May, 2017
Duta Ubat bantu jayakan kempen pemulangan ubat yang tidak digunakan
SEGAMAT – Langkah Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) mewujudkan duta ubat dalam kalangan pemimpin masyarakat di setiap daerah dapat membantu kejayaan Kempen Pemulangan Ubat yang tidak digunakan kepada pihak farmasi hospital di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan negeri, Datuk Ayub Rahmat berkata, disetiap daerah terdapat beberapa orang duta ubat yang berperanan memberi pengetahuan berhubung cara-cara menyimpan ubat, jenis serta pengambilan ubat yang betul.
“Oleh kerana ubat di hospital dan klinik kerajaan diberi secara percuma, maka tidak ramai yang mahu ambil peduli bahawa ubat-ubatan yang mereka bawa balik itu sebenarnya bernilai tinggi dan mahal.
“Mereka selalunya membuang sahaja lebihan ubat yang tidak digunakan dan jumlah ubat yang dibazirkan sebelum ini sebenarnya adalah tinggi,” katanya kepada pemberita selepas Karnival JCare Peringkat Negeri Johor di Dataran Segamat baru-baru ini.
Turut hadir Pengarah kesihatan Negeri Johor, Dr Rooshaimi Merican A. Rajim Marican, Ahli Parlimen Sekijang, Anuar Abdul Manap, ADUN Pemanis, Lau Chin Hoon dan Pengarah Hospital Daerah Segamat, Dr. Mokhtar Ahmad.
Katanya, dengan adanya duta-duta ubat itu, masyarakat lebih memahami kaedah yang dapat menjimatkan pembaziran ubat dengan cara memulangkan semula ubat yang tidak digunakan kepada pihak hospital.
Menurutnya, duta ubat yang dilantik juga memainkan peranan mendidik masyarakat agar dapat mengenali jenis ubat serta kesan buruk jika mengambil ubat yang salah atau berlebihan.
“Setakat ini saya lihat kesedaran orang ramai tentang kepentingan memulangkan ubat yang tidak digunakan meningkat dengan ketara dan tidak keterlaluan jika kita katakan ianya turut dibantu oleh gerak kerja duta-duta ubat yang telah dilantik sebelum ini.
“Tindakan memulangkan ubat juga mampu menjimatkan perbelanjaan jabatan kesihatan kerana ubat-ubat yang dibekalkan kepada pesakit adalah mahal,” katanya.
Harap pembinaan jalan tingkat ekonomi
LABIS – Kerja-kerja menaik taraf jalan persekutuan bermula dari Kampung Desa Temu Jodoh-Kampung Kwongsai sejauh 40 kilometer bermula bulan Julai ini diharap mampu meningkatkan ekonomi serta pembangunan di kawasan Parlimen Labis apabila siap kelak.
Ahli Parlimen Labis, Datuk Chua Tee Yong berkata, projek tersebut juga membuktikan kerajaan sentiasa prihatin terhadap sebarang masalah yang dihadapi oleh rakyat dan penduduk di sini yang mahukan jaringan jalan raya yang selesa.
“Pembinaan jalan ini juga sebenarnya telah lama dimohon oleh saya sejak menjadi Ahli Parlimen pada tahun 2008 dan menjadi salah satu janji saya pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) lalu.
“Saya juga mendapat tahu ada pihak yang mendakwa projek ini tidak akan dijalankan kerana janji politik dan hari ini saya telah menyangkal dakwaan tersebut dengan membawa projek yang berimpak tinggi seperti ini,” katanya.
Tee Yong yang juga Timbalan Menteri Antarabangsa dan Industri (Miti) berkata kepada pemberita semasa Jelajah FT Roadpedia Zon Selatan Kementerian Kerja Raya di Masjid Kampung Desa Temu Jodoh, di sini, baru-baru ini.
Menurutnya, selain menaiktaraf jalan, peruntukkan tersebut juga akan digunakan untuk menaiktaraf tiga jambatan berkembar yang terdapat di sepanjang laluan tersebut kerana keadaan jambatan tersebut boleh mengundang padah kepada pengguna jalan raya.
Katanya, antara jambatan yang terlibat ialah Jambatan Sungai Temangan, Jambatan Sungai Karas dan Jambatan Sungi Lendir selain kerja-kerja pembinaan akan bermula secara berfasa kerana terdapat pengalihan utiliti di sepanjang jalan.
“Projek ini akan dilaksanakan secara berperingkat dan mungkin akan memakan masa agak lama dan sepanjang tempoh tersebut mungkin terdapat beberapa gangguan dan kesulitan yang akan dihadapi oleh pengguna jalan raya.
“Saya berharap pengguna jalan raya dapat bersabar dan memahami bahawa kesulitan yang mereka hadapi sepanjang tempoh tersebut adalah bersifat sementara sebelum menikmati kemudahan serta keselesaan apabila kerja tersebut siap sepenuhnya,” katanya.
JKNJ nafi putus bekalan ubat
LABIS – Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKMJ) menafikan dakwaan orang ramai kononnya Klinik Kesihatan Kecil Chaah tiada bekalan ubat menyebabkan mereka yang datang mendapat rawatan tidak dibekalkan ubat.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Ayub Rahmat berkata, siasatan yang dijalankan mendapati, apa yang berlaku adalah tiada bekalan ubat tertentu yang dikatogerikan daripada ubat senarai A iaitu ubat yang diberikan oleh doktor-doktor pakar.
“Sebagai contoh, seorang pesakit yang mendapat rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan mula diberikan ubat daripada senarai tersebut oleh doktor pakar mungkin mengalami masalah tiada ubat tersebut di klinik-klinik kesihatan kecil dan memerlukan sedikit masa untuk dihantar ke sana.
“Maknanya masalah tiada bekalan ubat mungkin berlaku kepada mereka yang datang untuk mendapatkan rawatan susulan selepas dibenarkan keluar daripada hospital tertentu untuk mendapatkan rawatan pakar dan bukan melibatkan semua jenis ubat,” katanya.

Ayub Rahmat
Beliau berkata demikian ketika mengulas dakwaan orang ramai yang mendakwa mereka tidak dibekalkan ubat ketika pergi mendapatkan rawatan di klinik tersebut sehingga menjadi tular di aplikasi WhatsApp, baru-baru ini.
Katanya, terdapat ubat tertentu yang diberikan oleh doktor pakar di hospital tidak dibekalkan di klinik-klinik kesihatan kerana ubat tersebut hanya boleh diberikan oleh doktor pakar sahaja dimana ianya memerlukan sedikit masa untuk dibekalkan dan ianya adalah mengikut keperluan.
Menurutnya, ubat tersebut akan dibekalkan untuk pesakit yang membuat rawatan susulan bagi kemudahan mereka berbanding terpaksa pergi ke hospital yang mungkin terletak jauh dari keduaman mereka.
“Biasanya pihak Hospital Daerah Segamat (HDS) tidak memerlukan masa yang lama untuk menghantar bekalan ubat-ubatan yang berada dalam senarai ubat biasa ke klinik-klinik kesihatan kecil, iaitu tidak sampai 24 jam.
“Saya harap orang ramai tidak panik dengan berita sebegini kerana kesihatan rakyat merupakan salah satu aspek yang diberi keutamaan oleh kerajaan sejak sekian lama,” katanya.
Segamat daerah perintis projek CMA
LABIS – Daerah Segamat melakar sejarah tersendiri apabila terpilih sebagai projek perintis menggunakan Asfalt Terubahsuai Getah Bekuan (CMA) bagi projek membina semula Jalan Persekutuan dari Kampung Desa Temu Jodoh ke Kampung Kwong Sai, di sini.
Menteri Kerja Raya, Datuk Sri Fadillah Yusof berkata, projek membina semula jalan tersebut menelan kos RM92.5 juta melibatkan jarak 40 kilometer (KM) iaitu 35 KM di Parlimen Labis dan 5 KM di Parlimen Sekijang.
“Bagaimanapun, hanya 10 KM sahaja yang akan menggunakan teknologi CMA dan lokasinya masih belum ditentukan manakala 25 KM menggunakan kaedah Cold In-Place Recycling (CIPR) dan jarak selebihnya iaitu 10 KM menggunakan kaedah konvensional yang biasa.
“Walaupun kos pembinaan jalan menggunakan CMA lebih tinggi iaitu RM53 permeter berbanding RM29 permeter jika menggunakan kaedah konvensional, namun kos penyelenggaraan jalan CMA lebih rendah berbanding jalan konvensional,” katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas Taklimat Projek Perintis CMA semasa Jelajah FT Roadpedia Zon Selatan Kementerian Kerja Raya di Masjid Kampung Desa Temu Jodoh, di sini, baru-baru ini.
Turut hadir ialah Ahli Parlimen Labis, Datuk Chua Tee Yong; Ahli Parlimen Sekijang, Anuar Abdul Manap; Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Datuk Sri Zohari Akob dan Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri Johor, Ir Mohamad Salleh Abu Bakar.
Menurutnya, antara kelebihan penggunana CMA ini adalah dapat memberi rintangan lebih baik ke atas faktor-faktor yang boleh menyebabkan kerosakan jalan seperti retakan dan aluran oleh kenderaan-kenderaan berat.
“Untuk tempoh jangka masa panjang, pembinaan jalan menggunakan CMA ini mungkin lebih ekonomik memandangkan kos kitaran hayat jalan tersebut akan menjadi semakin murah pada masa sama berkualiti dan tahan lama.
“Pada masa ini, JKR dan Lembaga Getah Malaysia (LGM) masih dalam peringkat penilaian bagi menentukan kesesuaian turapan jalan menggunakan CMA ini dan penilaian akhir projek rintis ini sepatutnya mengambil masa dua tahun bagi menentukan keberkesanannya,” katanya.
Walau bagaimanapun, pasukan penilai bersetuju untuk memendekkan tempoh kajian kepada satu tahun sahaja iaitu sehingga akhir tahun ini dan antara kriteria yang diambil kira adalah dari segi kos pembinaan aspek teknikal dan kekuatan campuran asphalt tersebut.
Menurutnya, jalan tersebut yang dijangka memulakan pembinaan pada Julai tahun ini dan dijangka siap pada awal tahun 2020 juga merupakan jalan yang paling banyak menggunakan CMA di negara ini.
“Sebelum ini kita ada tiga kawasan iaitu di Temerloh, Pahang; Tampin, Negeri Sembilan dan Baling, Kedah yang menggunakan CMA sebagai kajian dengan skala yang pendek hanya 500 meter sahaja dan di Segamat adalah 20 kali ganda daripada tiga kawasan tersebut.
“Walaupun projek Jalan Kampung Desa Temu Jodoh-Kampung Kwong Sai ini merupakan projek rintis, apa yang ingin ditekankan adalah usaha kerajaan untuk membantu menstabilkan harga getah dan pada masa sama menambahbaik proses pembinaan jalan di Malaysia,” katanya.



