October, 2017
Lelaki maut pacuan empat roda dilanggar lori
SEGAMAT – Seorang lelaki maut selepas kenderaan pacuan empat roda yang dipandunya dilanggar sebuah lori ketika di Kilometer 191 Johor Bahru-Seremban berhampiran Taman Yayasan, di sini, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Segamat, Supritendan Raub Selamat berkata, dalam kejadian kira-kira 10.45 pagi itu, mangsa yang maut dikenali sebagai E Ganesrao, 39, yang beralamat di Taman Bukit Indah, Johor Bahru.
“Ketika kejadian, mangsa yang sedang keluar dari simpang jalan telah dilanggar di sebelah kanan oleh pemandu lori yang membawa muatan racun dari arah Segamat menghala ke arah Gemas.
“Selepas pelanggaran tersebut, kenderaan pacuan empat roda milik mangsa telah terbabas ke laluan bertentangan sebelum berlanggar dengan seorang penunggang motosikal yang datang dari arah Gemas,” katanya kepada wartawan.
Menurutnya, mangsa yang mendapat kecederaan parah di bahagian kepala dan anggota badan serta tersepit di bahagian pemandu disahkan meninggal dunia serta merta di tempat kejadian oleh pasukan perubatan.
Katanya, empat lagi penumpang pacuan empat roda tersebut yang berumur di antara 12 hingga 39 tahun yang cedera parah dibawa ke Hospital Daerah Segamat (HDS) bagi mendapatkan rawatan.
“Pemandu lori dan penunggang motosikal tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan serius dan lokasi kejadian adalah jalan berselekoh empat lorong dua hala dan terdapat simpang masuk dan keluar dari kiri jalan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan saya ingin menasihatkan pengguna jalan raya supaya berhati-hati ketika memandu terutamanya di kawasan selekoh,” katanya.
Projek ‘Artoons’ jadikan aktiviti pembelajaran menyeronokkan
SEGAMAT – Bagi menyediakan suasana pembelajaran yang kreatif dan menyeronokkan terutamanya bagi murid tahun enam, Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Putra tampil dengan projek pameran projek ’Artoons’.
Guru besarnya, Mohd Yunos Abdul Rahman berkata, disamping memberikan satu suasana positif bagi murid-murid SK Bandar Putra yang lain, projek ’Artoons’ ini juga menjadi satu aktiviti pembelajaran yang menyeronokkan.
“Ini merupakan suatu langkah penerokaan yang baharu di sekolah ini dan pameran ini berasaskan kepada kesedaran bahawa proses pembelajaran tidak harus terikat dan terhad kepada apa yang berlaku di dalam ruang kelas, tetapi melibatkan persekitaran sekolah.
“Persekitaran sekolah yang ceria berupaya merangsang dan membina kecemerlangan intelek dan sahsiah murid dan ibu bapa juga dapat melihat sendiri perkembangan visual dan seni anak mereka,” katanya kepada pemberita baru-baru ini.
Menurutnya, projek ’Artoons’ ini juga berupaya merangsang kreativiti dan menjana idea murid SK Bandar Putra serta menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih kreatif dan inovatif selain membuka minda kreatif dan kritis murid.
Katanya, program ini bermatlamat menjadikan murid lebih kreatif bermaklumat dan berupaya merangsang intelek dan sifat ingin tahu selaras dengan hasrat untuk menjadikan sekolah sebagai pusat berinformasi bagi penyaluran maklumat kepada semua.
“Kami juga mendapat sokongan daripada Johor Corporations (JCorp) dan Bank Muamalat Segamat untuk merealisasikan projek ini dan sasaran kami ialah murid tahun enam dan pendidikan khas.
“Projek ini sebenarnya dapat membebaskan proses pembelajaran daripada ruang lingkup kelas dan semua karya yang dipamerkan ini merupakan hasil ciptaan pelajar sekolah ini sendiri,” katanya.
Menurutnya, beliau berharap projek ini dapat merangsang kecemerlangan murid di dalam bidang akademik dan sahsiah serta dapat meningkatkan lagi daya kognitif dan pemikiran untuk menghasilkan karya yang lebih baik pada masa hadapan.
Warga emas pikul tanggungjawab besar
LABIS – Seorang warga emas di Kampung Sawah Baru, di sini, terpaksa memikul tanggungjawab besar apabila menjaga seorang anak, lima cucu dan dua anak saudara arwah menantunya seorang diri.
Rokiah Md Jim, 66, berkata, kehidupan mereka sekeluarga mula terumbang-ambing selepas menantunya Nizar Harun meninggal dunia dua tahun lalu sebelum tanggungjawab itu dipikul oleh anaknya, Zanariah Alwi, 37.
“Kehidupan mak cik bertambah sukar selepas Zanariah pula meninggal dunia pada minggu lalu akibat penyakit barah usus dan sebelum ini mak cik dan mereka yang ada di rumah ini banyak bergantung kepada dia (Zanariah).
“Semasa hayatnya, Zanariah juga tidak bekerja dan dia hanya menerima bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Baitulmal sebanyak RM800 manakala mak cik pula RM450,” katanya kepada pemberita.
Menurutnya, dia yang tinggal di rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) juga terpaksa tinggal berhimpit di rumah tersebut bersama lapan lagi yang lain selain tidak mempunyai pendapatan tetap.

Rokiah (dua, kanan) bersama Suzana (kanan) dan dua cucunya
Katanya, kembar Zanariah, Suzana mengalami masalah lembam manakala empat cucu-cucunya pula orang kelainan upaya (OKU) masalah pembelajaran dan hanya anak kedua Zanariah, Nurul Shakira, 16, sahaja yang normal.
“Ketika ini tidak ada seorang pun di dalam rumah ini yang boleh bekerja mencari rezeki kerana lima daripadanya masih bersekolah dan mak cik buntu memikirkan nasib mereka sekiranya mak cik meninggal dunia.
“Semua urusan seperti menghantar dan menjemput cucu-cucu yang masih bersekolah di kelas pendidikan khas di Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan Air Panas kira-kira lima kilometer dilakukan oleh Nurul Shakira,” katanya.
Menurutnya, beban sedia ada ditambah dengan tanggungjawab membesarkan dua anak saudara Nizar yang tinggal bersama mereka selepas ibu kanak-kanak tersebut yang tinggal di Johor Bahru tidak mampu menjaga mereka kerana kesempitan hidup.
Katanya, selepas Nizar meninggal dunia, dia juga tidak dapat menghubungi ibu dua kanak-kanak tersebut selain tidak mempunyai pilihan lain selain menjaga mereka dalam keadaan serba kekurangan.
“Mak cik bukan tidak mahu menjaga mereka berdua yang tidak mempunyai pertalian darah dengan mak cik, tapi mereka sepatutnya mendapat peluang untuk membesar dalam keadaan lebih sempurna, bukan dalam keadaan serba kekurangan seperti ini.
“Mak cik harap pihak berkaitan seperti JKM dan Baitulmal dapat melihat sendiri kesusahan kami dan mengkaji semula jumlah bamtuan yang diberikan ketika ini kerana jumlah tersebut memang tidak mencukupi,” katanya.
Sementara itu, Nurul Shakira berkata, dia yang terpaksa berhenti sekolah ketika tingkatan satu terpaksa berulang alik menunggang motosikal menghantar serta menjemput dua adik dan tiga sepupunya ke sekolah.
Menurutnya, walaupun dia sedar terpaksa berhadapan dengan pelbagai risiko seperti kemalangan dan disaman kerana tidak memiliki sebarang lesen, dia tiada pilihan lain kerana arwah bapanya hanya meninggalkan dua motosikal kepada keluarganya.

“Walaupun terpaksa mengikat perut, saya bertekad untuk menjaga ahli keluarga saya dan bercadang mencari kerja sambilan untuk menampung kehidupan kerana saya tidak mahu berpisah dengan adik beradik saya.
“Walaupun sudah biasa dengan kesusahan hidup, saya tidak mahu menjadikan alasan ketiadaan ayah dan ibu serta kesempitan hidup sebagai alasan untuk kami dipisahkan dan berharap ada pihak yang prihatin akan nasib keluarga kami ini,” katanya.
Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan bagi meringankan beban yang ditanggung oleh keluarga ini boleh menyalurkan secaraa terus ke akaun Maybank milik Rokiah bernombor 101114238072 atau menghubunginya di talian 01135318251.
Kesedihan balu anggota bomba dapat perhatian JBPM Johor
LABIS – Kesedihan seorang balu anggota bomba yang kematian suaminya sedikit terubat apabila Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Johor membinakannya sebuah rumah di bawah Projek Bantuan Rumah (PBR).
Rosilah Isnan, 40, berkata, arwah suaminya, Muhammad Tarmimi Sujak, 37, yang bertugas sebagai anggota bomba di Balai Bomba Rengit, Batu Pahat, meninggal dunia akibat serangan jantung pada bulan Disember tahun lalu.
“Kehilangan suami sebenarnya secara mengejut kerana sebelum ini dia seorang yang sihat dan tidak pernah mengalami komplikasi jantung dan semuanya berlaku secara tiba-tiba dan bagaikan mimpi.
“Arwah suami mengalami serangan jantung di kuarters dan ketika kejadian dia sedang bercuti sebelum dikejarkan ke Hospital Pontian untuk mendapatkan rawatan dan terpaksa dikomakan,” katanya.
Dia berkata kepada pemberita selepas Majlis Pecah Tanah PBR yang dirasmikan oleh Ahli Parlimen Labis, Datuk Chua Tee Yong di Kampung Kangkar 1, di sini, baru-baru ini.
Turut hadir ialah Adun Tenang, Mohd Azahar Ibrahim; Penguasa Bomba Zon Muar, Jahari Bahari dan Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Labis, Mohd Farizan Mokhtar.
Menurut ibu kepada Mohamad Danial, 13, suaminya kemudian dipindahkan ke Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru (HSAJB) sebelum disahkan meninggal dunia pada hari keempat menerima rawatan.
“Selepas suami meninggal dunia, saya dan anak hilang tempat bergantung kerana kami tidak mempunyai rumah sendiri dan sekarang saya masih dibenarkan tinggal di kuarters sehingga rumah ini siap sepenuhnya.
“Saya amat bersyukur kerana majikan arwah suami amat memahami situasi kami dan saya amat berterima kasih kepada JBPM kerana memberikan saya bantuan rumah ini yang begitu besar nilainya kepada saya dan anak,” katanya.

Tee Yong (kanan) sewaktu Majlis Pecah Tanah PBR
Menurutnya, dia kini hanya bergantung kepada pencen arwah suaminya selain mengambil upah membuat kuih dan tidak menolak kemungkinan untuk mencari kerja selepas berpindah ke rumah baharunya ini.
Sementara itu, Jahari berkata, projek pembinaan di bawah Program Strategi Lautan Biru Kebangsaan Ketujuh (NBOS 7) itu membabitkan kekuatan 10 anggota Bomba dan Penyelamat dari Balai Bomba Labis, Yong Peng, Rengit, Penggaram dan Batu Pahat.
“Projek ini bermula hari ini (semalam) dan dijangka dapat disiapkan pada 19 November 2017 dengan peruntukan sebanyak RM40,000 daripada Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
“Pada tahun ini sahaja, JBPM Johor sedang membina empat unit PBR dan tiga daripadanya melibatkan kebakaran dan satu lagi pula melibatkan keluarga anggota bomba,” katanya.
Menurutnya, dengan rumah yang berkeluasan 25×30 kaki dan tiga bilik ini, beliau berharap penerima bantuan ini dapat meneruskan kehidupan dengan lebih baik pada masa depan selain mengalu-alukan bantuan dan sumbangan daripada orang ramai.
Sementara itu, Tee Yong berkata, usaha yang dilakukan oleh JBPM Johor ini secara tidak langsung membuktikan pasukan tersebut sentiasa prihatin terhadap kebajikan keluarga anggotanya terutamanya mereka yang kurang berkemampuan.
S2A tarik minat pelajar ke arah bidang sains dan teknologi
SEGAMAT – Universiti Teknologi Mara (UiTM) Johor, Kampus Segamat mengambil inisiatif menganjurkan pertandingan ‘Science To Action’ (S2A) Innovation and Invention 2017 bagi menarik minat lebih ramai pelajar ke arah bidang sains dan teknologi.
Rektornya, Professor Madya Dr Azizan Abdullah berkata, S2A yang memasuki kali kedua pada tahun ini sejak pertama kali dianjurkan pada tahun 2015 merupakan salah satu peluang kepada peserta untuk lebih terdedah dengan bidang sains dan teknologi.
“Pertandingan ini juga merupakan platform tebaik bagi memupuk minat pelajar menceburi bidang sains dan teknologi pada usia muda dan seterusnya meningkatkan kecenderungan mereka menggunakan bidang sains sebagai teras untuk berinovasi.
“Pada tahun ini sebanyak lima sekolah menengah kebangsaan (SMK) di daerah ini telah terpilih menyertai pertandingan ini dengan setiap sekolah dikehendaki menghantar dua kumpulan atau projek inovasi,” katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas merasmikan S2A Innovation and Invention 2017 di Blok Karyawan, UiTM Segamat, di sini, baru-baru ini.
Menurutnya, lima sekolah tersebut ialah SMK Palong Timur, SMK Gemereh, SMK Seri Kenangan, SMK LKTP Pemanis, dan SMK Datuk Ahmad Arshad dengan setiap kumpulan terdiri daripada lima pelajar dan seorang guru penasihat.
Katanya, melalui pemerhatiannya juga, terdapat produk-produk yang dicipta oleh para peserta ini mempunyai nilai komersial dan boleh diketengahkan sebagai produk yang mampu memberi manfaat di dalam kehidupan seharian.
“Kami juga akan berusaha untuk membawa peserta dan inovasi yang dihasilkan untuk menyertai pertandingan inovasi di peringkat kebangsaan serta antarabangsa pada masa akan datang termasuk mencari jalan mengetengahkan produk yang berpotensi untuk dikormesialkan.
“Pertandingan ini juga sebagai sokongan berterusan UiTM Cawangan Johor terhadap usaha kerajaan untuk menarik minat lebih ramai pelajar menjurus ke arah bidang sains dan teknologi,” katanya.
Sementara itu, salah seorang peserta, Mohammad Fikri Hakim Rizan, 17, dari SMK Gemereh berkata, walaupun tidak memenangi pertandingan tersebut, dia gembira apabila inovasi kumpulannya mampu memberi saingan kepada peserta lain.
Menurutnya, kumpulannya yang menghasilkan ‘plastile’ iaitu jubin dan cermin tingkap daripada botol air plastik juga mengambil masa tiga minggu sebelum pertandingan untuk menghasilkan produk tersebut.
“Sebelum ini saya berada di dalam kumpulan lain. Namun, cikgu meminta saya untuk mengetuai projek baharu ini kerana saya ada ada dua tahun pengalaman termasuk menyertai pertandingan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa sebelum ini.
“Dengan bimbingan guru pembimbing, saya serta empat lagi ahli kumpulan akan terus berusaha untuk menghasilkan ivovasi baharu sebagai persiapan untuk menyertai pelbagai pertandingan inovasi pada masa akan datang,” katanya.


