SEGAMAT – Kira-kira 500 penjawat awam daerah ini melakar sejarah apabila menjadi pusat pentadbiran kerajaan pertama di Johor menandatangani dan melafazkan Ikrar Bebas Rasuah (IBR) melibatkan lima agensi kerajaan di Dewan Serbaguna Jalan Genuang, di sini, baru-baru ini.

Ikrar dan majlis menandatangani IBR itu diketuai Pegawai Daerah Segamat, Mohd Haffiz Ahmad pada satu majlis khas yang turut dihadiri Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor, Datuk Azmi Alias.

Lima agensi kerajaan itu ialah Pejabat Daerah Segamat, Majlis Daerah Segamat, Pejabat Tanah Daerah Segamat, Pejabat Tanah Daerah Kecil Labis dan Majlis Daerah Labis.

Mohd Haffiz dalam ucapannya berkata, sudah menjadi tanggungjawab semua penjawat awam untuk menjalankan tugas secara telus, adil dan bebas rasuah bagi memastikan perkhidmatan awam berjalan lancar serta mengelakkan sebarang persepsi negatif.

“Cabaran utama penjawat awam adalah persepsi negatif walaupun pelbagai pembaharuan dan transformasi perkhidmatan awam dijalankan, persepsi itu disebarkan menerusi media sosial dan ia perlu ditangani segera.

“Saya harap program ini mampu meningkatkan kesedaran dan intergriti dalam kalangan penjawat awam bukan sahaja di agensi terlibat, malah semua pihak termasuk swasta dan orang ramai di daerah ini,” katanya.

Menurutnya, program tersebut selari dengan titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang berhasrat menjadikan Johor sebagai negeri bebas rasuah.

Sementara itu, Datuk Azmi berkata, peranan mencegah rasuah bukan tanggungjawab eksekutif pihak SPRM semata-mata, sebaliknya menjadi tanggungjawab semua pihak termasuk penjawat awam, pihak swasta dan orang ramai.

“Kesalahan rasuah juga tidak terbatas kepada pihak tertentu seperti penjawat awam sahaja, malah orang ramai juga terdedah dengan perlakuan rasuah seperti memberi suapan dan boleh didakwa.

“Semua pihak harus berpegang teguh dan menghayati konsep ‘No Gift Policy’ seperti yang diamalkan oleh Pentadbiran Tanah Johor bagi memastikan usaha membanteras gejala rasuah di negeri ini dapat dijayakan,” katanya.

Pada masa sama, rekod siasatan SPRM Johor dari tahun 2015 hingga April 2017 di daerah Segamat hanya mencatatkan 12 kes sahaja dan kebanyakannya melibatkan aduan orang awam terhadap jabatan-jabatan kerajaan di daerah ini.

Menurutnya, kesemua kes itu disiasat di bawah Akta Pencegahan Rasuah 2009 dan kebiasaannya kesalahan yang dikesan adalah pemindahan tender, pencerobohan tanah, pertukaran hak milik tanah dan membuat perakuan kerja yang tidak sewajarnya.

(Visited 359 times, 1 visits today)

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Sign In

Register

Reset Password

Please enter your username or email address, you will receive a link to create a new password via email.

error: Alert: Content selection is disabled!!