February, 2017
Ibu tunggal cari anak terpisah
SEGAMAT – Seorang ibu tunggal di Bandar IOI, di sini, meminta bantuan orang ramai untuk mengesan anak lelakinya yang telah terpisah darinya kira-kira sembilan tahun lalu selepas dilarikan oleh bekas suaminya.
Nurul Huda Mashod, 36, berkata, dia terpisah dengan anaknya, Danish Haiqal Khawarizmie Mohd Nazri pada tahun 2007 sewaktu anaknya berusia tiga tahun dan kini anaknya telah berusia 11 tahun.
“Selepas bercerai dengan suami, mahkamah telah memberikan saya hak penjagaan anak dan walaupun begitu, ketika itu saya masih membenarkan bekas suami berjumpa dan adakalanya membawa anak saya pulang ke rumah keluarganya di Melaka.
“Saya juga tidak menyangka bekas suami tergamak untuk membawa lari Danish selepas beberapa minggu dia meminjam Danish daripada saya dan sehingga kini saya tidak mendengar sebarang berita mengenai mereka berdua,” katanya kepada Komuniti Segamat.
Menurutnya, dia juga sudah beberapa kali membuat laporan polis berhubung kehilangan anaknya itu namun tiada sebarang maklum balas malahan bekas suaminya itu turut mengugutnya untuk membawa Danish lagi jauh daripadanya.
Katanya, dia turut meminta rakannya agar mengintip rumah keluarga bekas suaminya di Permatang Pasir Alai, Melaka untuk mengesan bekas suami dan anaknya itu namun tidak berjaya menemukan mereka.

Danish Haiqal Khawarizmie
“Saya juga dimaklumkan bekas suami langsung tidak pulang menjenguk ibu bapanya di kampung selain tidak pernah menetap di suatu kawasan terlalu lama kerana saya dimaklumkan bekas suami turut dicari polis kerana mempunyai rekod jenayah.
“Saya juga pernah mendapat tahu anak saya berada di Kuantan kerana pernah mempunyai rekod tabika swasta namun tidak berjaya menjumpainya kerana tabika berkenaan sudah berpindah ke tempat lain,” katanya.
Menurutnya, bekas suaminya hanya memiliki MyKid anaknya sahaja kerana surat beranak anaknya itu masih berada di dalam simpanannya selain risau sama ada anaknya itu bersekolah atau tidak.
Katanya, dia juga pernah pergi ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Segamat bagi memeriksa status anaknya itu sama ada hidup atau mati dan lega apabila tiada rekod kematian melibatkan anaknya.
“Saya juga tidak tahu bagaimana wajah anak saya sekarang dan saya risau sekiranya bekas suami telah meracuni pemikiran anak saya mengenai saya dan sebagai seorang ibu, perasaan rindu itu tidak dapat digambarkan.
“Rindu ini sudah tidak tertanggung lagi dan saya tidak akan pernah berhenti mencari anak saya sampai bila dan saya meminta kepada sesiapa yang menjaga atau mengetahui lokasi anak saya dapat menghubungi saya di talian 0173573531,” katanya.
Kembar tekad ubah masa hadapan
SEGAMAT – Dua pasangan kembar masing-masing seiras dan tidak seiras yang kini sedang melanjutkan pelajaran ke Kolej Komuniti Segamat (KKS) nekad untuk mengubah masa hadapan mereka melalui bidang kemahiran.
Bagi pasangan kembar seiras, K Sethukumaran, 22, dia dan adiknya, K Sethubalan yang berasal dari Negeri Sembilan memilih untuk melanjutkan pelajaran ke Kolej Komuniti selepas memperolehi keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun 2013.
“Ketika itu, keputusan peperiksaan kami tidak begitu cemerlang dan kami kemudian memohon ke Kolej Komuniti dan tidak sangka saya diterima di KKS manakala adik di Kolej Komuniti Jasin masing-masing dalam kursus Sijil Sistem Komputer dan Sokongan.
“Selepas memperolehi sijil, pada tahun 2015 kami bercadang untuk meneruskan ke peringkat diploma dan KKS menjadi pilihan kami ketika itu kerana menawarkan Diploma Keselamatan Teknologi,” katanya kepada Komuniti Segamat.
Menurutnya, pada awalnya dia mengakui ramai rakan-rakannya termasuk pensyarah keliru kerana tidak dapat membezakan dia dan adiknya dan turut menggelar mereka dengan watak animasi ‘Upin Ipin’ kerana sering bersama ke mana sahaja.
Sementara itu K Sethubalan berkata, walaupun pelajar India merupakan pelajar minoriti di KKS kerana bilangan yang sangat kecil, dia bersyukur kerana rakan-rakannya menerima kehadirannya dengan abangnya itu dengan hati terbuka.
“Sebenarnya kami merupakan pasangan kembar tiga dan seorang lagi pasangan kembar kami, K Sethuvelan juga sedang melanjutkan pelajaran di Kolej Komuniti Selayang dalam jurusan Diploma Games Art.
“Kami memang cenderung ke arah teknologi dan saya dan abang juga sudah menyiapkan projek akhir kami iaitu ‘Multi Stage Alarm System’ yang mempunyai dua lapisan keselamatan iaitu di luar dan dalam,” katanya.

Zazali (tengah) bersama K Sethukumaran (kanan), K Sethubalan (dua, kanan) Muhammad Hanaffi (kiri) dan Muhammad Haffiz (dua, kanan) di KKS
Katanya, dia dan abangnya yang kini berada pada semester empat juga menyimpan hasrat masing-masing untuk menjadi pegawai penyiasat dan pakar keselamatan teknologi selepas menamatkan pengajian kelak.
Bagi pasangan kembar tidak seiras, Muhammad Hanaffi Zambre, 19, dia dan adiknya, Muhammad Haffiz baharu berada pada semester pertama selepas mendaftarkan diri pada bulan November tahun lalu dalam kursus Sijil Pemasangan Elektrik.
Menurutnya, dia yang berasal dari Kampung Melayu Raya, di sini, berkata, hasrat untuk menyambung pengajian timbul selepas kontraknya sebagai penjaga gol bawah 19 tahun Felda United tamat pada bulan November tahun lalu.
“Sepatutnya Haffiz sudah terlebih dahulu mendaftar pada bulan Julai tahun lalu, namun terpaksa ditangguhkan kerana kakinya patah kerana bermain futsal sebelum kami mendaftar bersama pada bulan November.
“Pada awalnya, ramai yang tidak mengetahui Haffiz merupakan kembar saya kerana kami tidak seiras selain saya memiliki fizikal yang lebih besar dan sebelum ini kami hanya mendapat tahu mengenai KKS melalui rakan-rakan sahaja,” katanya.
Menurutnnya, dia dan adiknya juga bercadang untuk menubuhkan sebuah syarikat pendawaian selepas tamat belajar kelak memandangkan bidang tersebut mendapat sambutan yang menggalakkan di daerah ini.
Sementara itu, Pengarah KKS, Zazali Lazin berkata, sehingga kini terdapat seramai 331 pelajar di KKS dengan majoriti 298 merupakan pelajar Melayu selain KKS turut menawarkan lima kursus persijilan dan satu kursus diploma.
“Selain kursus sepenuh masa ini, pada tahun lalu juga, KKS menduduki tempat kedua daripada 94 Kolej Komuniti di Malaysia apabila mencatatkan seramai 7,821 peserta kursus pendek dan ini membuktikan bahawa KKS mula diterima oleh komuniti di sini.
“Saya lihat bidang yang berkaitan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) menjadi pilihan majikan di pasaran kerja pada hari ini dan penekanan serta program kesedaran seperti ini yang giat kami lakukan di KKS,” katanya.
Warga emas ternak landak
LABIS – Seorang warga emas di Kampung Tenang, di sini, nekad melaburkan wang simpanannya sebanyak RM20,000 bagi memulakan usaha menternak landak raya meskipun haiwan tersebut dikategorikan sebagai haiwan buruan seperti pelanduk.
Bagi Ali Daud, 65, berkata, ketika ramai yang memilih menternak haiwan yang menjadi makanan atau sajian harian seperti ayam, lembu atau kambing, dia memberanikan diri untuk menternak haiwan eksotik itu sejak enam bulan lalu.
Menurutnya, demi kerana minat, dia juga telah memohon lesen menternak landak raya daripada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) walaupun terpaksa menunggu lebih daripada setahun sebelum permohonannya itu diluluskan.
“Selepas memperolehi lesen menternak pada awal tahun ini, Perhilitan Segamat banyak membantu pak cik terutama sekali dalam mendapatkan induk serta baka landak raya dari Pusat Konservasi Hidupan Liar di Sungai Dusun, Selangor.
“Walaupun harga induk raya ini agak mahal dengan harga di antara RM800 hingga RM1,000 setiap ekor, ini tidak mematahkan semangat pak cik tambahan pula ternakan ini jarang dikomersialkan,”katanya kepada Komuniti Segamat.
Menurutnya, beberapa induk landak raya yang dibelinya beberapa bulan lalu kini juga sudah mencecah belasan kilogram serta kebanyakanya sudah bunting dan akan beranak tidak lama lagi.
Katanya, ternakan landak raya bukan sahaja boleh memberi pulangan lumayan berikutan harga pasaran dan permintaan yang tinggi, malah sebagai terapi minda apabila melihat keletah haiwan tersebut yang disifatkannya sebagai manja.
“Walaupun landak bukan merupakan makanan popular, tetapi harga makanan berasaskan haiwan itu seperti sup dan daging segarnya agak mahal selain semangkuk sup dagingnya mampu mencecah RM10 dan pasaran daging segarnya mencecah RM60 sekilogram.
“Daging landak juga agak manis dan lembut, kadangkala rasanya seperti daging arnab dan sesuai dibuat sate dan landak makan apa sahaja produk semula jadi daripada pertanian seperti ubi, sayur-sayuran atau sisa pertanian,” katanya.
Katanya, landak raya atau nama saintifiknya Breeders Porcupine juga tidak pernah melepaskan durinya ke arah mana-mana objek yang mengancamnya seperti yang dibayangkan oleh sesiapa sebelum ini.
Menurutnya, daging landak juga halal dimakan selain seekor landak raya betina juga boleh beranak lima kali dalam tempoh dua tahun dengan jumlah antara seekor atau dua ekor sekali beranak.
“Setakat ini pak cik tidak mendapat sebarang bantuan modal dari mana-mana pihak dan berharap permohonan untuk mendapat bekalan elektrik di kawasan kandang landak ini dapat kelulusan segera kerana setakat ini hanya terdapat bekalan air paip yang disambung sendiri dari rumah pak cik,” katanya.

Mohd Zaidi menyifatkan landak raya seekor haiwan yang jinak
Katanya, dia juga tidak bersendirian apabila mendapat sokongan keluarga serta salah seorang anaknya yang turut berminat membantu melakukan kerja-kerja rutin seperti membersihkan kandang dan memberi makanan kepada haiwan ternakan tersebut setiap hari.
Bagi anaknya, Mohd Zaidi,34, berkata, sebenarnya menjaga dan membiak landak tidak sukar berbanding beberapa haiwan ternakan lain kerana ianya tidak mudah dijangkiti penyakit serta mudah jinak walaupun merupakan spesis haiwan liar.
“Menternak landak menjanjikan pulangan lumayan kerana mendapat permintaan yang tinggi selain harga pasaran ketika ini mencecah RM60 sekilogram selain tidak memerlukan tempoh lama untuk matang iaitu kira -kira setahun sahaja.
“Setakat ini saya mempunyai 12 ekor induk dan berharap jumlah landak kami dapat ditingkatkan kepada 50 ekor hasil daripada anak-anak yang dilahirkan serta tambahan induk yang dibeli selain dagingnya sudah boleh dipasarkan dalam tempoh 12 bulan lagi,” katanya.
Sementara itu, Adun Tenang, Mohd. Azahar Ibrahim berkata, persekitaran Kampung Tenang yang bersempadan dengan Hutan Simpang Labis adalah bersesuaian untuk projek seumpama itu yang pertama kali diusahakan di daerah ini.
Menurutnya, ini bukan sahaja kerana terdapat kemudahan untuk mendapatkan makanan haiwan tersebut di kawasan hutan berhampiran malah cuaca yang sesuai juga boleh mempengaruhi kejayaan projek tersebut.
“Saya akan melihat bentuk bantuan sesuai yang boleh disalurkan kepada mereka bagi memastikan usaha mereka tidak berhenti separuh jalan sekaligus menjadikan kawasan ini sebagai pengeluar daging dan induk landak pada suatu hari nanti.
“Saya melihat usaha ini sebagai contoh ketabahan serta semangat seorang warga emas untuk membangunkan ekonomi sendiri serta keluarga dengan mengusahakan projek berpotensi yang harus membuka mata golongan muda untuk mengikut jejak langkah mereka,” katanya.
Ibu tunggal terharu
SEGAMAT – Seorang ibu tunggal di Jalan Meriyani, di sini, terharu apabila menerima kunjungan Persatuan Ibu Bapa dan Pendidik Pusat Anak Permata Negara (PAPN) Parlimen Sekijang untuk membersihkan rumahnya yang terjejas banjir.
Salmi Salim, 33, berkata, kebanyakan peralatan di rumah peninggalan keluarganya juga rosak dan tidak boleh digunakan lagi selepas paras air hampir mencecah bumbung dalam kejadian banjir, baru-baru ini.
“Sebenarnya, sebelum ini saya tinggal menyewa di Taman Jenalim, di sini, dan baharu berpindah ke rumah ini sejak tiga bulan lalu selepas ibu meninggal dunia akibat sakit tua pada bulan Ogos tahun lalu.
“Memang banyak barang yang telah rosak dan saya tidak mampu untuk membeli baharu kerana hanya bekerja sebagai pembantu kedai selain mempunyai dua anak kecil yang masih bersekolah rendah,” katanya.
Menurut ibu kepada Mohd Shahrul Haikal Mohd Sani, 9, dan Nurul Syazwani, 7, dia juga turut menjaga adik lelakinya, Nasrul Hakim, 19, yang merupakan orang kelainan upaya (OKU) dan memerlukan perhatian khusus.
Katanya, dia juga terharu apabila dimaklumkan rumahnya terpilih dalam program gotong royong tersebut dan mengakui kehadiran PAPN ini sedikit sebanyak meringankan bebanannya.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Pendidik PAPN Parlimen Sekijang, Shahrizal Mohamed berkata, program tersebut disertai oleh 28 ibu bapa pelajar dan merupakan salah satu program kemasyarakatan mereka.
“Kami telah bersama-sama bergotong royong membersihkan rumah dan persekitaran rumah penerima selain mengecat semula beberapa bahagian rumah dan menukar tikar getah yang telah rosak akibat banjir.
“Kami berharap kunjungan kami ini mampu memberi harapan baharu dan kami juga turut menyerahkan beberapa sumbangan barangan keperluan dapur dan sedikit wang tunai bagi meringankan beban keluarga ini,” katanya.
Tak sangka terima wang khairat kematian
LABIS – Dua keluarga di Felda Chemplak Barat, di sini, tidak menyangka akan menerima wang tabung khairat kematian dari Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) selepas kematian ahli keluarga mereka yang juga pekebun kecil getah.
Zainab Wahab, 73, berkata, selama ini dia juga tidak mengetahui arwah suaminya, Abdul Samad Ahmad yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada November tahun lalu sebenarnya ahli dan berdaftar dengan pihak Risda.
“Kebetulan saya dan anak-anak memang ada bercadang untuk mengadakan majlis tahlil untuk arwah suami saya pada hujung bulan ini dan wang ini akan saya gunakan untuk membeli barang-barang keperluan untuk majlis tersebut.
“Suami saya tidak pernah memaklumkan kepada saya dan anak-anak bahawa dia menyertai skim khairat kematian Risda dan saya terkejut apabila dimaklumkan menerima wang tersebut,” katanya.
Dia ditemui semasa Program Kasihi Pekebun Kecil Risda dan Penyampaian Skim Khairat Kematian yang disampaikan oleh Adun Tenang, Mohd Azahar Ibrahim di Kampung Paya Merah, di sini, baru-baru ini.
Menurutnya, dia juga mengakui wang khairat yang diterima sebanyak RM2,000 itu sedikit sebanyak membantu dirinya memandangkan dia tidak mempunyai pendapatan tetap selepas kematian suaminya.

Zainab (duduk, kiri) dan Norizah (duduk, dua kanan) sewaktu menerima skim khairat kematian Risda
Bagi Norizah Jumaat, 49, berkata, dia yang menerima wang tersebut bagi arwah bapanya, Jumaat Abu Bakar bercadang untuk menggunakan wang tersebut bagi mengadakan kenduri arwah dan tahlil untuk arwah bapanya itu.
“Bapa saya meninggal dunia akibat serangan jantung pada bulan Oktober tahun lalu dan sebelum ini kami sekeluarga memang tahu dia (bapa) berdaftar sebagai pekebun kecil dengan Risda.
“Bagaimanapun, bapa tidak pernah menceritakan mengenai skim khairat kematian ini sehinggalah saya dihubungi oleh salah seorang pegawai Risda yang meminta saya hadir untuk menerima wang tersebut,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Risda Daerah Segamat, Nor Afzami Isa menyarankan pekebun kecil di daerah ini mendaftar dengan Risda kerana terdapat pekebun yang masih belum berbuat demikian.
“Pekebun kecil yang berdafar dengan Risda boleh menuntut pampasan kewangan sekiranya berlaku kemalangan atau sakit mengakibatkan kematian melalui perlindungan Takaful Khairat Kematian Berkelompok dibawah Skim Takaful Pekebun Kecil Berkelompok Risda (STPBR).
“Selain itu, antara kemudahan terbaharu yang disediakan oleh kerajaan melalui Risda ialah pembinaan Rumah Bina Negara Risda yang masih dibuka permohonannya terutama generasi kedua pekebun kecil,” katanya.


