April, 2016
Ungkit semula peristiwa 16 tahun lalu
SEGAMAT – Seorang ibu tunggal di Kampung Chodan, di sini, menganggap peristiwa hitam kehilangan suaminya akibat kemalangan jalan raya 16 tahun lalu berulang kembali apabila anak lelakinya pula maut dalam kemalangan jalan raya.
Jamilah Shawal, 63, berkata, kemalangan jalan raya melibatkan anak lelakinya, Anuar Jantan, 39, di Jalan Labis-Segamat pada malam Sabtu lalu mengingatkannya kembali kepada arwah suaminya, Jantan Lambut.
“Arwah suami mak cik meninggal dunia pada tahun 2000 selepas terlibat kemalangan jalan raya di Jementah sewaktu dalam perjalanan ke tempat kerjanya di loji rawatan air di Kampung Paya Jakas.
“Namun, selepas 16 tahun, siapa sangka ALLAH uji mak cik semula apabila anak kedua mak cik pula terlibat dalam kemalangan jalan raya dan kedua-duanya disebabkan oleh kemalangan kereta dan mak cik redha dengan semua ini,” katanya.
Menurut ibu kepada lapan anak itu, kali terakhir dia berjumpa dengan anak keduanya itu adalah kira-kira seminggu sebelum kemalangan tersebut sewaktu anaknya singgah ke rumahnya selepas pulang dari berkhemah di Gunung Ledang.
Katanya, dia hanya mengetahui mengenai kemalangan yang meragut nyawa anaknya itu selepas salah seorang rakan arwah menghubungi salah seorang anaknya yang tinggal bersamanya di rumah tersebut.
“Beberapa hari sebelum arwah kemalangan, perasaan mak cik lain sangat apabila tiba-tiba terindukan dia (arwah) setiap masa walaupun dia seringkali menghubungi mak cik bertanyakan khabar,” katanya.

Zalila (tiga, kiri) menerima cek FPM Perkeso yang disampaikan oleh Fauziah (lima,kanan)
Sementara itu, isteri arwah, Zalila Kasman, 39, yang merupakan seorang guru berkata, suaminya yang seorang peramah sebelum ini bertukar menjadi pendiam sewaktu mereka pulang ke kampung keluarganya di Felda Chemplak, Jumaat lalu.
Menurutnya, arwah suaminya yang bekerja sebagai Pegawai Seranta di Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra) juga sering menghabiskan masa mencium anak angkat mereka, Mohd Afif Zikry, 3, sewaktu di rumah keluarganya.
“Kami berdua menaiki kereta berasingan sewaktu pulang ke rumah keluarga saya kerana arwah suami perlu menyelesaikan kerjanya terlebih dahulu dan sewaktu ingin pulang ke rumah kami pada Sabtu lalu, arwah ada memberitahu saya untuk berjumpa rakannya di Labis.
“Saya sehingga kini masih terkejut dan tidak percaya kehilangan suami selepas dihubungi oleh pihak polis dan punca kematian suami disebabkan paru-parunya tertusuk tulang rusuk selain kehilangan banyak darah,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Segamat, Fauziah Yahya yang menyerahkan Faedah Pengurusan Mayat (FPM) berkata, arwah merupakan seorang pencarum Perkeso dan isterinya juga layak menerima pencen penakat tiap-tiap bulan.
Turut hadir dalam lawatan tersebut ialah Naib Ketua Umno Bahagian Sekijang, Alus Kassim; Ketua Wanita Umno Sekijang, Rahana Mohamed; Ketua Pemuda Umno Sekijang, Salleheen Mohamad dan Ketua Puteri Sekijang, Shabariah Jamaluddin.
Komuniti Facebook Segamat pada 3 April lalu melaporkan Ketua Pemuda Umno Cawangan Bukit Senggir, Anuar Jantan, 39, maut dalam kemalangan selepas kenderaan yang dipandunya hilang kawalan dan terbabas selepas mengelak bangkai seekor babi.
Teruja dapat salam TMJ
SEGAMAT – Hasrat bekas pemain bola sepak yang pernah mewakili Johor dalam saingan Liga Malaysia dan Piala Malaysia pada tahun 2000 untuk menonton bola di Stadium Tan Sri Datuk Haji Hassan Yunos, Larkin, menjadi kenyataan.
Mohd Yussalman Jusoh, 36, yang lumpuh daripada paras bahu ke bawah selepas terlibat dalam kemalangan pada tahun 2011 berkata, dia berasa terharu kerana dapat menjejaki kaki ke stadium tersebut selepas sekian lama terlantar sakit.

Tunku Ismail Sultan Ibrahim bersalaman dengan Yussalman (tiga,kanan) sebelum perlawanan JDT menentang Perak (Gambar Facebook Johor Southern Tiger)
“Menjadi kenangan terindah bagi saya kerana dapat bersama-sama penyokong JDT menyaksikan perlawanan JDT dan Perak secara langsung kerana sebelum ini saya hanya mampu melihat di televisyen sahaja.
“Selain dapat bersorak dan meraikan kemenangan JDT, bertambah manis apabila Tunku Mahota Johor, Tunku Ibrahim Sultan Ismail sudi bersalaman dengan saya di atas padang sebelum perlawanan bermula,” katanya kepada Komuniti Facebook Segamat.
Menurutnya, dia juga berasa terharu dan terhutang budi terutamanya kepada Yayasan Penyokong Johor dan Ketua Wanita Umno Bahagian Mersing, Alwiyah Talib yang membantu pergerakan dia dan keluarganya untuk ke stadium.
Katanya, selain dapat berjumpa rakan-rakan sepasukan lama, dia sedikit terkilan apabila hasratnya untuk berjumpa ketua pasukan JDT, Mohd Safiq Rahim tidak kesampaian dan hanya dapat melihat aksinya di atas padang sahaja.
“Saya berharap pada masa akan datang impian saya untuk berjumpa dia (Safiq Rahim) akan tercapai dan saya sedikit sebak apabila melihat kelincahan mereka bermain bola kerana saya sudah tidak berupaya untuk berbuat demikian.
“Saya bersama bekas Penolong Pengurus Pasukan Johor FA, Satar Husin seolah-olah diberi penghargaan istimewa oleh Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) dan ini merupakan satu kenangan yang terindah,” katanya.
Dalam kejadian 29 September 2011 kira-kira pukul 11 malam, motosikal yang ditunggangi oleh Yussalman dirempuh sebuah kenderaan sebelum melarikan diri di Bandar Baru Uda, Johor Bahru sewaktu dia dalam perjalanan pulang ke rumah selepas bekerja.
Akibat kemalangan tersebut, dia dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru (HSAJB) dan koma selama 14 hari sebelum disahkan oleh doktor bahawa saraf tunjangnya telah rosak selain pundi kencingnya turut pecah.
Yussalman kemudian terpaksa ditahan di dalam wad selama 44 hari sebelum dibawa pulang oleh isterinya, Norliana Razali, 32, ke kampung mertuanya di Felda Palong Timur 1, di sini, sehingga kini.
Bina medan selera baharu
SEGAMAT – Yayasan Majlis Daerah Segamat (YMDS) akan mewujudkan lebih banyak peluang perniagaan dengan membangunkan sebuah medan selera di atas kawasan lapang berhampiran Dewan Masjid Bandar IOI, di sini, pada tahun ini.
Pengerusi YMDS, Datuk Ayub Rahmat berkata, medan selera baharu tersebut yang berkeluasan 21 lot gerai itu akan dibina dengan kos RM3.3 juta melalui peruntukan daripada Tabung Bumiputera Negeri Johor dan MDS sendiri.
“Saya juga telah mencadangkan kepada MDS supaya menapis terlebih dahulu permohonan peniaga yang ingin menyewa medan selera tersebut dan salah satu caranya adalah dengan meminta para peniaga membentangkan pelan perniagaan mereka kepada kami untuk dinilai.
“Ini bertujuan bagi memastikan peniaga yang betul-betul layak sahaja dapat meniaga di kawasan tersebut selain tidak mahu terlalu ramai peniaga menjual produk yang sama dan pada masa sama mewujudkan persaingan yang sihat,” katanya.

Ayub (dua,kanan) ketika merasmikan bangunan KUTJOB di Bandar IOI
Ayub yang juga Adun Kemelah berkata kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penubuhan Koperasi Usahawan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) Johor Berhad (KUTJOB) di Bandar IOI, di sini.
Turut hadir ialah Pegawai Tekun Parlimen Sekijang, Sahrizal Ahmad dan Pengerusi KUTJOB, Mashod Kurdi.
Menurutnya, ini juga merupakan salah satu cara bagaimana YMDS mahu mempelbagaikan lagi sumber pendapatan mereka dan tidak mahu bergantung sepenuhnya kepada sumbangan hasil satu peratus daripada kutipan cukai Majlis Daerah Segamat sebagai sumber mengisi tabung dananya.
“YMDS juga akan cuba mendapatkan dua atau tiga gerai di medan selera tersebut bagi menjalankan aktiviti yang boleh mendatangkan hasil bagi mengisi dana tabung agar bantuan kepada golongan yang memerlukan di kawasan pentadbiran MDS dapat diperluaskan.
“Pembinaan medan selera ini juga dijangka dapat merancakkan lagi pembangunan di kawasan Badar IOI yang kini semakin meningkat naik selain terdapat beberapa lagi perancangan yang akan dilakukan pada masa terdekat ini,” katanya.
Pada masa sama, beliau juga telah berjumpa dan berbincang dengan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Koperasi Iskandar Malaysia Berhad, Nor Hisham Hussein berkenaan cadangan untuk membuka Kedai Harga Patut Muafakat Johor (imCoop) di daerah ini.
Katanya, imCoop juga mampu menawarkan barangan keperluan pada harga rendah dan berpatutan selain usaha kerajaan negeri meringankan beban rakyat menghadapi kos sara hidup yang tinggi.
“Sekiranya penubuhan imCoop ini dapat direalisasikan pada tahun ini, saya sarankan agar peniaga-peniaga runcit atau kecil supaya mengambil barang daripada imCoop kerana barang yang dijual juga berkualiti,” katanya.
Waris Datuk Abdullah Mahat berkumpul semula
SEGAMAT – Pertemuan semula lebih 300 waris Datuk Abdullah Mahat yang pada mulanya bertujuan untuk menjalankan aktiviti gotong royong bagi membersihkan kawasan rumah peninggalannya di Buloh Kasap, di sini, telah mencetuskan idea untuk menubuhkan koperasi.
Seorang waris, Raini Jaafar, 60, berkata, generasi Datuk Abdulah Mahat yang merupakan bekas Penghulu Buloh Kasap dalam tahun 40-an kini telah memasuki generasi keenam dengan jumlah waris melebih 500 orang.
“Dengan jumlah waris yang ramai ketika ini, idea menubuhkan koperasi dilihat sebagai sesuatu yang positif dan mampu menjana ekonomi waris selain sebagai landasan untuk mengukuhkan hubungan dalam kalangan mereka.
“Sekurang-kurangnya melalui koperasi yang diwujudkan serta dana yang dikumpul membolehkan kami merangka pelbagai aktiviti berbentuk kebajikan bagi kebaikan semua waris,” katanya.
Sementara itu, Azman Rashdi, 57, salah seorang cucu kepada Datuk Abdulah Mahat berkata, program yang diadakan itu merupakan kesempatan terbaik untuk semua waris bertemu dan mengenali antara satu sama lain.

Sebahagian waris Datuk Abdulah Mahat bergambar beramai-ramai selepas menjalankan gotong royong membersihkan kawasan rumah peninggalan Datuk Abdulah Mahat di Buloh Kasap.
Katanya sebagai generasi ketiga, dia mengakui ini merupakan kali pertama dia berpeluang bertemu dan mengenali saudara daripada generasi terbawah yang belum pernah dikenalinya sebelum ini.
Bagi kakaknya, Najmi Rashdi, 64, pertemuan kali ini begitu istimewa buat dirinya dan mengimbau kembali kenangan semasa zaman kanak-kanak di rumah bekas peninggalan datuknya yang sudah lama tidak dikunjunginya itu.
“Pertemuan ini juga memberi peluang kepada saya untuk menceritakan segala pengalaman serta suasana persekitaran rumah yang saya sifatkan begitu banyak sejarah dalam keluarga kami kepada generasi baharu.
“Semoga melalui pertemuan ini, lebih banyak aktiviti membaik pulih rumah pusaka peninggalan datuk saya ini dapat dilaksanakan pada masa akan datang kerana reka bentuk rumah ini penuh dengan nilai tradisi Melayu,” katanya.
Sementara itu, Adun Buloh Kasap, Norshida Ibrahim berkata, Datuk Abdullah Mahat merupakan penghulu pertama di negeri ini yang memperolehi gelaran Dato’ daripada Almarhum Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Abu Bakar.
Menurutnya, semasa pentadbiran Dato’ Abdullah Mahat, beliau menjalinkan hubungan baik dengan istana Johor dan hubungan baik tersebut berkekalan semasa anaknya, Ahmad Abdullah menjadi penghulu.
“Terlalu banyak jasa yang ditinggalkan oleh Dato’ Abdullah Mahat di Buloh Kasap dan saya meminta supaya warisnya berusaha untuk memulihara semula rumah peninggalan beliau yang kini semakin usang,” katanya.
BR1M tampung kos dialisis
SEGAMAT – Seorang wanita warga emas di Taman Suria, Buloh Kasap, di sini, akan menggunakan duit Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang diterimanya di Dewan Serbaguna Jalan Genuang, di sini, baru-baru ini, untuk menampung kos rawatan dialisisnya.
Menantunya, V Rajeswari, 40, berkata, disebabkan masalah kegagalan buah pinggang sejak 14 tahun lalu, kesihatan ibu mertuanya, P Punama, 70, juga semakin terjejas selain tidak boleh bergerak dan terlantar.
“Setiap minggu sebanyak tiga hari sekali saya terpaksa membawa ibu mertua pergi menjalani rawatan dialisis di Segamat Baru dan bertambah teruk apabila matanya menjadi buta disebabkan penyakitnya ini
“Kos rawatan dialisis juga agak besar iaitu sebanyak RM700 sebulan tidak termasuk kos-kos lain seperti ubat-ubatan serta lampin pakai buang dan duit BR1M sebanyak RM250 akan digunakan untuk kos rawatannya,” katanya.

P Punama (berkerusi roda) menerima bantuan BR1M yang disampaikan oleh Norshida (dua,kiri) di Dewan Serbaguna Jalan Genuang
Menurutnya, dia yang tidak bekerja juga terpaksa mengharapkan wang suaminya yang bekerja sebagai pemandu bas persiaran untuk menyara empat anaknya yang masih bersekolah dan mengakui bantuan tersebut banyak membantu meringankan bebanan ibunya.
Bagi warga emas, Fatimah Jamil, 90, yang berasal daripada Felda Sri Jaya, Ledang, berkata, dia terpaksa mengharapkan bantuan anak lelakinya, Mohd Nor Hashim, 50, untuk menghantarnya mengambil BR1M di Segamat.
“Mak cik tidak tahu macam mana nama mak cik boleh terlepas ke Segamat pada tahun ini memandangkan sebelum ini baucar BR1M hanya diposkan sahaja ke rumah mak cik kerana keadaan mak cik yang semakin uzur.
“Selepas ini ada tiga kali lagi pemberian dan mak cik tidak tahu bagaimana keadaan seterusnya kerana jarak dari rumah mak cik ke sini (Segamat) agak jauh dan berharap pemberian BR1M akan datang dilakukan di Ledang sahaja,” katanya.
Menurutnya, sebelum ini dia pernah ke Bank Simpanan Nasional (BSN) untuk memohon kad pengeluaran wang automatik (ATM) namun tidak berjaya disebabkan faktor usianya yang sudah tua.
Sementara itu, Adun Buloh Kasap, Norshida Ibrahim berkata, beliau meminta penerima BR1M di Parlimen Segamat menggunakan duit bantuan berkenaan secara berhemah dan sebaik mungkin oleh penerima.
“Seramai 1,442 penerima BR1M di Parlimen Segamat telah menerima bantuan tersebut melibatkan jumlah pembayaran sebanyak RM467,750 untuk fasa pertama sahaja,” katanya.


