September, 2016
Karnival Komuniti Sihat – Sehati Sejiwa Segamat
Tidak tahu hendak ke mana cuti sekolah ini?
Bosan duduk di rumah sahaja?
Tiada bajet untuk berjalan jauh?
Anak-anak merengek hendak bermain dan berjalan?
Tidak mengapa!! Kami ada penyelesaiannya

Bermula 10 hingga 25 September 2016 ini, Citra Medini dengan kerjasama UMNO Bandar Segamat mengadakan ‘Karnival Komuniti Sihat Sehati Sejiwa Daerah Segamat’ di Dataran Segamat yang pastinya akan memberikan anda pelbagai aktiviti menarik.
Antara yang ada sepanjang karnival tersebut berlangsung seperti ceramah agama, persembahan kebudayaan, pemeriksaan kesihatan, pameran agensi-agensi kerajaan, karaoke, autoshow, sukan rakyat dan pelbagai lagi.

Bagi peminat pasukan JDT, anda juga pastinya tidak mahu melepaskan peluang menyaksikan perlawanan AFC di antara JDT dan South China pada 13/9 ni. Oleh itu, pihak penganjur telah menyediakan satu skrin gergasi untuk pengunjung yang akan digamatkan oleh komrad Boys of Strait (BOS).
Hang nak pi mana? Pi sinilah. Bagi peminat Yabang Khalifah, anda berpeluang menyaksikan persembahan beliau pada 14/9 ini dan kami pasti banyak lagu-lagu beliau akan menyegarkan lagi warga Segar Amat ini.

Bagi slot ketuhanan dan ceramah agama pada 15/9 ini, penganjur akan membawakan Daie Azam Al-Kankari yang merupakan anak jati JOHOR!!
Anda minat menyanyi dan ingin mengetengahkan bakat nyanyian anda? Pada 18/9 ini pihak penganjur akan mengadakan saringan pertama Pertandingan Mencari Bintang Segamat 2016 dan saringan kedua dilakukan pada 19/9 manakala final pada 25/9 ini.
Pada 23 September, pihak penganjur akan menggamatkan para pengunjung dengan pertandingan autoshow mega manakala pada 24 September pula pertandingan kompang 3 parlimen. Parlimen mana lagi kalau bukan Parlimen Segamat, Sekijang dan Labis.
Acara kemuncak dan perasmian pula akan diadakan pada 24 September ini dan akan dirasmikan oleh Menteri Kesihatan merangkap Ahli Parlimen Segamat iaitu Datuk Seri Dr S Subramniam.
Banyak lagi aktiviti menarik sepanjang karnival ini berlangsung. Gerai-gerai niaga juga turut dibuka dan pengunjung boleh mendapatkan pelbagai barangan dan yang penting datang dan lihat dengan mata anda sendiri KEMERIAHAN karnival ini!!!
Ayuh warga Segamat!!! Kita jumpa di Dataran Segamat.
Semangat Merdeka Kapandi
SEGAMAT – Pengalaman merasai keperitan hidup dizaman komunis dan kolonial menyebabkan sepasang suami isteri di Felda Redong, di sini, lebih menghargai sambutan Hari Kebangsaan setiap tahun.
Kapandi Hanapiah, 71, berkata, sejak bermula tahun lalu, dia bersama isterinya, Ruminah Satar, 69, dibantu oleh 10 anak, 27 cucu dan tiga cicitnya akan mula menghias halaman rumah mereka dengan Jalur Gemilang serta unsur kemerdekaan apabila menjelangnya bulan Ogos.

Kemeriahan keluarga Kapandi yang kini mempunyai empat generasi menyambut kemerdekaan turut mendapat perhatian jiran serta penduduk setempat untuk bergambar di setiap ruang lanskap yang diberi nama ‘Lanskap Merdeka Atuk’.
“Pada tahun lalu, pak cik bersama keluarga mengambil masa hampir sebulan untuk membuat persiapan termasuk membuat lanskap kemerdekaan di sekeliling rumah seperti pintu gerbang, replika Menara Berkembar Petronas, replika Tugu Negara serta memasang Jalur Gemilang.

“Pada tahun ini, kami hanya mengambil masa kira-kira seminggu untuk memasang dan menghias kembali ‘Lanskap Merdeka Atuk’ dan kebanyakan replika serta lanskap ini merupakan idea serta kreativiti anak-anak,” katanya kepada Komuniti Segamat.
Menurutnya, kebanyakan replika kemerdekaan di lanskapnya itu dibina daripada bahan-bahan terbuang dan kitar semula seperti menggunakan 750 bekas air kotak untuk menghasilkan Jalur Gemilang dan botol air minuman bagi menghasilkan Menara Berkembar Petronas.
Katanya, dia turut mendapat kerjasama daripada semua anak, cucu dan cicitnya untuk melakukan kerja-kerja lanskap tersebut seperti mengecat dan memotong gabus untuk dijadikan replika Tugu Negara dan ayat ‘Sehati Sejiwa’.

31 Ogos antara suka dan duka
Apabila mengenang kembali tarikh 31 Ogos, terdapat dua peristiwa iaitu sedih dan gembira yang tidak dapat dilupakan oleh Kapandi dan isterinya sehingga kini apabila kematian anak kelimanya, Norhisham pada tahun 1980-an.
“Ketika itu usianya (Norhisham) baharu mencecah setahun dan dia merupakan anak lelaki pertama kami dan dia meninggal dunia betul-betul pada 31 Ogos kerana demam panas dan ketika itu pak cik belum menyertai Felda lagi.
“Peristiwa gembira pula pada 30 Ogos 1981 apabila isteri pak cik melahirkan anak kelapan kami, Mohd Rizal, 35, dan pada malam ambang merdeka, pak cik akan adakan kenduri doa arwah dan doa selamat bagi mengenang peristiwa tersebut,” katanya.

Menurutnya, dia sekeluarga juga akan mengadakan sambutan kemerdekaan di rumah bermula dengan ambang merdeka serta diselitkan dengan pelbagai aktiviti seperti tayangan filem patriotisme dan membaca sajak.
Katanya, dia juga tidak akan melepaskan peluang untuk menceritakan pengalamannya ketika di zaman darurat dan keperitan negara dicengkam keganasan komunis dengan ahli keluarganya bagi menimbulkan semangat patriotisme dan cintakan negara.
“Sebab itu pak cik tidak kisah untuk mengeluarkan sedikit duit untuk menyemarkkan lagi semangat kemerdekaan kerana dahulu terlalu azab ketika hidup di zaman komunis dan British sehingga sukar untuk mendapatkan makanan.

“Pakcik pernah rasa hidup di zaman ubi kayu, bekalan makanan pun kena catu, jika ada beras diberi pun segenggam dan sewaktu muda, pak cik pernah membuat kawalan kampung untuk menyekat kemaraan komunis di Kampung Sagil, Muar,” katanya.
Menurutnya, dia bersyukur zaman tersebut sudah berlalu dan mahu generasi pasca merdeka yang ada pada hari ini agar lebih menghargai nilai kemerdekaan tersebut selain tidak malu untuk mengibarkan Jalur Gemilang.


