SEGAMAT – Tindakan pantas anggota Balai Bomba dan Penyelamat Bandar IOI berjaya menyelamatkan lima pekerja kedai makan yang terperangkap ketika kebakaran kedai tiga tingkat di Jalan Genuang, di sini, petang semalam.

Penolong Kanan Penguasa Bomba (PKPgB) Mohd Aizad Mamat berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian Malaysian Emergency Response System (Mers 999) pada pukul 3.30 petang daripada orang awam melihat asap tebal daripada kedai tersebut.

“Lima anggota dan sebuah jentera dikejarkan ke kawasan kejadian dan kami mendapat tahu terdapat lima mangsa yang terperangkap di tingkat tiga kedai tersebut sebelum usaha-usaha menyelamat mangsa dilakukan.

“Kesemua mangsa iaitu tiga perempuan dan lelaki dewasa juga berjaya dikeluarkan dengan selamat sebelum dikejarkan ke Hospital Daerah Segamat (HDS) kerana sesak nafas terhidu asap tebal namun tiada sebarang kecederaan serius,” katanya kepada Komuniti Segamat.

Menurutnya, keadaan kedai tersebut yang mempunyai struktur kayu menyebabkan api bertambah marak dan pihaknya turut mendapat bantuan empat anggota serta sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Abdullah selain tiga anggota bomba sukarela.

Katanya, api berjaya dikawal daripada merebak ke kedai berhampiran kira-kira 20 minit kemudian dan selain kedai makan tersebut, turut terjejas dalam kebakaran berkenaan adalah kedai mencetak pelekat yang terletak bersebelahan kedai makan tersebut.

“Siasatan awal mendapati kebakaran berpunca daripada bahagian dapur kedai makan sebelum api merebak ke tingkat atas kedai sehingga menyebabkan keseluruhan tingkat atas kedai terbakar keseluruhan.

“Siasatan akan dilakukan oleh Pasukan Forensik Bomba Zon Muar dan jumlah kerugian juga masih belum ditafsirkan dan kebakaran ini turut menyebabkan aliran trafik di jalan raya utama berhadapan kedai sesak seketika,” katanya.

Sementara itu, pemilik kedai mencetak pelekat, Mazmil Ailias, 36, berkata, kedai makan tersebut milik abangnya, Mahlim, 39, dan ketika kejadian mereka berada di Hospital Sultan Ismail (HSI) kerana melawat ibu mereka yang menghidap penyakit kencing manis.

Menurutnya, dia dan abangnya hanya mengetahui kejadian malang tersebut selepas dihubungi oleh rakan-rakannya sebelum bergegas pulang ke Segamat dan pada awalnya beranggapan hanya kebakaran kecil sahaja.

“Abang kemudian meminta isterinya (kakak ipar) supaya melihat keadaan kedai kami dan dia terkejut apabila hampir keseluruhan kedai yang telah kami usahakan selama lapan tahun telah terbakar.

“Kami juga masih belum menganggarkan jumlah kerugian dan seperti kedai saya sendiri, semua sistem pendawaian elektrik dan beberapa peralatan di dalam kedai telah rosak selain memerlukan modal yang besar untuk membaikinya,” katanya.

(Visited 1,277 times, 1 visits today)

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Sign In

Register

Reset Password

Please enter your username or email address, you will receive a link to create a new password via email.

error: Alert: Content selection is disabled!!