July, 2017
Jelajah Usahawan Miti dan Agensi 2017 sasar 5,000 pengunjung
LABIS – Jelajah Usahawan Kementerian Perdagangan Antrabangsa dan Industri (Miti) dan Agensi 2017 peringkat daerah Segamat yang akan diadakan di Dataran Labis, di sini, pada 28 hingga 29 Julai ini dijangka menarik lebih daripada 5,000 pengunjung.
Timbalan Menterinya, Datuk Chua Tee Yong berkata, jelajah tersebut turut menyediakan platform kepada usahawan baharu dari daerah ini yang mahu berkecimpung dalam dunia perniagaan, mendapatkan khidmat kaunseling, nasihat kewangan serta peluang perniagaan.
“Ini kerana, salah satu matlamat jelajah ini adalah bertujuan membantu usahawan produk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang menceburi sektor pembuatan perabot, penternakan dan pakaian mempromosikan produk keluaran mereka, khususnya di daerah ini.
“Usahawan PKS sebenarnya masih memerlukan sokongan bagi membolehkan mereka mengembangkan perniagaan masing-masing, bukan sahaja dalam aspek pemasaran, malah modal, pembungkusan, kualiti pembuatan dan sebagainya,” katanya.
Tee Yong yang juga Ahli Parlimen Labis berkata kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Jelajah Usahawan Miti dan Agensi 2017 daerah Segamat di Bilik Mesyuarat Majlis Daerah Labis (MDL), di sini, baru-baru ini.
Turut hadir ialah Ketua Whip MDL, Mansor Birat dan Haslinda Salleh.
Menurutnya, kira-kira 30 agensi kerajaan dan swasta seperti Lembaga Pelaburan Pembangunan Malaysia (Mida), Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), SME Corp Malaysia dan Majlis Amanah Rakyat (Mara) akan terlibat dalam jelajah ini.
“Selain itu, kami sedang berusaha untuk mengadakan seminar atau kursus ringkas oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) berkenaan kemahiran digital kepada usahawan-usahawan mikro di daerah ini dalam usaha membantu pemasaran secara atas talian.

“Saya berharap jelajah ini dapat menjadi pemudah cara untuk memadankan setiap permohonan dibuat usahawan ke agensi kerajaan tertentu bagi memastikan mereka memperoleh bantuan dana daripada peruntukan yang tersedia,” katanya.
Pada masa sama, jelajah ini juga bertujuan untuk menyalurkan maklumat kepada orang ramai berkenaan fungsi dan bantuan yang boleh disalurkan oleh Miti serta agensi-agensi lain di bawahnya.
“Terdapat persepsi yang salah terhadap Miti apabila orang ramai melihat Miti hanya sebuah kementerian yang mementingkan industri yang besar dan pelabur asing serta melihat sektor-sektor tertentu seperti perkilangan sahaja.
“Ini tidak benar kerana Miti juga banyak membantu syarikat-syarikat tempatan di mana jika syarikat tersebut sekurang-kurangnya 60 peratus dimiliki oleh rakyat Malaysia, kebanyakan bantuan yang disalurkan layak diterima oleh mereka,” katanya.



Jangan ragui JKM untuk daftar anak OKU
LABIS – Ibu bapa atau penjaga yang mempunyai anak yang dikategorikan orang kelainan upaya (OKU) di daerah ini tidak seharusnya ragu-ragu untuk mendaftar anak mereka dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Adun Tenang, Mohd Azahar Ibrahim berkata, ibu bapa yang mempunyai anak OKU ini tidak perlu malu, sebaliknya perlu memastikan anak istimewa mereka ini mendapat pembelaan yang sewajarnya.
“Ini kerana kerajaan begitu yakin dengan tumpuan khusus yang diberikan terhadap anak OKU dan disebabkan itu kerajaan juga menyediakan tenaga terlatih dan berpengalaman di JKM untuk membantu anak-anak istimewa ini.
“Ibu bapa perlu memanfaatkan agensi asuhan seperti Pusat Dalam Komuniti (PDK) dan kelas pendidikan khas di kawasan masing-masing supaya anak mereka mendapat pendidikan sewajarnya khususnya untuk mempelajari hidup berdikari,” katanya.
Beliau berkata kepada pemberita ketika merasmikan merasmikan Jamuan Salam Mesra Aidilfitri PDK Seri Impian Labis, di sini, baru-baru ini.
Menurutnya, satu perkembangan yang positif bagi golongan tersebut pada hari ini kerana mereka masih mempunyai peluang untuk meneruskan kehidupan seperti golongan biasa tanpa dikecualikan dari segi keupayaan tertentu selain jenis pekerjaan yang mereka pilih.
“Selain peluang kepada golongan OKU, kewujudan dan pertambahan taska di daerah ini dilihat sebagai satu keperluan untuk menyediakan kemudahan bagi kanak-kanak dari segi jagaan dan pendidikan.
“Jadi, saya menyeru agar mana-mana pusat jagaan yang mengasuh kanak-kanak untuk mendaftarkan taska mereka bagi memudahkan pihak JKM membuat pemantauan dan memberi pandangan selain mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini,” katanya.
Pada masa sama, beliau meminta JKM melakukan promosi kesedaran perlindungan kanak-kanak dalam kalangan ibu bapa termasuk mereka yang baharu berkahwin mengenai tanggungjawab mereka.
Katanya, para penjaga dan ibu bapa juga tidak perlu bimbang kerana melalui Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak, setiap taska perlu memberi khidmat asuhan yang sempurna untuk meningkatkan pertumbuhan dan perkembangan kanak-kanak.
“Akta dan peraturan ini bertujuan memberi panduan tentang persediaan minima yang patut dipertimbangkan oleh setiap taska di samping pengetahuan tentang kemahiran, pertumbuhan dan perkembangan kanak-kanak itu sendiri,” katanya.
Pada majlis tersebut, seramai 50 pelatih PDK tersebut turut menerima duit raya yang disampaikan oleh Pengerusi PDK Seri Impian, Tuty Roshizana Tumin.
Ular disangka biawak
LABIS – Sebuah keluarga di Kampung Melayu Baru Bekok, di sini, berdepan detik cemas apabila seekor ular tedung selar memasuki ruang dapur mereka, dalam kejadian kira-kira pukul 7.30 petang, kelmarin.
Zaiton Ahmad, 57, berkata, kejadian tersebut hanya disedari isterinya, Sapariah Salleh, 58, yang pada awalnya menyangka terdapat biawak yang bersembunyi dan bergaduh di bawah almari dapurnya.
“Ketika itu, dia (isteri) baharu pulang dari pasar malam dan sewaktu hendak memotong buah di dapur, dia terdengar bunyi bising di bawah almari sebelum dia mengambil penyapu dan menjolok di bawah almari tersebut.
“Selepas dia menjolok, seekor biawak besar lari daripada almari tersebut dan dia kemudiannya meneruskan semula kerjanya seperti biasa namun bunyi bising berkenaan kedengaran semula tidak beberapa lama kemudian,” katanya kepada baru-baru ini.
Menurutnya, isterinya kemudian menyuruhnya melihat sendiri apa yang berlaku di bawah almari tersebut dan terkejut melihat seekor ular tedung selar sedang mendengus sebelum mengarahkan isterinya agar menjauhkan diri daripada almari tersebut.
Katanya, dia kemudian meminta salah seorang anak perempuannya, Bazilah, 27, agar menghubungi balai bomba bagi bantuan menangkap ular tersebut yang semakin agresif selain bimbang sebarang kejadian yang tidak diingini.
“Ini merupakan kali kedua rumah saya dimasuki ular, dan kali pertama berlaku kira-kira dua tahun lalu apabila terdapat seekor ular sawa memakan ayam dan dapat ditangkap dengan bantuan penduduk kampung.
“Mujur ular tersebut tidak mematuk isteri saya yang hanya beberapa meter daripada almari tersebut dan sehingga kini saya masih trauma tambahan pula terdapat kawasan berpaya tidak jauh daripada rumah,” katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Labis, Mohd Taha Hussain berkata, tujuh anggota bersama sebuah jentera dihantar ke lokasi kejadian untuk menangkap ular sepanjang hampir empat meter itu dan mengambil masa kurang 10 minit untuk menangkap reptilia berkenaan.
Katanya, ular tersebut yang agresif dan menyorok di belakang almari juga turut menyukarkan kerja-kerja penangkapan namun dapat ditangkap menggunakan penjerut.
“Ular tedung selar betina ini akan diserahkan kepada anggota Balai Bomba dan Penyelamat Temerloh, Abu Zarin Hussin atau lebih dikenali dengan nama ‘Wira Penyelamat’ untuk tujuan kursus dan latihan kepada anggota bomba yang di kawal selia olehnya.
“Reptilia sepanjang kira-kira empat meter dengan berat 30 kilogram ini dipercayai keluar daripada habitatnya untuk mencari makanan sebelum memasuki rumah penduduk dan ini merupakan tangkapan terbesar kami bagi reptilia berbisa,” katanya.
JKM cari ibu kandung dua beradik
SEGAMAT – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Segamat meminta bantuan orang ramai untuk mengesan ibu kandung atau waris dua kanak-kanak yang kini ditempatkan di pusat jagaan sementara JKM.
Pegawai JKM Segamat, Rusyidatul Mat Yaacob berkata, kanak-kanak malang tersebut dikenali sebagai Jason Isaac, tiga, dan abangnya, Niki Iris Marandha, empat.
“Bapa kandung mereka, Christopher Marandha telah meninggal dunia pada bulan Disember 2016 manakala ibu kandungnya, Een Susanti tidak dapat dikesan sehingga kini.
“Kanak-kanak ini telah ditinggalkan di sebuah pusat jagaan di daerah Segamat sejak tahun 2014 dan bertambah malang, mereka tidak mempunyai sijil kelahiran dan maklumat berkaitan mengenai ibu bapanya,” katanya kepada pemberita.
Menurutnya, buat sementara waktu, kedua kanak-kanak tersebut akan diletakkan di bawah jagaan sementara JKM mengikut seksyen 19(2) Akta Kanak-Kanak 2001 oleh mahkamah pada 10 Julai yang lalu.
Katanya, ibu kandung atau waris kanak-kanak ini diminta tampil membantu pihak JKM untuk menguruskn proses permohonan sijil kelahiran mereka dengan datang atau menghubungi pejabat JKM Segamat di talian 079311331.
Ibu dan abang direman
SEGAMAT – Mahkamah Majistret Segamat membenarkan perintah tahanan reman terhadap seorang wanita dan anak lelakinya yang disyaki terlibat dengan kes kematian kanak-kanak perempuan berusia dua tahun di Jalan Ros, di sini, Ahad lalu.
Perintah reman selama tujuh hari bermula kelmarin sehingga 16 Julai depan itu dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah, Ahmad Shakib Ismail di Mahkamah Sesyen Segamat, di sini, kira-kira pukul 4.30 petang, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1 pagi, Ahad lalu, mangsa ditemui mati oleh ibunya sendiri di sebuah bilik sewa keluarganya di Jalan Ros selepas pulang ke rumah sebelum meminta bantuan jiran berhampiran menghubungi pihak hospital.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Raub Selamat berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan berlaku unsur penderaan terhadap kanak-kanak malang tersebut selepas mendapati terdapat beberapa kesan lebam di badan dan kepala mangsa
“Terdapat 15 kesan lebam dikesan dipercayai luka lama di beberapa bahagian badan mangsa dan siasatan terperinci berhubung kes ini masih dijalankan dan kami juga sudah merekod percakapan abang mangsa.
“Abang mangsa yang juga orang kelainan upaya (OKU) kategori lembam juga mengaku ada memukul adiknya itu namun tidak dapat dipastikan sejak bila dan siasatan awal juga mendapati ibunya tidak terlibat dengan penderaan terhadap kanak-kanak itu,” katanya.
Menurutnya, hasil semakan, ibu mangsa yang tidak mempunyai pekerjaan tetap itu juga mempunyai dua rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan kes kecurian sekitar empat tahun lalu.
Katanya, suspek lelaki yang juga abang mangsa pula tiada sebarang rekod jenayah namun pihaknya tidak menolak kemungkinan mangsa meninggal disebabkan oleh penderaan yang dilakukan oleh abangnya.
“Bagaimanapun, ujian darah yang dibuat di Hospital Daerah Segamat (HDS) mendapati ibu mangsa merupakan seorang penghidap HIV dan ujian saringan air kencing kedua-dua suspek pula didapati negatif,” katanya.


