LABIS – Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV) mengumumkan peruntukan sebanyak RM164,000 bagi tujuan pembelian, pemasangan dan penyelenggaraan sistem penapisan air di tujuh buah sekolah di wilayah Felda di seluruh negara.
Pengerusi FGV, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad berkata, program tersebut merupakan sebahagian daripada Pelan Khidmat Sosial Korporat ( CSR ) FGV yang memberi fokus kepada tiga elemen penting kelestarian perniagaan iaitu keuntungan, manusia dan alam sekitar.
“SMK Felda Maokil telah dipilih sebagai lokasi pertama dan menjadi perintis kepada program ini sebelum dilaksanakan di beberapa buah sekolah lagi secara berperingkat.
“Tujuan kami memilih sekolah ini kerana kami menyedari bahawa air merupakan sumber asas yang penting dan pelajar-pelajar khususnya di kawasan luar bandar perlu diberikan bekalan air bersih bagi menjamin kesihatan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Sihat Dan Jalinan Ukhuwah FGV di Dewan Serbaguna Gugusan Felda Maokil baru-baru ini.
Katanya, sebelum ini program CSR FGV memberi penekanan terhadap alam sekitar, namun pada tahun ini FGV memberi fokus terhadap elemen manusia pula.
Menurutnya, antara aspek yang diberi penekanan dalam CSR pada tahun ini adalah pembangunan ekonomi dan kesejahteraan masyarakat di sekitar lokasi operasi FGV khusunya di kawasan Felda.
“Pada 2016, FGV fokus kepada elemen alam sekitar dengan memperuntukkan dana sebanyak RM7.5 juta untuk Program Pemuliharaan Beruang Matahari dan Rafflesia selain dana sebanyak RM1.7 juta kepada kerajaan negeri Sabah dalam usaha memulihara dan melindungi biodiversiti terutama di kawasan Kinabatangan.
“Sebagai sebuah syarikat yang bertanggungjawab dan komited terhadap kemampanan perniagaan, FGV sentiasa menyokong sebarang inisiatif integrasi dengan Pelan CSR FGV bagi memastikan matlamatnya dapat dicapai dengan sempurna,” katanya.
Comments