SEGAMAT – Sebanyak 982 pasukan Program Komunikasi Untuk Perubahan Tingkahlaku (Combi) berjaya ditubuhkan bagi membantu mengawasi dan menangani penularan wabak denggi di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Ayub Rahmat berkata, jumlah tersebut berjaya menghampiri sasaran yang telah ditetapkan olehnya pada tahun lalu iaitu sebanyak 1,000 pasukan.
“Pada tahun ini, kerajaan negeri akan mengekalkan dan mengukuhkan pasukan-pasukan Combi yang ada sekarang ini kerana daripada 982 pasukan tersebut, hanya ada 60 peratus sahaja yang aktif.
“Bagaimanapun, penubuhan Combi yang baharu juga turut digalakkan kerana ini perlu dalam usaha meningkatkan kesedaran masayrakat tentang peranan, tanggungjawab dan penglibatan komuniti dalam pencegahan demam denggi dan nyamuk aedes di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas merasmikan Gotong Royong Perdana Perangi Wabak Denggi bersama agensi-agensi kerajaan anjuran Cawangan Trafik Daerah Segamat di Jalan Awang baru-baru ini.
Turut hadir ialah Adun Buloh Kasap, Norshida Ibrahim; Ketua Polis Daerah Segamat, Supritendan Mohd Kamil Sukarmi; Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Putra, Mohd Aizad Mamat dan Pegawai Kesihatan Daerah Segamat, Dr Mokhtar Ahmad.
Menurutnya, empat pendekatan perlu dilaksanakan iaitu secara besar-besaran, berulang kali, bersungguh-sungguh dan berterusan dan sekiranya semua ini dapat dilakukan, beliau percaya peratusan denggi di negeri ini dapat dikawal.
“Kesemua pendekatan ini penting bagi memastikan kejayaan dan kesinambungan program Combi memandangkan terdapatnya faktor kekangan dalam komuniti seperti tumpuan, pemilihan, tanggapan dan pengekalan.
“Dua tahun lalu, saya telah mencadangkan agar setiap jabatan kerajaan di negeri ini mewujudkan satu jawatankuasa dalaman mencegah denggi namun sambutan yang diberikan agak kurang menggalakkan,” katanya.
Menurutnya, sehingga minggu ketiga tahun ini yang berakhir 23 Januari lalu, sebanyak 563 kes denggi di negeri ini dicatatkan melibatkan satu kematian di daerah Johor Bahru berbanding 579 kes pada minggu sebelumnya.
Katanya, daripada jumlah tersebut, daerah Segamat menyumbang 3.6 peratus daripada jumlah keseluruhan tersebut manakala daerah Johor Bahru masih kekal menjadi penyumbang peratusan terbesar iaitu sebanyak 80 peratus.
“Saya meminta semua penduduk di negeri ini supaya dapat meluangkan masa 10 minit setiap minggu untuk mencari dan memusnahkan kawasan di dalam dan luar rumah yang berpotensi untuk menjadi tempat pembiakan aedes,” katanya.
Comments