August, 2017
2 taman terima balai komuniti
LABIS – Sebanyak RM640,000 telah diperuntukkan oleh kerajaan bagi membina dua balai komuniti di Taman Suria dan Taman Labis Jaya, di sini, bagi kemudahan penduduk untuk menjalankan aktiviti kemasyarakatan.
Ketua Whip Majlis Daerah Labis (MDL), Mansor Birat berkata, peruntukan tersebut disalurkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) kepada MDL sebagai agenai pelaksana.
“Ini merupakan salah satu usaha Ahli Majlis MDL bagi memberi kemudahan dan keselesaan kepada penduduk di beberapa taman di sekitar taman tersebut terutamanya kepada pembayar cukai.
“Seperti balai komuniti di Taman Labis Jaya, ianya turut memberi manfaat kepada penduduk di Taman Berlian, Jalan Pasar dan Pekan Labis dan kedua-dua balai komuniti ini masing-masing menelan kos RM320,000,” katanya.
Beliau berkata kepada pemberita ketika melawat kerja-kerja pembinaan balai komuniti bersama ahli MDL di Taman Suria, di sini, baru-baru ini.
Menurutnya, sebelum ini penduduk di dua taman tersebut terpaksa menggunakan kanopi untuk mengadakan sebarang aktiviti kemasyarakatan yang sedikit sebanyak menganggu kelancaran lalulintas.
Katanya, kerja-kerja pembinaan yang memakan masa tiga bulan telah pun bermula sejak dua bulan lalu dan dijangka dapat disiapkan sepenuhnya menjelang akhir bulan ini bagi digunakan komuniti setempat.
“Bagi balai komuniti di Taman Suria, hanya kerja-kerja pendawaian sahaja yang belum siap sebelum diserahkan kepada penduduk manakala di Taman Labis Jaya kerja-kerja pembinaan sedang giat dilakukan.
“Saya berharap penduduk di dua kawasan ini akan lebih mudah untuk menjalankan sebarang aktiviti kemasyarakatan dengan adanya balai komuniti ini dan ini juga salah satu car MDL memulangkan semula duit cukai kepada pembayar cukai,” katanya.
Menurutnya, setiap projek pembangunan yang dilaksanakan kerajaan adalah mengikut keperluan dan kepentingan rakyat dengan penilaian berdasarkan beberapa faktor termasuk kesan jangka masa panjang kepada rakyat sebelum dilaksanakan.
Sementara itu, Uzir Atan, 67, penduduk di Taman Suria berkata, pembinaan balai komuniti itu menamatkan penantian lebih lima tahun penduduk di kawasan tersebut untuk mendapatkan satu bangunan khas untuk kegunaan komuniti seperti majlis keramaian.
“Sebelum ini kami terpaksa menjadikan rumah penduduk secara bergili-gilir untuk menjalankan mesyuarat badan bukan kerjaan (NGO) dan jawatankuasa penduduk disebabkan tiada tempat yang sesuai.
“Selepas ini kami tidak perlu lagi menggunakan kanopi dan menutup jalan untuk mengadakan sebarang majlis kerana balai yang bakal siap tidak lama lagi ini cukup sesuai dan selesa untuk kami,” katanya.
Kanak-kanak 4 tahun derita kepala besar
LABIS – Pada saat kanak-kanak seusianya membesar dengan sihat dan sempurna, seorang kanak-kanak di Kampung Sawah Baru, di sini, terpaksa menanggung derita kerana menghidap penyakit lebihan cecair dalam kepala atau lebih sinonim dengan penyakit kepala besar.
Ibu kanak-kanak tersebut, Zainon Mohd Zin, 34, berkata, anak bongsunya, Mohd Airel Izhar Isa, 4, itu dikesan menghidap penyakit tersebut sejurus selepas dilahirkan pada tahun 2013 apabila doktor mengesan kelainan terhadap anaknya itu.
“Ketika mengandungkan Airel, doktor tidak mengesan sebarang keganjilan terhadap kandungan saya, namun naluri seorang ibu saya tahu anak yang saya kandungkan tidak sama seperti bayi lain.
“Saya melahirkan Airel secara normal dengan berat 3.13 kilogram dan ketika itu doktor memaklumkan kepada saya bahawa Airel terpaksa dimasukkan ke unit rawatan rapi kanak-kanak (ICN) kerana mengalami komplikasi,” katanya.
Dia ditemui semasa lawatan Adunn Tenang, Mohd Azahar Ibrahim ke rumahnya di Kampung Sawah Baru, di sini, baru-baru ini.
Menurut isteri kepada Isa Othman, 48, dan ibu kepada Mohd Qayyum Haqiem, 7, doktor yang merawat anaknya kemudian mengesahkan Airel menghidap penyakit dikenali ‘hydrocephalus’ yang menyebabkan saiz kepalanya lebih besar daripada bayi biasa.
“Selain saiz kepala yang besar, jari-jari kaki Airel juga bercantum dan sebagai ibu sudah tentu saya sedih melihat keadaan anak saya namun apakan daya, ini ujian ALLAH SWT dan saya perlu tabah menghadapinya.
“Sewaktu dilahirkan, dia (Airel) terpaksa ditahan di ICN lebih sebulan dan doktor pernah mencadangkan kepada kami agar melakukan pembedahan membuang lebihan air di kepalanya, namun kami tidak sanggup untuk ambil risiko,” katanya.
Menurutnya, disebabkan penyakit anaknya itu, Airel juga tidak boleh bergerak dan memberikan sebarang maklum balas seperti lapar dan ketawa hampir setahun lamanya selain hanya terbaring kaku.
Katanya, berkat kesabarannya dan suami yang tidak pernah berputus asa membawa Airel mejalani rawatan fisiologi di Hospital Daerah Segamat (HDS), Airel kini secara perlahan-lahan mampu menunjukkan perubahan positif.
“Airel kini mampu memberi tidak balas terhadap orang di sekelilingnya dan dia juga boleh mengiring dan meniarap sendiri walaupun berat badannya ketika ini hanya 10.2 kilogram sahaja.
“Airel hanya minum susu formula khas yang dimasukkan melalui tiub pada hidungnya setiap empat jam sekali dan setiap tiga atau empat hari sekali, saya akan menukarkan tiub tersebut selain Airel perlu mengambil enam jenis ubat sehari,” katanya.
Sementara itu, Isa berkata, dia yang hanya bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah sekolah di Tenang Stesen, di sini, terpaksa membelanjakan kira-kira RM500 sebulan untuk kos perubatan dan rawatan anaknya itu.
Katanya, dia juga bersyujur apabila anaknya itu turut menerima bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Baitulmal masing-masing sebanyak RM300 yang banyak membantu meringkan bebanannya itu.
“Doktor beritahu penyakit ini sukar untuk disembuhkan, namun saya tetap percaya pada ketentuan ALLAH SWT untuk melihat Airel membesar seperti bayi normal yang lain,” katanya.
Gerai makan di Jeti nelayan jadi tarikan baharu
SEGAMAT – Bagi menarik kehadiran pengunjung ke daerah ini, beberapa jeti utama yang terdapat di daerah ini akan diberi nilai tambah dengan dijadikan lokasi tempat makan berasaskan sumber sungai.
Pegawai Daerah Segamat, Mohd Haffiz Ahmad berkata, dua jeti yang terdapat di Sungai Tekam dan Sungai Chodan juga sudah dibangunkan dengan kedai makan pada tahun ini dan mula menarik kehadiran pelancong ke daerah ini.
“Selain itu, Jabatan Perikanan juga akan mewujudkan sebuah medan ikan bakar di Taman Pelangi, Paya Pulai pada tahun ini dan ini merupakan salah satu rangka Pelan Pembangunan Strategik Negeri Johor dalam menjadikan Segamat sebagai sebuah hab pertanian.
“Saya mahu orang luar yang datang ke daerah ini boleh mendapatkan tempat makan yang enak tanpa mengira waktu dan seperti jeti Sungai Tekam ini, pengunjung boleh makan malam dengan menikmati keindahan alam semula jadi,” katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas merasmikan Pelepasan Benih Ikan Ke Perairan Umum dan Penyerahan Bantuan Kepada Nelayan Darat di Pusat Agro Pelancongan Kampung Tekam, di sini, baru-baru ini.
Menurutnya, pentadbiran daerah ini juga akan turut membantu mempromosikan kedai-kedai makan yang terdapat di jeti sungai ini sama ada melalui papan iklan elektronik dan papan-papan tanda di sekitar lokasi utama di daerah ini.
“Selain terkenal dengan durian, salah satu identiti Segamat adalah keenakan hidangan udang galah dan ikan baung yang boleh dijadikan faktor tarikan pelancong dan ini adalah salah satu usaha kami.
“Makanan-makanan yang disediakan juga menggunakan bahan-bahan segar dan diperolehi daripada nelayan-nelayan darat yang terdapat di daerah ini dan kita berharap inisiatif ini akan berjaya,” katanya.
Pada masa sama, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) juga akan bekerjasama dengan Jabatan Perikanan untuk menambah bilangan spesies ikan air tawar di daerah ini terutamanya ikan baung, udang galah dan lampam.
Katanya, selepas JPS memperbaiki beberapa tebing Sungai Muar yang runtuh dan berlaku mendapan, Jabatan Perikanan akan melepaskan benih-benih ikan baharu bagi menambah popuasi spesies tersebut.
Jalan Felda Redong-Felda Selancar ditutup tanah mendap
SEGAMAT – Pengguna Jalan Felda Redong-Felda Selancar diminta agar mematuhi larangan penutupan sepenuhnya jalan tersebut oleh semua kenderaan akibat masalah mendapan yang dikesan di laluan berkenaan.
Adun Kemelah, Datuk Ayub Rahmat berkata, penutupan jalan ini juga merupakan kali kedua pada tahun ini selepas laluan tersebut terputus sewaktu banjir besar yang melanda daerah ini pada awal tahun ini.
“Selepas jalan ini siap dibaiki dan dibuka kepada kenderaan pada bulan lalu, masalah lain pula timbul apabila Jabatan Kerja Raya (JKR) mengesan mendapan tanah berhampiran bahu jalan pada awal bulan ini.
“Bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini, JKR telah menutup sepenuhnya laluan ini dan memasang penghadang di laluan ini agar tidak dilalui oleh sebarang kenderaan termasuk motosikal,” katanya kepada pemberita.
Menurutnya, beliau difahamkan kerja-kerja membaiki semula jalan tersebut sedang dilaksanakan oleh JKR dan lencongan juga sedang diusahakan selain meminta pengguna jalan raya supaya bersabar.
Katanya, buat sementara ini, pengguna jalan raya yang ingin ke Selancar atau ke Segamat juga perlu melalui Lebuhraya Segamat-Kuantan sehingga laluan berkenaan dibuka sepenuhnya kepada kenderaan.
“Satu lorong alternatif untuk kenderaan berat juga akan dibina di Jalan Felda Redong-Felda Selancar bagi melencongkan aliran trafik khususnya di kawasan perkampungan Felda Redong yang menelan kos di antara RM17 juta hingga RM20 juta.
“JKR telah menghantar permohonan ke Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) untuk memohon peruntukan dan kita harap ianya akan diluluskan dalam ‘rolling plan’ Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) akan datang,” katanya.
Katanya lagi, lencongan tersebut juga akan melalui kawasan kebun sejauh kira-kira dua kilometer dan akan melibatkan pengambilalihan tanah kebun peneroka namun dalam kuantiti yang sedikit serta pembayaran pampasan kepada mereka yang terlibat.
RM1.175 juta bagi atasi masalah banjir kilat di Parlimen Labis
LABIS – Kerajaan pusat dan kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM1.175 juta bagi melaksanakan kerja-kerja mendalam dan menyelengara beberapa batang sungai di dalam kawasan Parlimen Labis bermula bulan Januari sehingga bulan Ogos ini.
Ahli Parlimen Labis, Datuk Chua Tee Yong berkata, ini merupakan salah satu usaha bagi mengatasi masalah banjir kilat dan kerja-kerja tersebut melibatkan 13 kilometer mendalamkan sungai dan dua kilometer membuang halangan yang terdapat di dalam sungai.
“Sungai yang terlibat adalah Sungai Temangau yang melibatkan kampung Lembah Bakti dan Kampung Veran, lima kilometer di Sungau Juaseh dan dua kilometer lagi adalah longkang utama bersebelahan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Labis ke Kampung Paya Merah.
“Selain itu, terdapat juga kerja-kerja penyelengaraan longkang di Taman Labis Park bagi mengurangkan risiko banjir kilat di kawasan tersebut terutamanya di musim tengkujuh,” katanya.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) berkata kepada pemberita selepas melakukan tinjauan ke Sungai Juaseh, di sini, baru-baru ini.
Menurutnya, terdapat juga kerja-kerja mengukuhkan tebing sungai di beberapa kawasan kritikal di Sungai Tenang dan Sungai Juaseh oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi mengelakkan hakisan dan runtuhan tebing.
Katanya, daripada jumlah keseluruhan peruntukan tersebut, sebanyak RM653,000 akan digunakan bagi kerja-kerja menyelengara dan menambah baik sungai dan saliran di Kampung Tenang, di sini, bagi tujuan mengatasi banjir kilat.
“Sebanyak RM165,000 lagi akan digunakan bagi membaiki dan menyelenggara sistem saliran di Kampung Lembah Bakti serta Kampung Veran dan selain peruntukan daripada kerajaan negeri dan persekutuan, saya turut menggunakan peruntukan saya sebagai Ahli Parlimen.
“Ada kerja-kerja ini yang sudah dalam proses perlaksanaan dan sebahagian lagi akan dilaksanakan dalam masa terdekat dimana dijangka siap sepenuhnya sebelum tiba musim tengkujuh pada akhir tahun ini,” katanya.
Pada masa sama, beliau turut mencadangkan kepada Majlis Daerah Labis (MDL) supaya menambah perangkap sampah di beberapa longkang dan parit utama di sekitar Labis bagi menghalang sampah-sarap dan objek keras daripada memasuki sistem pembentungan.
Katanya, perangkap tersebut juga telah berfungsi dengan baik untuk memerangkap sampah dan hasil buangan yang dibuang oleh mereka yang tidak bertanggungjawab selain meminta pemantauan dilakukan secara berkala oleh pihak bertanggungjawab.
“Selain itu, saya juga telah meminta supaya penyelenggaraan sistem perparitan di sini (Labis) sentiasa dilakukan secara berkala memandangkan musim hujan yang berlaku sejak akhir-akhir ini.
“Kita tidak mahu keadaan banjir kilat berlaku di sini akibat kelemahan sistem perparitan dan kecuaian sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab dan saya meminta supaya MDL terus komited dalam melakukan usaha ini,” katanya.


