June, 2017
JKKK perlu lengkapkan profil kampung
SEGAMAT – Semua Ketua Kampung dan ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di Dun Buloh Kasap diminta menyediakan profil kampung masing-masing bagi memberikan gambaran sebenar keadaan semasa dan keperluan penduduk setempat.
Adun Buloh Kasap, Norshida Ibrahim berkata, langkah itu penting bagi membantu kerajaan menilai dan merancang keperluan pembangunan yang perlu dilaksanakan di sesebuah kampung itu.
“Tanpa penyediaan profil kampung yang lengkap dan terkini, pihak kerajaan akan menghadapi kesukaran untuk menyediakan peruntukan bagi memenuhi keperluan yang dikehendaki masyarakat di situ.
“Jadi, tugas semua Ketua Kampung termasuk JKKK ialah menyediakan profil termasuklah mengenalpasti segala kekurangan dan keperluan masyarakat di kawasan masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan peralatan kanopi kepada JKKK Balai Badang, di sini, baru-baru ini.
Menurutnya, Ketua Kampung dan JKKK harus memainkan peranan penting sebagai mata dan telinga kerajaan dengan menyenaraikan projek pembangunan dan bantuan yang diperlukan sesebuah kampung.
“Bagaimanapun, penyenaraian projek yang harus diberi keutamaan adalah projek yang boleh memberikan manfaat kepada masyarakat umum serta berpotensi meningkatkan taraf hidup masyarakat setempat.
“Namun, setiap permohonan yang diajukan tidak semestinya dapat diluluskan kerana kita perlu memberi keutamaan kepada projek yang dapat memberi manfaat kepada seluruh masyarakat di sesebuah kampung,” katanya.
Pada masa sama, beliau berharap bantuan 10 unit kanopi kepada JKKK Balai Badang tersebut melalui peruntukannya merupakan sentuhan hati dan usaha berterusan kerajaan membantu semua golongan termasuk ahli JKKK.
Menurutnya, beliau berharap JKKK Balai Badang ini dapat memanfaatkan sepenuhnya kanopi ini untuk menambah pendapatan atau duit tabung tanpa perlu bergantung kepada peruntukan kerajaan semata-mata.
Resah bau busuk kilang sawit
SEGAMAT – Kewujudan kilang sawit di sempadan Jementah-Kebun Baharu, di sini, mengakibatkan pencemaran udara sehingga menimbulkan rasa tidak selesa kepada penduduk berhampiran kawasan tersebut.
Wakil penduduk, Mohd Nohor Kunchi Mohamed, 49, berkata, keadaan itu menyebabkan penduduk menghadapi masalah bau busuk kerana jarak kilang sawit itu hanya kira-kira 200 meter daripada jalan utama dan rumah penduduk.
“Masalah bau busuk yang dihadapi penduduk menyebabkan mereka terpaksa menutup pintu dan tingkap rumah sepanjang hari bagi mengelakkan bau, habuk serta asap hitam memasuki rumah.
“Kami dimaklumkan, kilang ini ditutup buat sementara dan kami bimbang sekiranya masalah yang dihadapi penduduk ini berlarutan, ianya mungkin boleh membahayakan kesihatan penduduk berdekatan,” katanya.
Dia ditemui semasa mengadakan bantahan pencemaran bau busuk kilang sawit bersama penduduk di Pekan Jementah, di sini, pada 8 Jun 2017.
Menurutnya, bantahan tersebut dibuat kerana kilang tersebut menimbulkan pelbagai masalah ekoran terletak di tepi jalan raya yang menjadi laluan utama penguna jalan raya dari Segamat ke Tangkak dan Muar.
“Bukan sekadar bau busuk, air yang mengalir dari kilang itu juga boleh mencemarkan sungai berhampiran termasuk sebuah loji rawatan air Syarikat Air Johor Holding (SAJH) Cawangan Jementah yang terletak kira-kira 1.6 kilometer dari kilang ini.
“Pembinaan kilang ini lebih membawa kesan negatif berbanding kesan positif selain masalah pencemaran alam sekitar yang sedia ada menjadi lebih serius dan menjejaskan kesihatan penduduk,” katanya.
Menurutnya, dia juga mewakili penduduk di kawasan tersebut berterima kasih di atas keprihatinan Ahli Parlimen Segamat, Datuk Seri Dr S Subramaniam yang peka dengan masalah tersebut sehingga membawa kepada penutupan sementara kilang berkenaan.
Katanya, pada 5 Mac tahun lalu juga, pemilik kilang sawit tersebut telah telah didakwa di mahkamah oleh kerana melanggar undang-undang di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1947 selain pembinaannya tidak diluluskan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS).
Sebelum ini juga, penduduk telah beberapa kali mengadakan dialog bersama JAS, Majlis Daerah Segamat (MDS) dan Majlis Daerah Tangkak (MDT) bagi menyelesaikan masalah berkenaan.
Terima hakikat mata buta selepas kemalangan
SEGAMAT – Seorang pemuda di Kampung Sawah Baru, di sini, terpaksa menerima hakikat mengalami kecacatan kekal apabila mata kanannya buta selepas terlibat dalam kemalangan motosikal pada 5 Mei 2016.
Mohammad Farhan Drani, 25, berkata, tragedi hitam itu berlaku di Projek Lebuhraya Utara Selatan (Plus) berhampiran susur keluar ke Pagoh sewaktu dia menunggang motosikal daripada Klang, Selangor untuk pulang ke Segamat.
“Kira-kira satu kilometer hendak sampai ke tol Pagoh, motosikal saya dihimpit sebuah lori sebelum hilang kawalan dan terbabas ke bahu jalan dan saya terus tidak sedarkan diri sebelum dibawa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF).
“Saya koma selama empat hari di HPSF sebelum dipindahkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) selama dua minggu kerana kecederaan parah selain kedua-dua tangan saya patah dan tengkorak kepala retak,” katanya.
Dia ditemui semasa Majlis Penyerahan Faedah kepada Orang Berinsurans (OB) yang disampaikan oleh Pengurus Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Segamat, Roslinda Juanis di Pejabat Perkeso Segamat, di sini, baru-baru ini.
Menurut anak bongsu dari dua beradik itu, akibat kejadian itu juga, doktor mengesahkan mata kanannya hilang deria penglihatan akibat terkena objek tumpul ketika kemalangan selain terpaksa berhenti kerja.
“Ketika kejadian, saya sebenarnya baharu bekerja sebulan di sebuah syarikat swasta di Klang dan pada mulanya, saya mengambil masa untuk menerima keadaan ini selain terpaksa menerimma hakikat daripada insan normal kepada orang kelainan upaya (OKU).
“Hari ini, saya menerima faedah Hilang Upaya Kekal (HUK) daripada Perkeso dan mendapat pencen bulanan sebanyak RM299 selain tinggal bersama keluarga dan hanya melakukan kerja-kerja kampung,” katanya.
Bagi Ali Sabtu, 68, dia yang bekerja ladang juga terpaksa mengharapkan pencen bulanan daripada Perkeso selepas terlibat dalam kemalangan motosikal di Jalan Paya Lebar-Batu Anam sewaktu hendak pulang berehat pada November tahun lalu.
Menurutnya, dia dilanggar oleh sebuah motosikal daripada arah bertentangan dan akibat kemalangan tersebut, dia cedera parah selain kaki kanannya patah tiga selain terpaksa mendapatkan rawatan di Hospital Daerah Segamat (HDS) selama dua bulan.
“Sekarang pak cik tidak boleh bekerja serta terpaksa mengharapkan isteri dan majikan pak cik sendiri yang memaklumkan kes ini kepada Perkeso dan hari ini, pak cik menerima faedah HUK,” katanya.
Sementara itu, Roslinda berkata, seramai 11 OB di daerah ini menerima faedah HUK, faedah Hilang Upaya Sementara (HUS), pencen ilat dan Faedah Pengurusan Mayat (FPM) dengan jumlah keseluruhan RM85,548.
Menurutnya, beliau juga meminta pencarum Perkeso agar tidak pernah melantik orang tengah bagi menguruskan permohonan mendapatkan bantuan pencen awal bagi pihak waris keluarga sebaliknya datang terus ke pejabat Perkeso.
Tuah Ramadan
SEGAMAT – Kedatangan bulan Ramadan pada tahun ini menjadi lebih bermakna buat sebuah keluarga di Kampung Jabi, di sini, apabila rumah mereka menerima kunjungan ahli sukareawan Skuad 1Segamat Family baru-baru ini.
Ramlah Mohd Isa, 52, berkata, dia mengakui keadaan rumahnya menjadi tidak terurus selepas disahkan menghidap penyakit strok dan terlantar pada tahun 2015 dan hanya mengharapkan suaminya, Bulat Osman, 68, untuk menguruskan rumah.
“Sebelum ini mak cik memang mempunyai penyakit darah tinggi dan kencing manis kronik dan mak cik disahkan strok di sebelah kanan badan sewaktu hendak menjalani pemeriksaan di Hospital Daerah Segamat (HDS).
“Suami pula merupakan orang kelainan upaya (OKU) cacat pendengaran sejak kecil dan sejak mak cik sakit, segala urusan rumah seperti memasak dan menguruskan rumah diuruskan olehnya,” katanya.
Menurut ibu kepada tiga anak itu, dia juga tidak menyangka kisah hidup mereka menjadi tular di aplikasi sosial, Facebook pada 26 Mei lalu dan hanya mengetahui perkara tersebut selepas dimaklumkan oleh anak sulungnya, Mohd Aizul, 19.
Katanya, suaminya pula hanya bekerja mengambil upah menoreh getah di kebun penduduk kampung dan dengan pendapatan tidak seberapa itu digunakan untuk menampung kehidupan mereka sekeluarga termasuk persekolahan anak bongsunya, Anisah Shahzira, 16.
“Rumah ini juga merupakan sumbangan Baitulmal kira-kira 10 tahun lalu selain mak cik dan suami masing-masing merupakan penerima bantuan bulanan sebanyak RM300 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Selepas kisah mak cik tular, keluarga abang mak cik di Muar telah datang ke rumah dan membantu mengemas rumah dan sebelum ini juga penduduk kampung sering datang bergotong royong di rumah kami,” katanya.
Menurutnya, dia yang terpaksa memakai lampin pakai buang setiap hari juga terpaksa mengharapkan suaminya untuk menukarkan lampin tersebut sekiranya anak-anaknya keluar bekerja dan bersekolah.
Katanya, beberapa hari lalu juga, pertubuhan belia kampungnya juga membantu mengecat semula rumahnya dan kunjungan Skuad 1Segamat Family juga untuk membantu mengemas turut menyebabkannya terharu.
Sementara itu, setiausaha Skuad 1Family Segamat, Siti Nurul Huda Mashod, 37, berkata, ini kunjungan kali kedua kumpulan sukarelawan ke rumah tersebut selepas kunjungan pertama kali dilakukan, baru-baru ini, bagi mengenalpasti keperluan keluarga berkenaan.
“Sewaktu kunjungan kali pertama, kami sedih melihat keadaan rumah ini yang kotor dan tidak terurus ditambah pula dengan mak cik Ramlah yang sakit dan terpaksa berbaring di atas tilam yang mempunyai pepijat dan tidak selesa.
“Jadi, hari ini merupakan kesinambungan lawatan kami yang pertama dan selain membersih dan mengecat rumah, kami turut menghulurkan bantuan berupa barangan keperluan harian hasil daripada sumbangan ahli-ahli,” katanya.





