Menu Utama

July, 2016

 

Penunggang basikal maut

SEGAMAT – Seorang penunggang basikal maut selepas basikal yang dikayuhnya merempuh sebuah bas di Kilometer 179 Johor Bahru-Seremban berhampiran persimpangan Mahkamah Majistret Segamat, di sini, kira-kira pukul 1 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Segamat, Supritendan Mohd Kamil Sukarmi berkata, mangsa yang dikenali sebagai V Athimoolam, 55, dipercayai gagal mengawal basikalnya sewaktu turun daripada persimpangan mahkamah sebelum terbabas memasuki jalan raya utama.

V Athimoolam terperosok di bawah bas.

V Athimoolam terperosok di bawah bas.

“Ketika kejadian terdapat bas persiaran yang dalam perjalanan dari Segamat ke Johor Bharu melalui kawasan kejadian dan gagal mengelak mangsa yang secara tiba-tiba keluar daripada persimpangan tersebut sebelum mangsa melanggar bahagian hadapan dan terperosok di bawah bas.

“Akibat perlanggaran tersebut, mangsa yang bekerja sebagai pengawal keselamatan maut serta merta di tempat kejadian dengan kecederaan di bahagian kepala dan beberapa anggota badan manakala pemandu bas tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Menurutnya, mayat mangsa kemudian dibawa ke Rumah Mayat Hospital Daerah Segamat (HDS) untuk dibedah siasat sebelum dituntut oleh keluarganya yang menetap di Segamat Baru, di sini, dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Basikal yang ditunggang oleh V Athimoolam

Basikal yang ditunggang oleh V Athimoolam

Sementara itu, pemandu bas persiaran tersebut, P Manoran, 65, berkata, kejadian berlaku terlalu pantas dan dia yang masih terkejut dengan kejadian tersebut sempat memberhentikan basnya sejurus perlanggaran berkenaan.

“Sebuah lori yang membawa muatan balak di belakang saya juga terbabas ke arah bertentangan dan mujur ketika kejadian saya tidak membawa penumpang dan tiada kenderaan lain di laluan bertentangan.

“Pemandu lori tersebut juga tidak mengalami sebarang kecederaan dan ini merupakan kemalangan pertama sejak beberapa tahun saya memandu bas persiaran,” katanya.


Tiga beradik jadi yatim piatu sekelip mata

LABIS – Tiga beradik di Taman Suria, Buloh Kasap, di sini, menjadi yatim piatu sekelip mata selepas ibu dan bapa mereka terlibat dalam kemalangan maut di Kilometer 2.5 Jalan Labis-Muar, di sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Segamat, Supritendan Mohd Kamil Sukarmi berkata, kemalangan yang berlaku kira-kira 7.20 petang itu mengakibatkan Mohd Rezal Abdul Karim, 37, bersama isterinya, Rozaimah Mahmood, 41, dan anak ketiganya, Nuralisa Yasmin, 11, maut.

“Ketika kejadian, Mohd Rezal yang memandu kereta Proton Saga bersama isteri dan empat lagi anaknya dipercayai dalam perjalanan dari rumah mereka di Taman Suria, Buloh Kasap untuk pergi beraya ke rumah kenalan mereka di Labis.

Anggota bomba sedang mengeluarkan mangsa yang tersepit. (Gambar kecil Mohd Rezal bersama Rozaimah)

Anggota bomba sedang mengeluarkan mangsa yang tersepit. (Gambar kecil Mohd Rezal bersama Rozaimah)

“Sewaktu tiba di lokasi kejadian, sebuah pacuan emat roda jenis Mitsubishi Triton yang dipandu seorang lelaki berumur 55 tahun yang datang dari arah Muar-Labis telah masuk ke laluan bertentangan sebelum melanggar kereta yang dinaiki mangsa,” katanya.

Menurutnya, akibat perlanggaran tersebut, Mohd Rezal dan Rozaimah maut serta merta di tempat kejadian akibat tersepit di bahagian hadapan kenderaan selain mendapat kecederaan parah di bahagian kepala dan anggota badan.

Katanya, anak bongsu mangsa, Nurdurrah Khadeeja, 1, pula kritikal dan dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru (HSAJB) manakala Nuralisa meninggal dunia di Hospital Daerah Segamat (HDS) kira-kira pukul 3.30 pagi sewaktu mendapat rawatan.

“Selain itu, anak sulung mangsa, Muhammad Aniq Aiman, 16, kini ditempatkan di wad biasa manakala adiknya, Muhammad Haziq Iqbal, 13, sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) HDS.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan jenazah Mohd Rezal dan Rozaimah telah dituntut oleh keluarganya awal pagi ini manakala jenzah Nuralisa sedang dibedah siasat dan akan dikebumikan hari ini,” katanya.

Sementara itu, bapa saudara Mohd Rezal, Sulaiman Badrun, 62, ketika dijumpai di Rumah Mayat HDS berkata, kali terakhir dia berjumpa keluarga tersebut adalah pada hari raya kedua di rumah ibu mertuanya di Kampung Paya Lang, di sini.

Menurutnya, kesemua mangsa juga akan dikebumikan di dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Mensudut Pindah dan mengakui masih terkejut dengan tragedi yang menimpa keluarga malang berkenaan.

Mohd Rezal (dua, kanan) bersama kelaurganya ketika Aidilfitri, baru-baru ini

Mohd Rezal (dua, kanan) bersama kelaurganya ketika Aidilfitri, baru-baru ini

“Mohd Rezal bekerja sebagai pemandu lori manakala isterinya tidak bekerja dan dia (Rezal) seorang yang mudah mesra dan peramah dan sewaktu kali terakhir saya berjumpanya, tiada sebarang perlakuan atau tanda ganjil yang ditunjukkan olehnya.

“Apa yang paling menyayat hati, anak-anak mangsa menjadi yatim piatu dan hilang tempat bergantung sekelip mata pada Syawal kelima dan saya menganggapnya sebagai takdir pada bulan mulia ini,” katanya.

Katanya, dia bersama ahli keluarga yang lain juga akan berbincang mengenai nasib terutamanya hak penjagaan anak-anak mangsa selepas ini selain akan berusaha membantu melupakan trauma yang berlaku.