Menu Utama

April, 2017

 

Warga emas tinggal seorang diri dibantu

SEGAMAT – Nasib seorang warga emas yang tinggal seorang diri di sebuah rumah di Kampung Sepinang, di sini, mendapat perhatian Adun Buloh Kasap, Norshida Ibrahim dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Segamat, baru-baru ini.

Isa Md Diah, 74, berkata, dia yang tinggal seorang diri di rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) itu juga tidak mempunyai sumber pendapatan dan hanya mengharapkan ihsan penduduk kampung dan jiran terdekat.

“Pak cik terkejut apabila ramai orang yang datang ke rumah untuk membantu membersihkan kawasan rumah pak cik dan terharu kerana jarang ada orang yang mahu datang ke rumah pak cik.

“Pak cik selesa duduk seorang diri di rumah ini dan hanya makan serta minum apa yang ada dan pernah mengikat perut kerana tidak ada wang untuk membeli makanan dan tidak mahu menyusahkan sesiapa,” katanya.

Menurutnya, dia juga disahkan oleh doktor menghadapi penyakit mental akibat tekanan perasaan selepas bercerai dengan isterinya pada tahun 1970-an dan turut mempunyai seorang anak lelaki hasil perkahwinan tersebut.

Katanya, dia kini hanya bergantung kepada bantuan bulanan sebanyak RM300 daripada Jabatan Kebajikan Masyarkat (JKM) dan mengakui anak lelakinya juga sering datang menjenguknya apabila mempunyai kelapangan.

“Pak cik memang asal daripada kampung ini dan pak cik pernah menjadi ketua kumpulan kompang kampung ini pada tahun 1966 dan sebab itu pak cik tidak mahu berpindah keluar daripada kampung ini.

“Memang kawasan rumah pak cik ini agak semak kerana sudah tidak ada kudrat untuk membersihkan rumah dan keadaan di dalam rumah pak cik juga begitu dan mungkin tidak selesa untuk orang lain,” katanya.

Menurutnya, dia juga terharu dan berterima kasih dengan kunjungan dan gotong royong yang dilakukan oleh Norshida dan APM Segamat dan mengakui kunjungan tersebut menceriakan dan membantu meringankan bebannya.

Sementara itu, Norshida berkata, pihaknya sentiasa peka dengan keperluan warga emas tersebut memandangkan dia tinggal seorang diri dan tidak mampu menguruskan kehidupan seharian.

“Selain membersihkan persekitaran rumah warga pak cik Isa, kami turut mengemas di dalam rumahnya yang bersepah bertujuan untuk memberi keselesaan dan menjaga kesihatan warga emas ini.

“Pihak APM Segamat juga turut membantu memotong rambut dan memandikan pak cik Isa kerana keadaannya sebelum ini tidak terurus dan kita juga turut memberikan pakaian baharu dan bantuan makanan,” katanya.

Menurutnya, selepas ini pihaknya juga akan melakukan lawatan berkala di rumah warga emas tersebut dan berharap kerja-kerja sukarela ini mampu memberikan keselesaan kepadanya.


Berjalan 3 km untuk besarkan tiga cucu

LABIS – Seorang nenek di Taman Suria, di sini, terpaksa tabah membesarkan tiga cucunya dengan kudratnya sendiri selepas anak dan menantunya menghilangkan diri sejak beberapa tahun lalu.

Normah Asinar, 61, berkata, dia juga terpaksa bekerja sebagai pekerja pembersihan di sebuah pasar raya di Pekan Labis untuk menyara tiga cucunya, Mohamad Zainawi Abdullah, 14; Mohamad Syawal Zainawi, 4, dan Siti Aishah, 3.

“Sebelum ini mak cik tinggal di rumah peninggalan keluarga di Pekan Air Panas selama dua tahun sebelum berpindah ke rumah sewa sekarang kerana hendak bekerja dan menyara tiga cucu mak cik yang masih kecil dan bersekolah.

“Mak cik baharu bekerja di pasar raya tersebut tiga bulan dan mak cik juga terpaksa berjalan kaki kira-kira tiga kilometer dari rumah sewa ke tempat kerja dan mak cik lakukan ini semua kerana cucu-cucu,” katanya kepada Komuniti Segamat.

Menurutnya, Zainawi yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kamarul Ariffin, di sini, juga terpaksa menumpang jirannya untuk ke sekolah dan terpaksa pulang ke rumah hanya dengan berjalan kaki.

Katanya, dia juga terpaksa menghantar Syawal dan Siti Aishah ke taman asuhan kanak-kanak (taska) berhampiran rumah sewanya sewaktu dia keluar bekerja dari pukul sembilan pagi hingga lapan malam.

“Apabila Zainawi balik dari sekolah pada pukul dua petang, dia akan mengambil adik-adiknya dari taska dan menjaganya sehingga mak cik pulang dari kerja dan sebelum itu memang mak cik sudah siapkan makanan untuk mereka di rumah.

“Dengan pendapatan mak cik yang tidak seberapa ini, mak cik terpaksa bahagikan untuk duit sewa rumah sebanyak RM150 sebulan, persekolahan dan taska cucu-cucu mak cik dan selebihnya untuk perbelanjaan dan kos ubat-ubatan,” katanya.

Menurutnya, seperti Syawal, dia hanya mempunyai satu buah zakar sahaja dan mengalami kesukaran untuk kencing selain mempunyai masalah jantung dan Aishah pula sel darah putih dan merahnya tiada vitamin dan sering pengsan.

Katanya, dia juga akan pergi ke Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru (HSAJB) dua kali sebulan untuk rawatan susulan Aishah kerana disyaki menghidap penyakit leukimea dan berada di bawah pemantauan doktor.

“Ketiga-tiga cucu mak cik setiap seorang mendapat bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM100 dan mak cik pula mendapat bantuan Baitulmal sebanyak RM350.

“Dulu, mak cik dan cucu-cucu juga pernah mengikat perut dengan tidak makan selama seminggu disebabkan tiada wang untuk membeli makanan dan pernah memberi minum Aishah dengan air teh sahaja kerana tidak mampu untuk membeli susu,” katanya.

Menurutnya, kali terakhir dia bertemu dengan ibu kepada cucu-cucunya itu, Siti Noraini Talib, 27, adalah pada tahun 2014 sewaktu dia hendak melahirkan Aishah sebelum menghilangkan diri sejurus selepas bersalin.


JPJ keluar 126 saman dalam operasi bersepadu

SEGAMAT – Sebanyak 126 saman dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sepanjang Operasi Bersepadu Pengarah JPJ Negeri Johor di sekitar daerah ini selama dua hari baru-baru ini.

Pengarah JPJ Johor, Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, operasi itu diadakan di 10 lokasi di antaranya di Jalan Genuang, jalan susur ke Syarikat Air Johor (SAJH) Segamat dan persimpangan masuk ke Jalan Lapangan Terbang dan Jalan Muar-Segamat.

“Operasi ini disertai oleh enam agensi penguatkuasaan termasuk JPJ (63), polis (empat), Imigresen (12) Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) (empat), Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) (dua) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (6).

“Sebanyak 129 notis telah dikeluarkan oleh JPJ, manakala AADK mengesan dua individu dikesan positif ujian air kencing semasa operasi sedang dijalankan,” katanya kepada Komuniti Segamat.

Menurutnya, sepanjang dua hari operasi dijalankan, kebanyakan saman yang dikeluarkan adalah saman tidak memiliki lesen memandu dan lingkungan umur yang tidak mempunyai lesen memandu adalah di antara 17 hingga 30 tahun.

Selain itu, kesalahan lain yang dikesan adalah kesalahan teknikal seperti memasang cermin gelap, nombor pendaftaran yang tidak memenuhi piawaian dan turut menghargai kerjasama yang diberikan oleh agensi-agensi kerajaan sepanjang operasi tersebut dijalankan.

Pada masa sama, JPJ Johor juga sudah bersedia untuk menguatkuasakan Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (Awas) dan Sistem Pemberian Mata Demerit Kesalahan Jalan Raya (Kejara) pada 15 April ini.

“Kita akan memberi fokus terhadap dua kesalahan iaitu had laju serta lampu isyarat dan pengguna jalan raya diharapkan akan lebih berhemat dalam pemanduan sekali gus mematuhi peraturan jalan raya yang ditetapkan.

“Pesalah yang melanggar undang-undang kali pertama akan dipotong mata demerit serta diberi amaran manakala kesalahan kedua akan disaman dan sekiranya masih lagi melakukan kesalahan, lesen memandu mereka akan digantung,” katanya.

Menurutnya, sekiranya pemandu kenderaan mengutip mata demerit kali keempat, lesen memandu mereka akan dibatalkan dan dikehendaki mengambil semula lesen di pusat latihan memandu seperti semula.

Katanya, sekiranya pesalah ingkar dan tetap memandu kenderaan sama ada kenderaan persendirian dan perdagangan, sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang RM3,000 dan maksimun RM10,000 atau tiga tahun penjara.


JPJ ke sekolah bukan untuk saman

SEGAMAT – Program Keselamatan dan Penguatkuasaan Terhadap Pelajar Sekolah oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bukan bertujuan menyaman pelajar, sebaliknya lebih bertujuan untuk mendidik dan advokasi.

Pengarah JPJ negeri Johor, Mohd Rosdi Mohd Darus berkata, pihaknya hanya akan mengeluarkan Notis 114 iaitu arahan temu siasat kepada pemilik motosikal bagi membolehkan pemeriksaan lanjut serta memberi nasihat kepada pemilik kenderaan.

“Namun, saya ingatkan kepada mereka yang menerima notis tersebut agar tidak memandang ringan dan mengabaikan notis tersebut kerana tindakan mengeluarkan saman akan dilakukan kepada mereka yang berdegil.

“Bagi notis pertama, pemilik kenderaan dikehendaki hadir ke sekolah terlibat untuk proses temu siasat dan nasihat dan jika mereka tidak hadir, peluang kedua akan diberikan untuk mereka hadir sendiri ke pejabat JPJ berdekatan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa sidang media sempena Program Keselamatan dan Penguatkuasaan Terhadap Pelajar Sekolah di Pejabat JPJ Cawangan Segamat, di sini, baru-baru ini.

Menurutnya, tindakan tegas termasuk mengeluarkan saman akan dilakukan kepada penerima Notis 114 yang berdegil dan gagal hadir ke pejabat JPJ bagi proses temu siasat selepas peluang kedua diberikan.

Katannya, setakat ini hanya tiga buah sekolah terpilih bagi program tersebut di negeri ini iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pasir Gudang, SMK Taman Molek di Johor Bahru dan SMK Tun Perak di Muar.

“Hasil daripada advokasi ini, sebanyak 158 motosikal telah diperiksa dan sebanyak 93 notis temu siasat telah dikeluarkan oleh JPJ dan semua anggota telah diarahkan untuk tidak mengeluarkan saman sepanjang program ini dilaksanakan.

“Setakat ini kesalahan yang dikesan dilakukan oleh pelajar di tiga sekolah terbabit adalah melibatkan tiada cukai jalan dan perlindungan insuran sebanyak 54 kes, tiada lesen memandu (56 kes), tidak memakai topi keledar (tiga kes) dan lain-lain kesalahan 50 kes,” katanya.

Pada masa sama, sebanyak 22 sekolah di negeri ini telah menubuhkan Kadet JPJ dengan jumlah keanggotaan kira-kira 750 orang dan menyasarkan sekurang-kurangnya 46 sekolah menengah di negeri ini mempunyai pasukan beruniform tersebut.

Katanya, matlamat penubuhan untuk membentuk pelajar melalui pelbagai aktiviti bagi meningkatkan disiplin diri, membina semangat kerjasama dan patriotisme, selain memberi pendedahan mengenai peraturan jalan raya.


Jangan malu ada anak autisme

SEGAMAT – Ibu bapa di negeri ini yang mempunyai anak autisme seharusnya tampil kehadapan bagi membolehkan anak mereka diberi rawatan dan pendidikan khusus selaras dengan penyakit yang dihidapi oleh mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan negeri, Datuk Ayub Rahmat berkata, ini kerana beliau mendapati ada di antara ibu bapa penghidap autisme yang malu untuk tonjol kehadapan dan mendedahkan anaknya kepada khalayak ramai.

“Pendedahan mengenai autisme ini masih agak rendah dikalangan masyarakat kita dan rata-rata masyarakat sukar untuk menerima jika anak mereka dikatakan mempunyai perbezaan dengan kanak-kanak lain.

“Kurangnya pengetahuan dan sikap ego sesetengah ibu bapa juga menyebabkan kanak-kanak ini tidak mendapat rawatan atau terapi yang sewajarnya bagi masalah autisme yang dihadapinya,” katanya.

Ayub yang juga Adun Kemelah berkata kepada pemberita selepas merasmikan Hari Autisme Pendidikan Khas dan Kesederaan Kepenggunaan Daerah Segamat di Dewan Felda Redong, di sini, baru-baru ini.

Turut hadir ialah Ketua Cawangan Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Segamt, Nazri Sarian; Pegawai Pelajaran Daerah Pendidkan Khas Segamat, Masnawi Shamsuddin dan Pengurus Felda Redong, Rosli Abdul Majid.

Menurutnya, autisme merupakan sejenis gangguan perkembangan saraf otak yang berlaku di kalangan kanak-kanak seawal usia satu hingga tiga tahun sehingga menyebabkan mereka ini sukar menerima pelajaran seperti rakan normal yang lain.

“Kira-kira 40 hingga 70 peratus kanak-kanak autisme ini mungkin menghadapi masalah kurang upaya intelektual, 30 hingga 60 peratus menghadapi masalah kecerdasan otak (IQ) yang biasa manakala kurang dari 10 peratus mungkin mempunyai kemampuan IQ melebihi 110.

“Di Malaysia, terdapat modul pembelajaran khas yang ditawarkan di sekolah seperti Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) dan Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) bagi memastikan perkembangan pesakit autisme ini dapat berkembang,” katanya.

Pada masa sama, Ayub mengingatkan orang ramai agar tidak mempercayai apa-apa tawaran yang dibuat oleh mana-mana individu yang mengaku sebagai jururawat dan mahu melakukan pemeriksaan kesihatan di rumah.

Katanya, ini bagi mengelakkan kes jenayah yang berlaku di Ayer Hitam dan Yong Peng, Batu Pahat berulang apabila melibatkan dua wanita yang menyamar sebagai jururawat dan mengaku daripada Jabatan Kesihatan Daerah Batu Pahat.

“Saya juga telah meminta Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Johor supaya mengingatkan kakitangan-kakitangannya agar menjaga disiplin dan tindakan menyamar sebagai jururawat ini adalah tidak bertanggungjawab dan hanya mahu mengambik kesempatan,” katanya.