKS, di sini, kelmarin.
Menurutnya, kerjasama yang diberikan oleh alumni juga mampu memberi perspektif pandangan sebenar kepada pelajar KKS bahawa bekas pelajar Kolej Komuniti yang pada awalnya tidak menyerlah dalam bidang akademik juga mampu memperolehi kerjaya yang cemerlang.
Sementara itu, Ketua Program Animasi 2D KKS, Rashidah Lip berkata, program ini diadakan bertujuan supaya bekas pelajar Animasi 2D dapat berkongsi pengalaman mereka semasa belajar di KKS dan pada masa sama berkongsi pengalaman dalam kerjaya mereka.
“Ini secara tidak langsung untuk memberi pendedahan dan pengalaman kepada pelajar Animasi 2D untuk bersedia dalam bidang kerjaya mereka pada masa akan datang dan pelajar dapat mengetahui laluan kerjaya yang bakal mereka ceburi selepas tamat pengajian kelak.
“Kami mahu para pelajar memperolehi motivasi selepas mendengar cerita-cerita kejayaan alumni sekaligus menghilangkan perasaan rendah diri kerana graduan Kolej Komuniti juga mampu bersaing dengan institusi pendidikan yang lain,” katanya.
Comments