Menu Utama

December, 2016

 

Sungai Bantang meriah ketika cuti sekolah

LABIS – Bagi pengunjung yang pertama kali menjejakkan kaki ke Hutan Lipur Sungai Bantang, Bekok, di sini, kejernihan dan kesejukan air terjunnya pasti memukau sesiapa sahaja yang mencintai unsur-unsur alam yang membawa kedamaian.

Tambahan pula, keindahan alam semulajadi termasuk kekayaan flora dan fauna yang terdapat di kawasan tersebut mampu menerbitkan kedamaian dan ketenangan hati kepada para pengunjung yang ingin lari dari kesibukan kota dan tekanan kerja.

Terletak kira-kira lapan kilometer dari Pekan Bekok dan kira-kira 64 kilometer dari bandar Segamat, hutan lipur ini menjadi salah satu entiti dan tarikan pelancong ke daerah Segamat terutamanya pada hujung minggu atau cuti.

Pintu masuk ke Hutan Lipur Sungai Bantang.

Bagi memberi akses dan keselesaan kepada para pengunjung, jalan masuk ke hutan lipur tersebut sejauh kira-kira 3.4 kilometer juga telah diturap pada tahun ini selain ruang parkir kenderaan yang luas dan berturap.

Sepanjang cuti persekolahan yang bermula pada penghujung November lalu, jumlah pengunjung yang datang ke hutan lipur ini turut meningkat dan dimanfaatkan sebaik mungkin oleh para pelajar serta ibu bapa yang mengambil peluang untuk meluangkan masa bersama anak-anak.

Bagi Che Roslan Che Mat, 40, dia yang pertama kali mejejakkan kaki ke hutan lipur ini bersama isteri dan dua anaknya mengakui terpukau seketika apabila kedatangan mereka disambut oleh sahutan unggas dan keredupan alam semulajadi.

“Saya sebenarnya dalam perjalanan dari Johor Bahru untuk pulang ke Kuala Lumpur dan kawasan ini (hutan lipur) dicadangkan oleh salah seorang rakan saya yang sering membawa keluarganya beriadah.

“Apa yang membuat saya bertambah terkejut apabila tiada sebarang bayaran yang dikenakan berbanding beberapa hutan lipur dan kawasan rekreasi yang pernah kami pergi sebelum ini selain kemudahan asas yang lengkap,” katanya kepada Komuniti Segamat.

Menurutnya, berdasarkan pengamatannya, kawasan berkenaan dijaga dengan rapi termasuk aspek kebersihan selain terdapat kakitangan Jabatan Perhutanan yang bertugas bagi memudahkan sebarang urusan.

Katanya, walaupun hanya meluangkan masa seketika untuk berehat dan bermandi manda di hutan lipur tersebut, dua anaknya yang masih kecil ternyata teruja selain mahu memanfaatkan masa berkualiti bersama keluarganya sepanjang cuti persekolahan ini.

Sementara itu, Adib Adam Kamaruzzaman, 17, yang berasal dari Pasir Gudang berkata, sekiranya dia tidak mengikuti rombongan persatuan taekwandonya, dia pasti akan terlepas peluang untuk menikmati keindahan alam di hutan lipur ini.

“Ini merupakan kali pertama saya datang ke Sungai Bantang dan peluang selama tiga hari dua malam berkhemah di sini (hutan lipur) merupakan satu pengalaman baru bagi saya dan rakan-rakan yang lain.

“Dahulu saya pernah pergi ke Gunung Lambak di Kluang dan keadaannya jauh berbeza di sini (Sungai Bantang) kerana terdapat pelbagai aktiviti yang boleh dilakukan seperti ‘jungle trekking’ dan ikhtiar hidup,” katanya.

Cuti sekolah beri rezeki kepada peniaga

Bagi peniaga, Rosrita Mohd Yassin, 39, dia yang menyewa gerai Jabatan Hutan di hutan lipur tersebut berkata, hasil jualannya akan meningkat berkali ganda sepanjang cuti persekolahan dan hari minggu berbanding hari-hari biasa.

Katanya, sepanjang cuti persekolahan ini, dia akan membuka gerainya setiap hari bermula pukul 10 pagi hingga enam petang selain mengakui ramai pengunjung yang mula mengenali Hutan Lipur Sungai Bantang ini.

“Pada hari biasa, jualan saya kurang daripada RM20 dan kadangkadang tiada dan sepanjang cuti sekolah ini saya mampu memperolehi kira-kira RM150 sehari hasil menjual makanan, minuman dan peralatan mandi seperti pelampung.

“Jika hendak dibandingkan kawasan ini lima tahun lalu, banyak kemudahan asas termasuk jalan dan tandas telah rosak namun sejak setahun lalu banyak perubahan dan pembangunan yang berlaku termasuk gerai yang saya sewa ini,” katanya.

Menurutnya, dia yang telah berniaga lebih 15 tahun di kawasan tersebut turut mengakui usaha dan inisiatif Jabatan Perhutanan dan Ahli Parlimen Labis, Datuk Chua Tee Yong untuk memajukan kawasan pelancongan tersebut.amat bermakna buat peniaga seperti dirinya.

Rosrita menunjukkan barang jualannya.

Katanya, terdapat dua peniaga termasuk dirinya yang menyewa di gerai tersebut selain berharap kawasan hutan lipur ini mampu menarik lebih ramai pengunjung pada masa akan datang.

Sementara itu, Ahli Parlimen Labis, Datuk Chua Tee Yong berkata, melalui rekod yang dikeluarkan oleh Jabatan Perhutanan, jumlah pengunjung ke hutan lipur tersebut boleh mencecah sehingga 3,500 pengunjung sehari terutamanya pada musim cuti.

Menurutnya, usaha menarik pelancong ke kawasan tersebut juga bukan satu pekara yang mudah kerana usaha menyediakan kemudahan asas seperti tandas, jalan masuk dan tempat meletak kenderaan yang mencukupi juga harus diambil kira.

“Penglibatan semua pihak secara langsung dapat membantu jabatan terbabit dalam menguruskan tempat ini terutamanya dari aspek kebersihan, penjagaan segala kemudahan yang disediakan serta kesedaran kepada pengunjung terhadap kepentingan menjaga kemudahan awam,” katanya.


Rezeki musim tengkujuh

SEGAMAT – Musim tengkujuh yang kebiasaannya tiba pada penghujung tahun sering dinanti oleh nelayan sungai di daerah ini kerana mampu membawa limpahan rezeki yang lumayan kepada mereka.

Bagi Ishak Ayok, 60, yang merupakan nelayan sungai di Kampung Tekam, di sini, berkata, musim tengkujuh sememangnya dinantikan oleh nelayan sungai kerana ketika itu mereka akan memperolehi tangkapan lumayan pelbagai jenis ikan.

“Musim tengkujuh bagi kami seumpama musim menuai bagi penanam padi kerana ketika itu paras air sungai akan naik dan lazimnya tangkapan kami akan meningkat berlipat kali ganda kerana ketika itu ikan akan keluar daripada lubok.

“Sebagai contoh, hari ini (semalam) seekor ikan tapah seberat 8.6 kilogram tersangkut dijaring yang saya pasang di mana spesies ini begitu sukar ditemui di luar musim tengkujuh,” katanya kepada Komuniti Segamat.

Menurutnya, dia yang sudah menjadi nelayan sungai sejak 30 tahun lalu berkata, harga pasaran ikan tapah ketika ini mencecah sehingga RM80 sekilogram dan lebih mahal berbanding ikan sungai yang lain seperti patin dan baung.

Peminat ikan sungai tidak melepaskan peluang mendapatkan ikan segar

Katanya, kebiasaan dia juga akan mengambil ikan daripada nelayan-nelayan sungai yang lain untuk dijual dan sepanjang musim tengkujuh ini dia mampu menjual kira-kira 100 kilogram pelbagai jenis ikan sungai seperti udang galah, lampam, patin dan baung.

Bagi Mohamad Ahmad, 60, berkata, sepanjang musim tengkujuh ini, dia bersama isterinya, Aisyah Hamid, 55, akan turun ke sungai setiap hari dan adakalanya terpaksa bermalam di tepi sungai semata-mata untuk menangkap ikan menggunakan ambai.

“Saya akan membawa bekalan makanan dan minuman yang mencukupi sekiranya ingin keluar seharian menangkap ikan dan kebiasannya pada musim tengkujuh ini kami tidak akan pulang dengan tangan kosong.

“Secara purata, saya boleh mendapat kira-kira 15 kilogram ikan setiap hari dengan pendapatan kira-kira RM300 dan jika di luar musim ini, sukar untuk kami memperolehi ikan dan adakalanya langsung tidak dapat,” katanya.

Bagaimanapun, limpahan rezeki ini hanya kira-kira sebulan sahaja dan musim ini merupakan masa terbaik bagi nelayan sungai seperti dirnya membeli peralatan baharu seperti perahu, enjin sangkut atau peralatan menangkap ikan.

Bagi Samad Ayok, 52, berkata, pada musim tengkujuh, seorang nelayan sungai mampu memperolehi pendapatan sehigga RM6,000 semusim berbanding hanya beberapa ratus pada hari-hari biasa.

“Jika bernasib baik dan kena pada tempatnya, lukah, jaring atau ambai yang dipasang oleh kami boleh mendapat ikan baung sehingga 200 kilogram yang boleh dijual dengan harga RM30 sekilogram,” katanya.


Karnival Belia Bersatu Belia Cergas Segamat

Bermula 20.12.2016 sehingga 2.1.2017 ini, Pertubuhan Belia Bersatu Bandar Segamat (PBBBS) dengan kerjasama Citra Medini akan mengadakan Fiesta Belia Bersatu Belia Cergas Segamat Ambang 2017 (FBBBC’17) di Dataran Segamat.

Pelbagai aturcara telah disediakan oleh penganjur seperti kugiran 60-an, qasidah, persembahan Kebudayaan Negeri johor, Night Run, Battle of The Band, Pertandingan Zapin dan Pertandingan Mencari Bintang Citra Medini.

Bukan itu sahaja, persembahan nyanyian daripada artis terkenal tanah air seperti Yabang Khalifah, Lan Kristal, Blank Gamma dan Ayie Leon akan turut mewarnai FBBBC’17 ini.

Tidak mahu leka dengan unsur hiburan semata-mata, pihak penganjur turut menyelitkan unsur-unsur ketuhanan dengan menjemput Da’ie Azam al-Kankari untuk menyampaikan ceramah perdana pada 29.12 ini.

Pada malam ambang tahun baru pula, para pengunjung berpeluang menyaksikan persembahan daripada kumpulan Sanggar Budaya Sri Pengkalan mengadakan konsert pada pukul 9 malam. Sedikit trivia, kumpulan ini yang dianggotai oleh anak-anak jati daerah Segamat merupakan Johan Akar Kita Zapin 3 tahun berturut-turut,  Johan Pertandingan Zapin Johor kategori Terbuka 2004 & 2016 dan Muzik Terbaik Pertandingan Zapin Johor (Kategori Terbuka) 2016.

 

Fuhh..banyak kan aktiviti menarik. Nak tahu kemeriahannya datanglah beramai-ramai ke Dataran Segamat bermula 20.12.2016 sehingga 2.1.2017 ini.

Khabarkan berita ini dekat orang-orang kampung, mak cik, pak cik, kakak, abang. ehhh..senang cerita bagitahu la semua orang.

Jumpa di FBBBC’17 tau orang SEGAMAT!!!

Untuk maklumat lanjut boleh menghubungi Akob ditalian 0179620204 atau Djamal di talian 0187863001.