LABIS 19 Jun – Kesedihan seorang anak yatim di sini yang terpaksa berhari raya tanpa seorang bapa terubat apabila dia bersama 50 rakan lain yang terdiri daripada anak-anak yatim dan murid pendidikan khas diraikan dalam satu majlis di Bee Honey Cafe baru-baru ini.
Mohd. Budiman Samad, 10, murid tahun empat Sekolah Kebangsaan (SK) Labis mengakui sejak ayahnya meninggal dunia akibat serangan jantung dua tahun lalu, sambutan hari raya baginya tidak lagi semeriah dahulu ketika bapanya masih ada.
“Waktu yang paling terasa kehilangan ayah ialah pada pagi raya, walaupun masih ada ahli keluarga lain, namun suasana tidak sama seperti semasa ayah masih ada.
“Memang adakalanya.saya rasa cemburu melihat rakan lain yang masih ada bapa berpeluang menunaikan solat sunat hari raya bersama bapa mereka,” kata anak bongsu dari lima adik beradik ini kepada Komuniti Segamat.
Pada majlis tersebut, seramai 50 murid dari 14 sekolah di Parlimen Labis diraikan dan turut menerina duit raya serta baju raya.
Karanya, dengan adanya majlis seperti itu sedikit sebanyak dia dapat melupakan kekurangan diri apabila bertemu dengan rakan-rakan lain yang senasib dengannya.
Bagi Nur Aiza Syamimi Daud, 12, turut melahirkan rasa gembira kerana berpeluang berbuka puasa bersama rakan-rakan lain dalam suasana yang meriah yang merupakan kali pertama selepas bapanya meninggal dunia akibat kemlangan jalan raya empat tahun lalu.
Katanya, selain mendapat duit raya dan baju raya, mereka turut berpeluang menikmati pelbagai juadah enak yang disediakan selain berkenalan dengan rakan dari sekolah lain.
Dia berharap bantuan dihulurkan kepada anak-anak yatim dan golongan miskin bukan sahaja pada waktu tertentu seperti menjelang hari raya, sebaliknya secara berterusan mengikut keperluan mereka.
Sementara itu, Pengurus Bee Honey Cafe, Norashikin Ismail berkata, program tersebut yang julung kali dianjurkan oleh pihaknya antara lain bertujuan untuk berkongsi kegembiraan dengan kanak-kanak yang kurang bernasib baik.
“Sumbangan yang kami hulurkan ini tidaklah sebesar mana, namun kami harap mampu memberi keceriaan kepada mereka pada bulan yang mulia ini,” katanya.
Comments