Menu Utama

February, 2017

 

Dua sahabat obses kumpul syiling dan wang kertas lama

SEGAMAT – Sebut sahaja wang lama, mungkin ada segelintir masyarakat berpendapat ia tidak bernilai langsung, tetapi bagi mereka yang obses dengan syiling dan wang kertas lama tentunya mempunyai tanggapan berbeza.

Hobi mengumpul syiling dan wang kertas lama sebagai koleksi juga bukan semudah yang disangka kerana banyak ciri yang perlu diambil kira terutama keadaan fizikal wang dan tahun wang tersebut dikeluarkan.

Bagi pengumpul syiling dan wang kertas lama, Muslim Abdul Aziz, 53, berkata, setiap orang mempunyai minat yang berlainan, namun dia lebih minat menjadikan aktiviti mengumpul dan menyimpan wang lama sebahagian dari hobinya.

“Saya telah jatuh cinta dengan hobi ini sejak 30 tahun lalu dan sanggup berbelanja besar semata-mata untuk mendapatkan wang yang dinginkan sebagai koleksi atau untuk dijual semula kepada peminat lain.

“Ramai yang beranggapan semakin lama usia duit itu semakin tinggi nilainya. Sebenarnya duit baharu yang masih sah di pasaran juga mempunyai nilai tinggi sekiranya terdapat sebarang kesilapan atau kecacatan yang tidak disengajakan ketika dicetak,” katanya.

Menurutnya, selain usia serta keadaan fizikal yang menjadi penentu ketinggian nilainya, jumlah yang dikeluarkan serta nombor siri juga merupakan salah satu faktor utama yang diambil kira oleh pengumpul mata wang dalam menentukan nilainya.

Katanya, kebiasaannya ciri-ciri duit yang mempunyai nilai tinggi hanya diketahui oleh mereka yang benar-benar berminat untuk mempelajarinya atau seorang yang telah menjadi pengumpul selain berbekalkan pengalaman yang ada.

Mampu jual berkali ganda dari nilai asal

Mengumpul wang lama juga boleh diibaratkan sebagai pelaburan dan perniagaan sampingan bukan hanya sekadar hobi bagi kebanyakan kerana mampu memberi keuntungan berlipat kali ganda dalam jangka masa pendek dan panjang.

Menurrut Muslim, dia pernah memiliki sekeping wang kertas RM1 baharu yang senget cetakannya dan mampu menjualnya kepada seorang pengumpul wang dengan harga RM1,350 beberapa bulan lalu.

Wang kertas RM10 yang mempunya nombor siri cetakan awal dan unik.

“Siri wang kertas cetakan terhad atau siri awal seperti A1 serta siri Z yang sukar diperolehi antara wang kertas yang tinggi nilainya sehingga puluhan malah ratusan kali ganda daripada nilai sah lakunya di pasaran.

“Sejak menjadi pengumpul wang lama, saya sering menjelajah ke beberapa negeri untuk memenuhkan koleksi saya dan mungkin saya sudah membelanjakan puluhan ribu ringgit untuk tujuan tersebut,” katanya.

Menurutnya, ketika ini dia telah menyimpan pelbagai jenis wang kertas dan syiling lama serta baharu yang dianggarkan mencecah RM500,000 di pasaran, namun nilai tersebut bukan nilai sah laku wang tersebut sebaliknya nilai semasa bagi pengumpul mata wang.

Terpengaruh dengan rakan

Sementara itu, bagi seorang lagi rakannya, Abdul Aziz Rahim, 60, berkata, dia baharu berjinak-jinak secara serius sebagai pengumpul mata wang selepas berkenalan dengan Muslim sejak dua tahun lalu.

Katanya, sebelum in juga dia pernah menyimpan beberapa wang syiling lama namun kesemua wang tersebut hilang ketika dia melakukan kerja-kerja mengubahsuai rumah 15 tahun lalu.

Muslim menunjukkan wang zaman British pertama dimilikinya yang juga peninggalan arwah bapanya.

“Walaupun nilai wang yang berada di dalam simpanan saya tidak sebanyak yang dimiliki oleh Muslim, namun saya tidak berani menyimpannya di dalam rumah dan akan membawanya bersama kerana serik dengan kejadian lalu.

“Saya akan membawa wang tersebut bersama saya atau meminta bantuan Muslim untuk menyimpannya sekira saya meninggalkan rumah dalam tempoh yang lama seperti pulang ke kampung,” katanya.


Penternak kelulut rugi akibat banjir

SEGAMAT – Seorang pengusaha ternakan lebah kelulut di Kampung Logah, di sini, mengalami kerugian apabila 33 log kelulutnya musnah dalam kejadian banjir yang melanda daerah ini, baru-baru ini.

Yacob Md Nor, 63, berkata, kesemua ternakan kelulutnya juga telah melepasi tempoh matang iaitu berusia enam bulan dan dijangka boleh dituai sedikit masa lagi menyebabkan kerugian yang dialaminya bertambah besar.

“Saya mula menternak kelulut pada bulan Mac tahun lalu dan ini merupakan kejadian banjir kali pertama dan saya tidak sempat untuk menyelamatkan kesemua log kerana air naik terlalu cepat.

“Log yang rosak juga tidak boleh digunakan lagi dan kesemua kelulut saya mati dan saya menganggarkan nilai kerosakan koloni kelulut adalah sebanyak RM50,000 selain beberapa peralatan seperti pagar turut rosak,” katanya kepada Komuniti Segamat.

Yacob melihat log kelulutnya yang rosak.

Menurutnya, dia juga kehilangan pendapatan kira-kira RM3,000 sebulan hasil pengeluaran dan jualan madu kelulutnya itu selain terpaksa mengeluarkan modal yang besar untuk memulakan semula ternakan kelulut.

Katanya, dia juga berharap pihak bertanggungjawab dapat membantunya untuk memulakan semula ternakan kelulut ini memandangkan tidak begitu ramai penternak kelulut yang terdapat di daerah ini.

“Selepas ini saya kena lebih berjaga-jaga tambahan pula terdapat ramalan gelombang kedua banjir dan mungkin akan memindahkan tapak penternakan kelulut ini ke kawasan yang lebih tinggi.

“Walaupun baharu setahun menceburi bidang ini, bagi saya terdapat potensi yang cukup besar dan pada masa hadapan saya bercadang untuk menambah lagi bilangan log kelulut kerana memang terdapat permintaan terhadap madunya,” katanya.


Duta Jauhar sasar lima belia untuk sertai projek

SEGAMAT – Duta Jauhar Persatuan Mahasiswa Anak Johor (Permaj) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menyasarkan seramai lima belia dari daerah ini untuk menyertai projek Jauhar Cleaning Services kendalian mereka.

Penasihatnya, Professor Madya Dr Norinsan Kamil berkata, pihaknya menyasarkan para graduan yang belum bekerja di daerah ini termasuk mahasiswa lepasan institusi pengajian tinggi (IPT) untuk bersama-sama menggerakkan projek ini.

“Setakat ini kami sudah mengenalpasti dua belia dari daerah ini yang berkelayakan untuk menjalankan projek ini dan mereka yang layak juga telah menjalani pelbagai proses tapisan dan temuduga sebelum ini.

“Tujuan utama adalah untuk menjadikan para peserta sebagai usahawan dalam perniagaan perkhidmatan yang bukan sahaja mampu menjana pendapatan malah membantu meningkatkan kemahiran insaniah yang mampu memberi nilai tambah kepada diri mereka,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Projek Jauhar Cleaning Services di kediaman rasmi Pegawai Daerah Segamat, di sini baru-baru ini.

Program yang dirasmikan oleh Pegawai Daerah Segamat, Mohd Haffiz Ahmad itu turut dihadiri Pengurus Korporat Yayasan Pelajaran Johor (YPJ), Sahruddin Manas dan Pengarah Projek Jauhar Cleaning Services, Muhammad Hafizuddin Mahfoz.

Menurutnya, selaras dengan matlamat kerajaan negeri dan Duta Jauhar yang mahu menjadikan mahasiswa sebagai ejen transformasi, beliau percaya projek ini mampu mengubah mentaliti belia daripada bekerja makan gaji kepada usahawan.

“Projek ini boleh dikategorikan sebagai projek berimpak tinggi kerana kami telah menjalankan kajian di sekitar daerah ini terlebih dahulu dan terdapat permintaan perkhidmatan pembersihan ini kerana bersifat privasi.

Di antara mahasiswa Duta Jauhar Permaj UKM.

“Tambahan pula, projek ini boleh dilakukan dengan kos yang minimum namun boleh memberikan pulangan yang maksimum dan segala peralatan pembersihan juga akan disediakan oleh kami,” katanya.

Menurutnya, dalam tempoh tiga bulan pertama, pihaknya akan membantu para peserta termasuk mendaftarkan syarikat mereka dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), promosi dan membangunkan laman sesawang sebelum para peserta berdikari sepenuhnya.

Sementara itu, Mohd Haffiz berkata, beliau berharap projek ini mampu mengatasi masalah pengangguran belia di daerah ini dan pihaknya juga bersedia memberikan sebarang bantuan yang bersesuaian.

“Daripada segi promosi, saya telah mengiklankan perkhidmatan pembersihan ini secara percuma pada papan iklan digital di Bandar Segamat dan berharap perkhidmatan ini mendapat sambutan terutamanya selepas bencana banjir yang melanda daerah ini.

“Bagi saya, usaha yang dilakukan oleh Duta Jauhar ini turut mempromosikan daerah ini dan saya juga mengalu-alukan mana-mana mahasiswa untuk menjalankan kajian dan aktiviti di daerah ini,” katanya.


Petani tak putus asa

Pertanian Segamat buat bancian pasca banjir

LABIS – Jabatan Pertanian Daerah Segamat sedang menjalankan bancian pasca banjir bagi mendapatkan kepastian jumlah kerugian yang dialami oleh petani di daerah ini sebelum dapat menentukan sebarang bentuk bantuan yang boleh dihulurkan.

Penolong Pegawai Pertanian Pejabat Pertanian Segamat, Ab. Halim Ab. Wahab berkata, terdapat lebih 500 petani di Segamat dan pihaknya menjangka lebih dua pertiga daripada mereka terjejas akibat bencana banjir yang melanda daerah ini baru-baru ini.

“Setakat ini pihak kami belum memastikan jumlah kerugian dan bilangan petani yang terjejes kerana tidak dapat melawati semua kawasan terjejas disebabkan terdapat beberapa kawasan yang belum kering dan masih digenangi air.

“Kami menjangkakan sekurang-kurangnya seminggu sebelum semua kawasan dapat dilawati dan selepas itu barulah kami akan mengetahui jumlah sebenar kerugian yang dialami mereka sebelum membuat permohonan peruntukan,” katanya kepada pemberita selepas melawat Zon Pengeluaran Makanan Felda Chemplak baru-baru.

Menurutnya, bentuk dan jumlah bantuan yang bakal disalurkan kepada petani terjejas bergantung kepada tahap kemusnahan tanaman mereka serta jumlah peruntukan yang diluluskan oleh kerajaan.

Sementara itu, Ahmad Radzi,38, seorang penanam sayur di kawasan Zon Pengeluaran Makanan Felda Chemplak berkata, dia mengalami kerugian lebih RM100,000 selepas pelbagai jenis sayuran yang ditanam di kawasan seluas 40 ekar itu musnah ditengelami air selama beberapa hari.

Jemaan Sulaiman

Menurutnya, dia memerlukan sekitar RM30,000 untuk memulihkan semula kerosakan pelbagai kemudahan di kebunnya seperti para sayur, pagar, mesin serta kos benih dan upah pekerja.

Katanya, ini merupakan kali kedua kebun sayurnya ditenggelami banjir dimana kejadian pertama adalah pada tahun 2011, namun paras air ketika itu tidak sedalam pada tahun ini walaupun banjir pada 2011 dikatakan lebih besar.

Bagi Jemaan Sulaiman, 54, yang sudah lima kali terjejas banjir sejak lebih 10 tahun mengusahakan pelbagai tanaman di kawasan tersebut menganggarkan kerugian sekitar RM70,000 selepas tanaman ubi kayu seluas 20 ekar yang sepatutnya sudah boleh dijual musnah ditengelami air.

“Saya redha dengan dugaan ini dan sebagai petani saya tidak patah semangat untuk mengusahakan kembali tanaman yang musnah ditengelami air ini.

“Saya mungkin menanam tanaman lain selepas ini dan modal untuk membersih serta pelbagai kos untuk memulihkan kebun ini saya anggarkan melebihi RM30,000 dan beban yang saya tanggung mungkin berkurangan sekiranya terdapat sebarang bantuan daripada Jabatan Pertanian,” katanya.


BSN serah sumbangan

SEGAMAT – Ekoran musibah banjir yang melanda kawasan Pantai Timur serta beberapa buah negeri di Semenanjung Malaysia, Bank Simpanan Nasional (BSN) mengambil inisiatif memulakan siri jelajah untuk membantu mangsa banjir di negeri-negeri yang terlibat.

Pengarah Perniagaan BSN Negeri Johor, Mohd Azian Abu Samah berkata, negeri Johor iaitu kawasan Dun Kemelah merupakan negeri kedua yang dikunjungi dalam siri jelajah ini selepas Kelantan.

“Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) BSN kepada masyarakat bagi meringankan beban mangsa-mangsa banjir supaya mereka dapat memulakan kembali kehidupan asal selepas ditimpa musibah.

“Sebanyak 380 pek bantuan barangan keperluan harian dengan nilai keseluruhan sebanyak RM76,000 telah diserahkan kepada 380 buah keluarga mangsa banjir mengikut senarai pusat pemindahan di dalam kawasan Dun Kemelah, ,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Pasca Banjir BSN di Dewan Serbaguna Kampung Paya Pulai, di sini, yang disempurnakan oleh Adun Kemelah, Datuk Ayub Rahmat, baru-baru ini.

Turut hadir ialah Ketua Operasi BSN Negeri Johor, Hamzah Ibrahim; Penghulu Mukim Pogoh, Hmazah Abu Bakar dan Pengerusi Persatuan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Melayu Daerah Segamat, Jamaluddin Rasip.

Menurutnya, sebelum ini sebanyak 400 pek bantuan dengan nilai sebanyak RM80,000 telah diagihkan di jajahan Pasir Mas, Pasir Putih dan Rantau Panjang di Kelantan manakala baki sebanyak 220 pek akan diagihkan kepada penerima di negeri lain dalam masa terdekat.

“BSN sentiasa memainkan peranannya dalam menghulurkan bantuan kepada mangsa-mangsa bencana alam di seluruh negara dan merupakan salah satu cara terbaik untuk menyumbang kembali kepada masyarakat.

“Dalam kejadian banjir baru-baru ini juga, cawangan BSN di Segamat juga tidak terjejas dan masih boleh beroperasi seperti biasa kerana air surut dalam tempoh masa yang cepat,” katanya.

Sementara itu, Ayub dalam ucapan perasmiannya berkata, beliau meminta mana-mana syarikat korporat yang lain dapat membantu mangsa-mangsa banjir di daerah ini terutamanya melibatkan sumbangan barangan keperluan harian.

Katanya, ini kerana, banjir yang berlaku di daerah ini pada penghujung Januari lalu boleh disifatkan sebagai banjir besar seperti tahun 2006 dan 2011 dan ada mangsa yang mengalami kerugian besar akibat bencana tersebut.