SEGAMAT – Seorang lelaki di Felda Kemelah, di sini, mempunyai keistimewaan tersendiri apabila sepanjang hidupnya tidak pernah menjamah nasi sebaliknya bergantung kepada makanan yang berasaskan tepung dan buah-buahan sahaja.
Adon Mohd, 58, berkata, disebabkan tabiat peliknya itu, penduduk setempat menggelarnya dengan gelaran ‘Adon Tepung‘ dan bagi dirinya itu adalah satu kelebihan yang terdapat pada dirinya berbanding dengan orang lain.
“Memang saya tidak makan nasi sejak dilahirkan dan saya juga dilahirkan secara normal tanpa sebarang penyakit. Cuma yang pelik apabila saya hanya makan makanan berasaskan tepung seperti lempeng, cekodok, dan kuih muih seperti kuih talam dan kuih seri muka.
“Kuih seperti karipap saya tidak boleh makan. Jika makan saya akan muntahkan kembali. Bagaimanapun, semua jenis air saya boleh minum dan tiada masalah setakat ini. Selain makan tepung, saya juga makan tempe goreng dan buah-buahan. Sayur, ikan dan daging saya tak makan,” katanya.
Namun demikian, Adon Tepung yang juga anak keempat dari lapan beradik tidak pernah mengalami sebarang penyakit dan masalah kesihatan yang serius sehingga menjejaskan kehidupan sehariannya malahan dia masih mampu bekerja seperti kebanyakan orang.
Menurutnya, ramai yang pelik dengan tabiatnya itu memandangkan pekerjaannya sebagai pekebun dan penoreh getah memerlukan tenaga yang banyak dan mereka berpendapat dengan hanya memakan tepung tidak akan membebalkan tenaga kepada dirinya.
“Begitulah persoalan yang sering dilemparkan oleh mereka pada awalnya. Tetapi kini mereka (penduduk) boleh menerima dengan terbuka dan apabila menghadiri kenduri kesyukuran atau kenduri perkahwinan di sini, tuan rumah sudah menyediakan makanan khas untuk saya kerana mereka tahu saya tidak makan nasi.
“Bukan tidak pernah mencuba untuk makan nasi. Sewaktu tinggal bersama arwah datuk saya, dia pernah menggaul nasi dan tepung untuk dijadikan lempeng untuk saya makan. Tetapi tekak saya tidak boleh terima dan akibatnya saya memuntahkan semula makanan tersebut. Arwah emak juga pernah berbuat perkara yang sama,” katanya.
Adon yang masih bujang dan belum berkahwin itu tinggal serumah bersama adik perempuannya di rumah pusaka peninggalan keluarga di tanah rancangan tersebut.
Bagi adiknya, Saamah Mohd, 53, arwah emaknya, Fatimah Adam pernah menceritakan kepadanya bahawa sewaktu mengandungkan abangnya itu emaknya tidak menjamah sebarang nasi dan hanya memakan buah-buahan untuk mendapatkan tenaga sepanjang tempoh kehamilan.
“Mungkin ini adalah kesan daripada pembawakkan arwah emak sewaktu mengandungkan dia (abang) dahulu. Saya sendiri sebagai adik pada awalnya pelik dengan apa yang dimakan olehnya tetapi lama kelamaan sudah menjadi kebiasaan.
“Dia hanya makan dua keping lempeng dalam sehari. Jika saya ada di rumah saya yang akan membuatkan lempeng tersebut dan jika tidak abang akan buat sendiri atau hanya membeli kuih di kedai berhampiran,” katanya.
Bagaimanapun, dia bersyukur kerana abangnya itu masih diberi kesihatan tubuh badan dan merupakan salah satu faktor abangnya nampak lebih muda daripada usia sebenar walaupun sudah berumur 57 tahun.
Comments