March, 2017
Pemuda ternak arnab
SEGAMAT – Seorang pemuda di Kampung Sawah Baru dekat sini, tidak menyangka permintaan adiknya untuk membeli seekor arnab hiasan semasa berkunjung ke expo di Dataran Labis tiga tahun lalu menjadi titik tolak kepada usahanya menternak arnab hiasan ketika ini.
Khairulnizan Omar,22, bekas pelajar Kolej Yayasan Felda Mempaga dalam bidang masakan berkata, dia mula ‘jatuh cinta’ dan terfikir untuk menternak arnab selepas mendapati haiwan peliharaan tersebut mempunyai ramai peminatnya sendiri sejak lebih dua tahun lalu.
“Selain comel dan manja, arnab hiasan juga mudah dipelihara selain mengambil masa yang singkat untuk membiak dan membesar berbanding haiwan hiasan lain seperti kucing dan burung.
“Arnab hiasan hanya memerlukam masa sekitar tiga hingga empat minggu sahaja untuk mencapai berat 500 gram selepas dilahirkan dan boleh dijual,” katanya yang turut dibantu adiknya untuk melakukan kerja -kerja menjaga arnab tersebut kepada Komuniti Segamat.
Menurutnya, kini dia mempunyai kira -kira 80 ekor arnab hiasan daripada baka Holland Loop, Lion Head, Anggora, Ducth dan Rex yang sedia untuk dipasarkan kepada peminat haiwan peliharaan tersebut.

Salah seekor arnab hiasan baka Lion Head milik Khairulnizan
Ujarnya lagi, setakat ini arnab peliharaannya mendapat permintaan daripada peminat arnab hiasan dari negeri seperti Melaka, Negeri Sembilan dan Selangor selain Johor yang sering datang untuk mendapatkan arnab yang dihajati serta pernah dilawati peminat arnab hiasan dari Taiwan baru -baru ini.
Katanya, selain arnab hiasan dia turut memelihara kira-kira 300 ekor arnab daging daripada baka New Zealand White dan Groot kerana terdapat permintaan dari pelanggan yang gemar keenakan daging arnab.
Tambahnya lagi, arnab hiasan hanya melahirkan dua atau tiga ekor setiap kali beranak berbanding sehingga 10 ekor bagi arnab daging yang lazim bersaiz lebih besar.
Sepanjang tempoh setahun arnab boleh bunting sehingga lima kali kerana tempoh bunting arnab hanya 32 hari sementara tempoh matangnya hanya mengmbil masa dua hingga tiga bulan sahaja.
“Sepanjang lebih dua tahun menternak arnab hiasan ini, saya dapati peminat haiwan peliharaan ini tidak pernah berkira dan sanggup mengeluarkan wang yang banyak asalkan mereka mendapat arnab yang dihajati.

Ibu arnab sentiasa menjaga anak yang masih kecil bagi mengeelakkan sebarang gangguan daripada pemangsa
“Setakat ini saya menjual arnab hiasan yang saya pelihara dengan harga bermula RM80 hingga RM200 bergantung kepada baka dan umur serta saiz,” katanya.
Katanya, pada masa akan datang dia bercadang untuk membesarkan kandangnya dan membuka peluang kepada orang ramai membawa anak-anak mereka bermain dengan arnab peliharaannya dengan bayaran yang minima.
Menurutnya, dia bercadang mengamalkan konsep tersebut kerana terdapat dalam kalangan mereka yang berminat dengan haiwan tersebut tetapi tidak boleh memeliharanya di rumah atas faktor masa dan komitmen lain.
“Saya merebut peluang untuk menjalankan usaha menternak arnab hiasan ini kerana ianya satu bidang baharu di sini selain mempunyai potensi besar untuk dikembangkan sebagai punya pendapatan lumayan.
“Ramai yang beranggapan memelihara arnab rumit kerana terdapat persepsi yang menyatakan arnab tidak mahu menyusukan anak yang baharu dilahirkan, namun itu semua tidak benar dan ianya bergantung kepada kita untuk mencari jalan mengajarnya menyusukan anak,” katanya.
Usaha Khairulnizan Mampu Bantu Perkenalkan Labis
Usaha menternak arnab hiasan yang dijalankan oleh Khairulnizan merupakan sesuatu yang baharu bagi masyarakat di sini dan mampu memperkenalkan kawasan Labis kepada orang luar.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tenang, Mohd Azahar Ibrahim berkata, usaha tersebut harus dijadikan contoh oleh golongan muda untuk merebut peluang yang ada dalam bidang keusahawanan.
“Saya harap usaha ini akan membakar semangat semangat golongan muda di kawasan ini untuk lebih kreatif meneroka pelbagai bidang baharu dan tidak hanya berharap untuk makan gaji sahaja.
“Sebagai menyokong dan galakkan kepada usaha yang dijalankan itu, saya akan melihat sebarang bentuk bantuan yang boleh disalurkan bagi memastikannya dapat terus berkembang sebagai usahawan berjaya pada masa akan datang,” katanya lagi.
Sementara itu, Khairunisa Omar,18, berkata, dia merupakan salah seorang yang paling gembira apabila abangnya memberitahu hasratnya untuk menternak arnab hiasan.

Khairulnisa (kiri) membantu abangnya Khairulnizan (kanan) di kandang arnab daging yang terletak dibelakang rumahnyat
Katanya yang sedang mengintai peluang untuk melanjutkan pelajaran di intitut pengajian tinggi, dengan adanya usaha tersebut, dia boleh ‘bermain’ dengan arnab peliharaan abangnya yang disifatkannya sebagai haiwan manja setiap hari.
Menurutnya dia juga tidak keberatan untuk membantu abangnya menjaga arnab-arnab tersebut seperti memberi makan dan minuman selain membersihkan kandang setiap hari kerana minatnya terhadap haiwan peliharaan tersebut.
Sementara itu, seorang wanita yang hanya mahu dikenali sebagi Hasmah,52, mengakui tidak sukar memelihara arnab hiasan adalah lebih mudah daripada yang dijangka.
“Saya sebenarnya baru empat bulan memelihara sepasang arnab hiasan dan berasa begitu teruja apabila arnab saya melahirkan seekor anak beberapa hari lalu.
“Pada peringkat awal saya terpaksa ‘mengajar’ ibunya menyusukan anak, namun selepas beberapa hari ibunya sudah boleh menyusukan sendiri anaknya dan saya tidak sabar mahu melihat anaknya besar,” katanya.
Segamat terima stadium mini dan tertutup
SEGAMAT – Penantian penduduk di daerah ini untuk memiliki sebuah stadium bakal terlaksana apabila kerajaan negeri meluluskan pembinaan stadium mini dan stadium tertutup di Jalan Genuang, di sini.
Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pembinaan stadium tersebut melalui projek penswastaan yang akan dimulakan pada tahun ini dijangka siap pada awal tahun 2020.
“Kos pembangunan kompleks stadium ini menelan kos sebanyak RM22.5 juta dan dibina di atas tanah seluas 25.55 ekar dengan keluasan stadium mini 10.75 ekar manakala keluasan stadium tertutup pula 0.62 ekar.
“Melalui projek penswastaan ini, pemaju yang dilantik mesti membayar pulangan kepada kerajaan kerana mereka (pemaju) mempunyai projek bercampur dan mendapat hasil daripada penjualan benda-benda lain,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Jamuan Muafakat Sekijang di Dewan Serbaguna Jalan Genuang, di sini, kelmarin.
Menurutnya, mini stadium ini mampu menampung kapasiti penonton sebanyak 1,765 manakala stadium tertutup pula boleh memuatkan 660 penonton pada satu-satu masa selain mempunyai pelbagai kemudahan lain seperti pejabat dan tempat letak kereta dan motosikal.
Katanya, dalam lawatannya ke Parlimen Sekijang, kira-kira RM80 juta peruntukan pembangunan telah diumumkan sama ada melibatkan peruntukan daripada kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan.
“Bagi mengatasi masalah tekanan air rendah di Felda Pemanis, kerajaan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM23 juta untuk menaik taraf loji rawatan air Pemanis dan menaik taraf sistem agihan air termasuk membina tangki air dan paip air yang baharu.
“Selain itu, sebanyak RM3.5 juta pula untuk membina masjid baharu Felda Pemanis dan RM21.5 juta pula untuk kerja-kerja menaik taraf dan melebarkan jalan-jalan kampung, jalan-jalan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan jalan-jalan negeri,” katanya.
Menurutnya, bagi mengatasi masalah pelajar Sekolah Agama Kampung Tengah yang terpaksa menumpang bangunan sekolah kebangsaan, kerajaan negeri juga telah meluluskan pembinaan bangunan sekolah agama masing-masing di Kampung Tengah dan Segamat Baru.
Medan Selera Bandar IOI rancak ekonomi setempat
SEGAMAT – Pembinaan Medan Selera Bandar IOI, di sini, yang dijangka siap sepenuhnya pada bulan Disember ini akan mewujudkan lebih banyak peluang perniagaan kepada penduduk setempat khususnya di Parlimen Sekijang.
Adun Kemelah, Datuk Ayub Rahmat berkata, medan selera baharu tersebut yang mempunyai 21 lot gerai itu dibina dengan kos RM3.7 juta melalui peruntukan daripada Tabung Bumiputera Negeri Johor dan MDS sendiri.
“Saya juga telah mencadangkan kepada MDS supaya menapis terlebih dahulu permohonan peniaga yang ingin menyewa medan selera tersebut dan salah satu caranya adalah dengan meminta para peniaga menyertakan Business Canvas Model (BMC) perniagaan mereka kepada kami untuk dinilai.
“Ini bertujuan bagi memastikan peniaga yang betul-betul layak sahaja dapat meniaga di kawasan tersebut selain tidak mahu terlalu ramai peniaga menjual produk yang sama dan pada masa sama mewujudkan persaingan yang sihat,” katanya.
Ayub yang juga Pengerusi Yayasan Majlis Daerah Segamat (YMDS) berkata kepada pemberita sewaktu Majlis Meletakkan Batu Asas Medan Selera Bandar IOI oleh Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, kelmarin.
Turut hadir ialah Ahli Parlimen Sekijang, Anuar Abdul Manap; Adun Pemanis, Lau Chin Hoon; Pegawai Daerah Segamat, Mohd Haffiz Ahmad dan Yang Dipertua MDS, Miswan Yunos.
Menurutnya, ini juga merupakan salah satu cara bagaimana YMDS mahu mempelbagaikan lagi sumber pendapatan mereka dan tidak mahu bergantung sepenuhnya kepada sumbangan hasil satu peratus daripada kutipan cukai MDS sebagai sumber mengisi tabung dananya.
“YMDS juga akan cuba mendapatkan dua atau tiga gerai di medan selera tersebut bagi menjalankan aktiviti yang boleh mendatangkan hasil bagi mengisi dana tabung agar bantuan kepada golongan yang memerlukan di kawasan pentadbiran MDS dapat diperluaskan.
“Pembinaan medan selera ini juga dijangka dapat merancakkan lagi pembangunan di kawasan Badar IOI yang kini semakin meningkat naik selain terdapat beberapa lagi perancangan yang akan dilakukan pada masa terdekat ini,” katanya.
Menurutnya, medan selera ini juga turut menggunapakai konsep Kilang Bateri di Johor apabila menggunakan 24 unit kabin sebagai ruang makan berbumbung tertutup dan terbuka selain dilengkapi dengan 71 unit tempat letak kereta.
Kebakaran kecil di HDS
SEGAMAT – Kebakaran kecil berlaku di bilik linen wad lelaki Hospital Daerah Segamat (HDS) kira-kira pukul 5.15 petang tadi, namun tiada kemalangan jiwa dan kecederaan dilaporkan.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan negeri, Datuk Ayub Rahmat berkata, pihaknya sedang menunggu laporan terperinci daripada pihak bomba untuk mengenal pasti punca kejadian dan jumlah kerugian.
“Kesemua pesakit di dalam wad tersebut telahpun dipindahkan ke lobi hospital dan jumlah pesakit wad lelaki ketika kejadian seramai 45 orang dan turut dipindahkan ialah 16 pesakit di wad wanita yang terletak bersebelahan.
“Pengurusan krisis yang mantap dapat membantu kakitangan hospital memindahkan pesakit berkenaan dalam tempoh yang singkat tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini,” katanya ketika ditemui di HDS, petang tadi.
Menurutnya, kebakaran juga terkawal dan boleh dikatakan tidak terlalu serius dan beliau meminta orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi dan menyerahkan kepada forensik bomba untuk menjalankan siasatan.
Sementara itu, Pegawai Bomba dan Penyelamat Bandar Putra, Mohd Aizad Mamat berkata, kebakaran kecil hanya melibatkan bilik linen di wad berkenaan sahaja dan api serta asap juga berjaya dikawal dalam masa yang singkat.
Penduduk terima jalan alternatif
LABIS – Penduduk Kampung Usaha Jaya dan Kampung Sungai Gatom, di sini, boleh menarik nafas lega apabila laluan alternatif yang menghubungkan dua kawasan tersebut akan dibuka beberapa bulan lagi.
Adun Tenang, Mohd Azahar Ibrahim berkata, jalan alternatif sepanjang 1.3 kilometer yang telah mula dibina pada awal Mac lalu itu akan memberi manfaat kepada kira-kira 300 penduduk dua kampung berkenaan.
“Sebelum ini penduduk Kampung Usaha Jaya terpaksa melalui Jalan Yong Peng-Labis sama ada untuk menghantar anak mereka bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Labis, ke kebun atau untuk ke Pekan Labis.
“Selepas ini, dengan adanya jalan alternatif ini, mereka (penduduk) tidak perlu melalui jalan utama lagi yag sesak dengan kenderaan dan masa perjalanan juga dapat dipendekkan di antara 15 hingga 20 minit,” katanya kepada Komuniti Segamat.
Menurutnya, beliau turut dimaklumkan oleh juruteknik Pejabat Daerah Segamat bahawa kemungkinan besar jalan alternatif ini akan diturap sebahagiannya manakala yang selebihnya akan menggunakan batu kasaran disebabkan oleh kawasan berpaya.
Katanya, selepas jalan alternatif itu siap sepenuhnya, pihaknya akan memikirkan langkah seterusnya dengan memasang lampu jalan bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini pada waktu malam.
Sementara itu, Ketua Kampung Usaha Jaya, Tasri Talib berkata, dia meluahkan rasa gembira apabila kerajaan mengeluarkan peruntukan untuk pembinaan jalan bagi kemudahan penduduk setempat.
“Walaupun jalan ini masih belum siap, ada penduduk yang menggunakan jalan pintas ini kerana ternyata lebih dekat tetapi terpaksa berhadapan risiko kenderaan rosak kerana permukaannya yang berlopak dan tidak sempurna
“Kami sangat menghargai usaha kerajaan yang membina infrastruktur ini kerana sebelum ini kami pernah menyuarakan pembinaan jalan pintas ini dan saya harap selepas ini manfaatnya dapat dinikmati oleh penduduk,” katanya.


