January, 2017
Hutan Lipur Sungai Bantang dicemari kencing tikus
SEGAMAT – Kawasan perkelahan dan rekreasi Hutan Lipur Sungai Bantang, Bekok, ditutup kepada orang ramai sejak beberapa hari lalu kerana dipercayai dicemari kencing tikus (leptospirosis).
Pegawai Hutan Daerah Johor Utara, Mohamad Farhan Sukiman berkata, keputusan menutup sementara kawasan perkelahan tersebut diambil selepas mengadakan perbincangan dengan pihak Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Segamat, baru-baru ini.
“Melalui perbincangan tersebut, kami dimaklumkan terdapat dua kes jangkitan kencing tikus sebelum ini dan siasatan lanjut mendapati kedua-dua mereka pernah berkunjung ke Hutan Lipur Sungai Bantang.
“Ujian terhadap sampel air di kawasan tersebut oleh pihak PKD Segamat mendapati ianya telah dicemari oleh virus kencing tikus dan segala aktiviti di hutan lipur tersebut akan dihentikan sementara waktu,” katanya kepada Komuniti Segamat.
Menurutya, langkah menutup kawasan hutan lipur tersebut juga bagi mengelakkan berlakunya jangkitan baharu yang boleh mengancam keselamatan orang ramai memandangkan kawasan tersebut merupakan salah satu kawasan tumpuan umum terutamanya pada waktu cuti.
Katanya, ancaman kencing tikus tersebut memerlukan tempoh sekurang-kurangnya selama empat hingga lima minggu sehingga tarikh keputusan sampel air diketahui sebelum boleh beroperasi seperti biasa.
“Bagi memastikan kawasan tersebut bebas dari ancaman virus kencing tikus, pihak Jabatan Perhutanan sedang berusaha membersihkan persekitaran tapak hutan lipur tersebut.
“Penutupan kawasan ini kepada orang ramai adalah bersifat sementara demi keselamatan orang ramai dan akan dibuka semula seperti biasa selepas ianya bebas dari ancaman kencing tikus,” katanya.
Menurutnya, beliau juga mengharapkan kerjasama daripada orang ramai untuk mematuhi notis penutupan hutan lipur tersebut selain para pengunjung boleh beralih ke kawasan rekreasi lain seperti Hutan Lipur Taka Melor dan Jeram Tinggi Jementah.
Raja Zarith Sofiah lawat keluarga mangsa lemas
SEGAMAT – Kesedihan sebuah keluarga di Taman Pawana, di sini, yang kehilangan anak mereka di dalam kejadian bot terbalik, Selasa lalu, sedikit terubat apabila menerima kunjungn Raja Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah, kelmarin.
Baginda yang tiba bersama puterinya, Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim dan isteri Tunku Mahkota Johor, Che Puan Khaleda Bustamam tiba di rumah keluarga tersebut pada pukul 12.10 tengah hari.
Dalam lawatan singkat itu, baginda sempat meluangkan masa bersama keluarga mangsa dalam majlis tahlil serta menyampaikan sumbangan peribadi dan barangan daripada Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSMM).
Baginda kemudian berangkat melawat beberapa pusat pemindahan banjir yang masih dibuka di daerah ini seperti di Balairaya Kampung Tandong, Taman Suria Buloh Kasap dan Masjid Tebing Tinggi.
Sementara itu, bapa mangsa lemas, Hassan Omar, 51, berkata, dia yang kehilangan anak keduanya, Mohd Fais Syafiq, 21, dalam kejadian tersebut melahirkan rasa terharu apabila menerima lawatan keluarga Diraja Johor itu.
“Walaupun masih bersedih dan terkejut kerana kehilangan anak kami, saya dan isteri berasa terharu kerana tidak sangka akan menerima lawatan daripada Raja Zarith Sofiah.
“Kehadiran baginda ke rumah kami begitu besar maknanya kepada kami sekeluarga dan sedikit sebanyak mampu mengubati kesedihan akibat kehilangan Syafiq di dalam kejadian tersebut,” katanya.
Sementara itu, isterinya, Norizah Basar, 46, berkata, dia terkejut apabila dimaklumkan oleh seorang pegawai salah satu jabatan kerajaan petang kelmarin bahawa Raja Zarith Sofiah akan melawat mereka.
“Dalam pertemuan singkat itu, baginda sempat memberi kata-kata semangat kepada saya agar tabah untuk menghadapi saat-saat yang begitu menyedihkan ini.
“Saya berayukur kerabat diraja tersebut sudi melawat serta berkongsi kesedihan dengan kami sekeluarga yang masih terkejut dengan dugaan yang begitu menguji ketabaan kami,” katanya.
Dalam kejadian 24 Januari lalu, bot yang dinaiki Mohd Fais Syafiq bersama empat lagi penumpang dalam perjalanan dari Kampung Tengah ke Jalan Pemuda sebelum terbalik dilambung arus deras selepas berselisih dengan sebuah lagi bot.
Mayat mangsa bot terbalik ditemui
SEGAMAT – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang remaja mangsa lemas di Kampung Tengah, di sini, berakhir apabila pasukan menyelamat berjaya menemui mayat mangsa kira-kira pukul 7.40 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Segamat, Supritensandan Raub Selamat berkata, mangsa, Mohd Fais Syafiq Hassan, 21, dijumpai kira-kira 10 meter dari lokasi bot yang dinaikinya terbalik.
“Mayat mangsa dijumpai dalam keadaan terapung berhampiran sebuah kedai perabot dan operasi SAR melibatkan pelbagai agensi menyelamat melebihi 36 jam juga telah berakhir dan bilik operasi juga akan ditutup hari ini.
“Keadaan mayat mangsa adalah sempurna cuma terdapat lumpur pada hidungnya sebelum dibawa ke rumah mayat Hospital Daerah Segamat (HDS) untuk dibedah siasat,” katanya kepada Komuniti Segamat.
Menurutnya, bapa mangsa yang turut mengikuti operasi SAR turut mengesahkan mangsa yang dijumpai itu adalah anaknya dan jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Lintang, di sini.
Katanya, bilik operasi SAR yang beroperasi sejak 24 Januari lalu juga turut akan ditutup yang melibatkan pelbagai agensi penyelamat seperti bomba, Angkatan Pertahanan Awam (APM), tentera dan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (Smart).
Dalam kejadian pukul 4 petang Selasa lalu, mangsa bersama bapa saudara, sepupu dan dua rakannya yang menaiki bot dipercayai dari Kampung Tengah ke Jalan Pemuda selepas masing-masing pulang mengemas rumah akibat banjir.
Sebaik tiba di tempat kejadian, bot dinaiki mereka dilambung arus deras selepas berselisih dengan sebuah lagi bot menyebabkan bot yang dinaiki mangsa bersama empat lagi rakannya terbalik.
Bagaimanapun, dua daripada penumbang bot yang memakai jaket keselamtan terapung di dalam air manakala dua lagi berjaya menyelamatkan diri dengan dengan berpaut pada bot.
TMJ lawat mangsa banjir
LABIS – Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkenan mencemar duli melawat pusat pemindahan banjir yang masih dibuka di daerah ini, pagi tadi.
Baginda yang diiringi oleh jurulatih pasukan Johor Darul Takzim (JDT), Benjamin Mora dan beberapa pemain JDT seperti Syafiq Rahim, Marcos Antonio dan Aidil Zaquan Adha tiba di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Tenang, di sini, pada pukul 11.10 pagi yang menempatkan 189 keluarga dan 673 mangsa banjir.
Dalam lawatan singkat kira-kira 20 minit itu, baginda sempat beramah mesra dengan mangsa yang berada di pusat pemindahan tersebut sejak tiga hari lalu termasuk melawat seorang mangsa banjir yang terlantar disebabkan lumpuh.
Baginda juga turut berkenan menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di pusat pemindahan tersebut sebelum berangkat ke Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Ai Chun Tenang Stesen yang menjadi pusat pemindahan mangsa banjir dari Kampung Lembah Bakti, di sini.
Sementara itu, Adun Tenang, Mohd Azahar Ibrahim berkata, beliau menyifatkan lawatan Tunku Ismail ke pusat pemindahan ini melambangkan keprihatinan baginda terhadap nasib dan keadaan rakyat di negeri ini.
“Semalam (semalam), Tunku Temenggung Johor, Tunku Idris Sultan Ibrahim juga berkenaan ke SJKC Ai Chun dan hari ini diikuti pula oleh Tunku Ismail dan saya sebagai wakil rakyat di Dun Tenang amat terharu dengan keprihatinan keluarga diraja ini.
“Keceriaan juga jelas terpancar di wajah mangsa-mangsa banjir ini dan kemungkinan, dalam masa terdekat ini mereka akan dibenarkan pulang ditambah pula dengan keadaan cuaca yang cerah sejak pagi ini” katanya.
Bagi ketua pusat pemindahan banjir SK Kampung Tenang, Khairul Nizam Abdul Manap, 38, berkata, dia menyifatkan kunjungan diraja itu sedikit sebanyak membawa sinar keceriaan kepada mangsa banjir yang tinggal di pusat pemindahan ini.
“Kami yang berada di pusat pemindahan ini juga terkejut apabila Tunku Ismail turut membawa jurulatih dan beberapa pemain JDT kerana selama ini kami hanya melihat wajah mereka di televisyen sahaja dan tidak sangka hari ini (semalam) kami dapat bertemu dengan mereka,” katanya.
Tunku Temenggung Johor lawat mangsa banjir
SEGAMAT – Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Sultan Ibrahim berkenan mencemar duli melawat mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan banjir di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Ai Chun, di sini, tengahari tadi.
Baginda yang tiba pada pukul 12.45 tengahari diiringi oleh Pegawai Daerah Segamat, Mohd Haffiz Ahmad; Ahli Parlimen Labis, Datuk Chua Tee Yong; Adun Tenang, Mohd Azahar Ibrahim dan ketua-ketua jabatan di daerah ini.
Dalam lawatan singkat selama 20 minit itu, baginda sempat beramah mesra dengan mangsa yang berada di pusat pemindahan tersebut sejak petang kelmarin dan menyampaikan bungkusan sumbangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kepada 49 keluarga.
Sementara itu, Tee Yong berkata, beliau menyifatkan lawatan keluarga diraja Johor itu ke pusat pemindahan ini melambangkan keprihatinan baginda terhadap nasib dan keadaan rakyat di negeri ini.
“Jelas keprihatinan yang ditunjukkan baginda ini diwarisi daripada Sultan Johor sendiri, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang hari ini (semalam) tur u berkunjung ke pusat pemindahan di Kota Tinggi.
“Keceriaan juga jelas terpancar di wajah mangsa-mangsa banjir ini dan saya berharap dalam masa terdekat ini mereka akan dibenarkan pulang ke rumah masing-masing,” katanya.
Bagi mangsa banjir, Abdul Sukor Jaafar, 56 dia menyifatkan kunjungan diraja itu sedikit sebanyak membawa sinar keceriaan selepas rumahnya di Kampung Lembah Bakti, di sini, ditenggelami air, petang semalam.
Menurutnya, dia dan isterinya, Nani Omar, 41, berpindah ke pusat pemindahan tersebut kira-kira pukul 7.15 petang semalam menggunakan lori Jabatan Kerja Raya (JKR) selepas diarahkan berpindah oleh pihak berkuasa.
“Memang rumah kami selalu dinaiki air kerana terletak di kawasan rendah dan banjir pada kali ini mengingatkan saya banjir besar yang berlaku pada tahun 2006 dan 2011.
“Air naik terlalu cepat kali ini dan apa yang menyukarkan saya, hanya saya seorang sahaja yang mengemas rumah kerana isteri menghidap kanser payudara dan tidak boleh mengangkat berat,” katanya.


