September, 2017
TAJ setanding tadika milik swasta dan kerajaan
LABIS – Tanggapan sesetengah ibu bapa bahawa pendidikan di Tadika Agama Johor (TAJ) tidak setanding dengan tadika lain adalah tidak benar, malah kanak-kanak yang belajar di TAJ diberi penenkanan yang lebih terhadap pendidikan agama.
Haslinda Salleh, berkata, TAJ memberi lebih penekanan terhadap subjek agama kepada semua pelajar dan tidak menolak aktiviti kokurikulum bagi memastikan pelajarnya mampu bersaing apabila memasuki alam persekolahan sebenar.
“Ibu bapa tidak perlu berasa ragu untuk menghantar anak mereka ke TAJ, kerana kerajaan negeri telah menyediakan tenaga pengajar yang bukan sahaja berkelayakan dalam bidang akademik, malah pendidikan agama juga.
“Kerajaan negeri mempunyai komitmen tinggi untuk memastikan pelajar TAJ tidak keciciran dan mampu bersaing apabila memasuki darjah satu sekolah kebangsaan mahu pun sekolah agama kerajaan negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya semasa merasmikan Program Ihtifal Ilmi TAJ Peringkat Daerah Segamat di Sekolah Agama Chaah, di sini, baru-baru ini.
Menurutnya, silibus pelajaran yang diajar di TAJ telah diseragamkan dengan sekolah tadika lain serta sentiasa dipantau oleh pegawai yang berkelayakan dari Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) melalui satu kerjasama yang dijalinkan sejak awal penubuhannya.
“Penubuhan TAJ ini adalah selari dengan peningkatan kesedaran di kalangan ibu bapa terhadap pentingnya pendidikan awal agama kepada kanak-kanak bagi melahirkan generasi yang bukan sahaja berilmu, tetapi turut mengamalkan nilai agama yang tinggi.
“Penekanan terhadap ilmu agama secara sempurna harus dilakukan seiring dengan ilmu akademik yang lain dalam usaha melahirkan insan sempurna yang mampu menyumbang kepada masayarakat dan negara pada masa hadapan,” katanya.
Menurutnya, TAJ juga seperti tadika-tadika lain milik kerajaan dan swasta iaitu mendidik kanak-kanak pada peringkat awal dan ibu bapa juga perlu memastikan nilai-nilai murni dan ilmu yang diperolehi oleh anak mereka dapat diamalkan di dalam kehidupan seharian mereka.
Katanya, usaha yang dilakukan oleh Bahagian Pendidikan Jabatan Agama Islam Johor (Jaij) juga dapat melahirkan golongan yang bijak dan mampu menguasai Al-Quran dan seterusnya mengamalkan gaya hidup berlandaskan ajaran Al-Quran apabila mereka dewasa kelak.
Rezeki durian Segamat
SEGAMAT – Daerah Segamat sememangnya terkenal di negeri Johor sebagai salah sebuah lokasi pengeluaran durian dan setiap kali musim durian tiba, daerah ini biasanya menjadi tumpuan pengunjung terutamanya peminat buah-buahan tersebut.
Apa yang menariknya, musim buah yang tiba sekali setahun ini mempunyai cerita di sebaliknya apabila ‘raja buah’ itu ternyata memenuhi ruang gerai buah-buahan berbanding buah-buahan tempatan yang lain.
Ramai peniaga dan pemilik dusun durian juga tidak melepaskan peluang untuk memanfaatkan peluang tersebut bagi menambah pendapatan dengan wujudnya gerai-gerai buah di beberapa lokasi strategik di tepi-tepi jalan raya di sekitar daerah ini.
Bagi peniaga durian, Rosdi Yaacob, 42, berkata, musim buah khususnya buah durian di negeri ini berperingkat-peringkat iaitu bermula dari bulan Ogos sehingga November dan tidak serentak dengan kawasan-kawasan lain.
“Bagaimanapun, durian pada tahun ini sedikit berkurangan berbanding tahun-tahun sebelumnya kerana banyak putik durian tidak menjadi disebabkan faktor taburan hujan yang lebih dan keadaan cuaca yang tidak menentu.

Rosdi di gerai jualannya
“Walaupun jumlah buah terlalu sedikit, tetapi permintaannya amat tinggi sekali gus menyebabkan harga durian sedikit mahal pada tahun ini iaitu RM15 hingga RM90 sekilogram bergantung kepada gred dan jenis durian,” katanya kepada pemberita.
Menurutnya, durian Segamat mempunyai bentuk dan rasa yang berlainan berbanding dengan durian di tempat-tempat lain selain Johor merupakan salah satu negeri pengeluar durian yang utama di Malaysia, selain Perak dan Pahang.
Katanya, selain itu, faktor pengimportan durian ke Singapura dan Hong Kong juga turut mempengaruhi harga durian ketika ini selain kebiasaannya harga durian ditentukan mengikut pasaran.
“Seperti saya, bekalan durian diperolehi dari dusun-dusun durian di sekitar Labis, Bekok, Bukit Kepong serta Muar dan setiap hari jualan durian saya boleh mencecah sehingga 100 kilogram hingga 200 kilogram.
“Ramai pelanggan saya menggemari durian kampung yang musimnya hanya sekali setahun, kerana rasanya yang lemak dan enak, malah ada yang datang mencari durian kampung di sini kerana mahu merasai durian kampung segar yang baharu gugur dari pokok,” katanya.
Resah harga durian semakin mahal
Walaupun harga durian yang semakin mahal sehingga mencecah ratusan ringgit, itu tidak menjadi penghalang bagi peminat raja buah tersebut untuk menikmati keenakan durian yang hanya tiba secara bermusim.
Bagi Azman Aziz, 52, berkata, dia sanggup membayar sehingga puluhan ringgit bagi sebiji durian dan bagi dirinya, tidak salah sekiranya membayar harga yang mahal sekiranya produk tersebut setimpal dan berkualiti.
“Saya sekeluarga memang peminat durian dan memang tidak dinafikan harga durian pada tahun ini sedikit mahal berbanding tahun-tahun sebelumnya dan saya juga terpaksa mengehadkan pembelian.
“Bagaimanapun, rasa durian Segamat ini memang jauh berbeza dengan durian di tempat lain dan setiap tahun saya memang menunggu musim durian ini,” katanya.

Rosdi (kiri) membelah durian sambil diperhatikan oleh Azman (tengah)
Bagi Mira Narding, 49, yang berasal dari Tawau, Sabah, berkata, harga durian yang melonjak lebih tiga kali ganda ketika ini membuatkannya berfikir beberapa kali untuk menikmati raja buah tersebut.
Menurutnya, dia bimbang jika tiada pihak berusaha untuk mengawal harga buah tersebut, tidak mustahil durian hanya mampu dinikmati oleh golongan tertentu sahaja walaupun terdapat banyak pokok durian di daerah ini.
“Sekarang durian ini buah-buahan tempatan dan bila dinaikkan harga terlalu tinggi, tidak ada siapa yang hendak makan dan disebabkan itu, saya berharap terdapat pihak yang boleh mengawal harga durian ini.
“Banyak beza durian di Sabah dan di semenanjung. Di Sabah, kebanyakan jenis durian yang ada hanyalah durian kampung sahaja dan di sini (semenanjung) terdapat banyak pilihan durian,” katanya.
Durian ikon pelancongan Segamat

Salah satu replika durian yang terdapat di daerah ini
Sementara itu, Pegawai Daerah Segamat, Mohd Haffiz Ahmad berkata, daerah ini menjadi daerah pertama di negeri Johor yang tampil dengan identitinya tersendiri apabila melancarkan logo dan tema pelancongan daerah berasaskan durian.
Menurutnya, durian juga sangat sinonim dengan Segamat selain terdapat beberapa replika gergasi durian di sekitar daerah ini dan disebabkan kekuatan buah tersebut, pentadbiran daerah ini mengangkat durian sebagai logo dan tema pelancongan utama daerah ini.
“Kekuatan yang terdapat di daerah ini adalah kekuatan produk berasaskan eko dan agro-pelancongan dan apabila saya pergi ke negeri-negeri lain termasuk di Singapura, Segamat hanya dikenali dengan keenakan duriannya.

Mohamed Khaled (dua, kiri) sewaktu melancarkan logo pelancongan daerah ini
“Kita juga sudah mmengambil beberapa tindakan proaktif seperti pemulihan dusun-dusun durian dan potensi limau barli di Jementah yang mempunyai kualiti sama seperti di Tambun, Perak,” katanya.
Menurutnya, pelancaran logo dan tema pelancongan itu juga sudah dirasmikan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sewaktu lawatannya ke daerah ini pada 20 Mac lalu.
Padah tidak berhenti sekatan polis
SEGAMAT – Tindakan seorang lelaki yang enggan memberikan kerjasama dengan memberhentikan kereta semasa sekatan jalan raya di Jalan Muar, di sini, baru-baru ini, mengundang padah apabila dia ditahan polis.
Ketua Polis Daerah Segamat, Supritendan Raub Selamat berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 11.20 malam itu, suspek yang berumur 29 tahun dan menaiki kereta Proton Waja tidak berhenti di sekatan berkenaan walaupun terdapat papan tanda serta arahan daripada pihak polis.
“Ketika anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat cuba menahan kereta yang dinaiki suspek untuk pemeriksaan, suspek tidak mengendahkan arahan tersebut dan terus memecut laju keretanya.
“Kemudian, salah seorang anggota URB cuba mengejar suspek menaiki motosikal dan mengekori suspek sebelum suspek memandu keretanya sehingga menemui jalan mati di Jalan Persiaran Bunga Raya 13, Gemereh,” katanya kepada wartawan.
Menurutnya, suspek kemudian bertindak mengundurkan keretanya secara mengejut sehingga menyebabkan anggota URB yang berhenti di belakang kereta suspek terpaksa melompat dari motosikal yang ditunggangnya bagi mengelak dari dilanggar oleh suspek.
Katanya, suspek telah melanggar motosikal anggota URB sehingga mengalami kerosakan iaitu patah di bahagian kanan pemijak kaki sebelum suspek membuat pusingan U di simpang jalan dan kemudiannya terus memecut laju menghala ke bandar Segamat.
“Bertindak atas maklumat, dua kereta peronda polis dengan kekuatan empat anggota telah mengejar suspek di Jalan Muar menghala ke Terminal Pengangkutan Awam Segamat sebelum keretanya terbabas di jalan berhampiran persimpangan Jalan Tan Ak kerana dipandu laju.
“Suspek kemudian berjaya ditangkap dan mengalami kecederaan di bahagian muka, kedua tangan dan kaki akibat dari kemalangan tersebut dan telah dibawa mendapatkan rawatan di Hospital Daerah Segamat (HDS),” katanya.
Katanya, hasil pemeriksaan lanjut juga mendapati suspek tidak mempunyai lesen memandu dan turut positif dadah jenis morfin.
Menurutnya, Mahkamah Majistret Segamat juga telah meluluskan tahanan reman terhadap suspek selama empat hari bermula 14 hingga 17 September 2017 dan kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan.
Sanggup ambil teksi untuk lihat KMJ
SEGAMAT – Hujan lebat tidak menghalang kesetiaan kira-kira 2,000 penduduk daerah ini untuk menantikan ketibaan konvoi Kembara Mahkota Johor di Dataran, Segamat, di sini, baru-baru ini.
Seorang warga emas, Aisyah Samad, 71, berkata, dia yang tinggal di Batu 2 Buloh Kasap, di sini, juga sanggup menaiki teksi untuk membawanya dan anaknya, Hamzita Mansor, 42, untuk ke Dataran Segamat.
“Mak cik minta teksi ambil mak cik di depan rumah kerana mak cik tak ada kenderaan untuk bergerak dan mak cik tak nak terlepas peluang berjumpa Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
“Setiap kali KMJ mak cik tidak pernah terlepas dan sebelum ini semasa suami sihat, mak cik selalu pergi dengan dia apabila dia sakit, mak cik minta anak temankan mak cik dan dia juga bersetuju,” katanya kepada pemberita.
Menurutnya, dia yang tiba kira-kira pukul 11 pagi itu juga sempat mencari tempat berteduh sewaktu hujan lebat dan pergerakannya juga sedikit terbatas kerana tidak membawa tongkat dan mengalami sakit kaki.
Katanya, dia juga sedikit terkilan kerana hanya melihat Sultan Ibrahim dan kerabat diraja Johor dari kejauhan sahaja namun berbangga dengan keprihatinan Sultan Ibrahim yang sanggup berhujan semata-mata untuk mendekati rakyat.
Sementara itu, salah seorang pengunjung, Amin Shukri, 34, berkata, keadaan cuaca yang tidak mengizinkan itu juga tidak menghalang dia bersama isteri dan dua anaknya untuk terus setia menanti ketibaan konvoi keluarga diraja itu.
“Saya dan isteri sanggup mengambil cuti semata-mata untuk bersama-sama merakam detik bersejarah ini walaupun terpaksa bermandi hujan bersama-sama pengunjung yang lain.
“Memang betul kerabat Diraja Johor ini berjiwa rakyat kerana sanggup memandu kereta di dalam hujan dan sebagai Bangsa Johor, saya bangga mempunyai pemimpin seperti ini,” katanya.
Sultan Ibrahim yang tiba pada jam 11.45 pagi itu diiringi Tunku Puteri Johor, Tunku Tun Aminah Maimunah Iskandariah dan suami, Dennis Muhammad Abdullah; Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar; Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman dan Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar.
Turut hadir ialah Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussien; Menteri Kesihatan merangkap Ahli Parlimen Segamat, Datuk Seri Dr S Subramaniam dan barisan Exco kerajaan negeri.
Warga emas tarik perhatian
SEGAMAT – Kelibat seorang warga emas yang menyertai Larian Patriotik dan Kempen Kesedaran Kanser di Hospital Daerah Segamat (HDS), di sini, baru-baru ini, berjaya menarik perhatian para peserta lain yang turut mengambil bahagian.
Warga emas tersebut, Abu Bakar Hussin, 70, berkata, tidak seperti kebanyakan rakan seusianya yang lebih selesa berehat dan melakukan kegiatan ringan, dia membuktikan usia emas bukan penghalang untuk terus kekal cergas dan melakukan pelbagai sukan lasak.
“Pak cik tidak mengamalkan sebarang petua tertentu untuk kekal aktif dan sihat dalam usia sebegini dan hanya mengamalkan pengambilan makanan yang seimbang dan pada masa yang sama menjauhi sebarang makanan berminyak.
“Bila makanan yang kita ambil berkhasiat, barulah tubuh kita mampu untuk kekal sihat dan setiap hari jika tiada halangan pak cik akan berjoging kira-kira sejauh 10 kilometer di Taman Rekreasi Sungai Kapeh,” katanya.
Katanya, dia mula berlari dan berlatih sejak usia muda dan jarang mengambil makanan di luar rumah kerana lebih menggemari masakan isterinya, Azizah Ibrahim, 65, kerana isterinya tahu menyediakan masakan yang menepati seleranya.
Menurut bapa kepada empat anak itu, selain teknik mengawal pernafasan yang betul ketika berlari, dia juga akan membaca selawat sebelum memulakan larian selain mengakui kudratnya itu adalah satu pinjaman daripada ALLAH yang tidak boleh disia-siakan.
“Pak cik juga tidak merokok kerana tahu merokok akan menjejaskan stamina serta kesihatan dan selepas bersara sebagai penyelia di Majlis Daerah Segamat (MDS) pada tahun 2001, barulah pak cik mempunyai masa yang lebih untuk turun berlari.
“Walaupun tidak sepantas orang muda, pak cik masih mampu memberi cabaran kepada mereka dan sehingga kini pak cik telah menggunakan lebih daripada 192 pasang kasut sukan yang dibelikan oleh anak-anak,” katanya.
Menurutnya, dia yang aktif menyertai pertandingan larian di sini juga akan memastikan pakaian dan kasut sukan yang digunakannya selesa selain akan memberikan tumpuan sepenuhnya ketika berlari.
Katanya, dia menyertai pelbagai pertandingan dan kejohanan larian di sini bukan dengan niat untuk mengejar hadiah dan kemenangan, tetapi untuk membuktikan usia bukan faktor penghalang buat warga emas seperti dirinya untuk terlibat dengan aktiviti sihat.
Sementara itu, Pengarah HDS, Dr Mokhtar Ahmad berkata, beliau melihat larian ini sebagai tanda perpaduan dan patriotik masyarakat kepada negara dan pada masa sama menyuarakan sokongan kepada individu-individu yang menderita penyakit kanser.
“Semangat perpaduan dan kebersamaan juga dapat dilihat dengan jelas dalam kalangan kira-kira 1,500 peserta yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama apabila bersama-sama memeriahkan program ini,” katanya.


