March, 2016
Anggota Rela didedah ilmu pengurusan jenazah
SEGAMAT – Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) daerah Segamat mahu setiap anggotanya mempelajari ilmu-ilmu baharu agar peranan mereka di dalam masyarakat dan komuniti setempat terus relevan.
Pegawai Rela Segamat, Penolong Pesuruhjaya Rela Mohd Arrashidy Amran, berkata, nilai tambah tersebut juga termasuk mempersiapkan diri semua anggota untuk berkhidmat kepada masyarakat termasuk pengurusan jenazah.
“Sebagai mata dan telinga kerajaan dalam aspek keselamatan, sosio ekonomi, pembangunan dan sebagainya, anggota-anggota Rela ini sepatutnya lebih berkemahiran dan perlu mempelbagaikan lagi fokus mereka.
“Jika sebelum ini ada anggota Rela yang dianggap sebagai pengawal lalu lintas ketika kenduri kahwin dan sebagainya, saya berharap selepas ini mereka menjadi di antara orang yang terawal menguruskan jenazah apabila berlakunya kematian,” katanya.
Beliau ditemui semasa Kursus Pengurusan Jenazah Siri 1/2016 anjuran Rela Segamat di Balai Islam Masjid Jannatul Firdaus, Kampung Jawa, di sini, baru-baru ini.

Anggota Rela diberi tunjuk ajar cara pengurusan jenazah yang betul.
Menurutnya, melalui pendekatan sedemikian, ia sebenarnya mampu membudayakan tuntutan pengurusan jenazah yang merupakan fardu kifayah serta wajib diketahui semua termasuk anggotanya selaras dengan tanggungjawab sebagai orang beragama Islam.
“Cara mengendalikan jenazah iaitu dari segi memandikan, mengapankan, sembahyang dan mengebumikan sangat penting untuk diajarkan kepada anggota Rela kerana pengurusan jenazah merupakan satu keperluan dalam masyarakat atau komuniti.
“Mungkin sebelum ini ada anggota yang terlibat secara langsung dalam pengurusan jenazah di komuniti mereka dan kursus ini melengkapkan lagi pengetahuan dan kemahiran mereka yang sedia ada,” katanya.
Menurutnya, beliau mahu anggota Rela di daerah ini mengaplikasikan kembali kemahiran yang dimiliki oleh mereka kepada masyarakat setempat sekaligus menepis persepsi negatif terhadap anggota Rela.
Pada masa sama, di daerah Segamat sahaja terdapat seramai 21,072 anggota Rela dan sebahagian besarnya bersiap sedia untuk digerakkan jika berlaku sebarang bencana mahu pun tugasan keselamatan seperti rondaan atau kawalan cegah jenayah.
Masalah kawasan tadahan air sementara akan diselesaikan
SEGAMAT – Masalah kawasan tadahan air sementara di Taman Perdana, Bukit Siput, di sini, yang tidak diselenggara sehingga dipenuhi semak samun dijangka akan dapat diselesaikan dalam masa terdekat.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Ayub Rahmat berkata, beliau telah mengarahkan supaya Jabatan Perairan dan Saliran (JPS) mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah tersebut.
“Sebenarnya pada minggu lalu, JPS telah mengeluarkan sebut harga pembersihan kawasan tersebut dan kawasan-kawasan lain dan apabila kontraktor telah dilantik, kawasan tadahan air sementara tersebut akan segera diselenggara.
“Sebelum ini kawasan tersebut telah dibersihkan oleh Majlis Daerah Segamat (MDS) dan saya ingin mengucapkan terima kasih kepada penduduk taman berkenaan yang tampil membuat aduan,” katanya.
Ayub yang juga Aduan Kemelah berkata, beliau juga berharap kontraktor penyelenggaran yang dilantik dapat menjalankan kerja-kerja pembersihan mengikut jadual bagi mengelakkan masalah yang sama berulang.

Abu menunjukkan kawasan tadahan air yang dipenuhi semak samun.
Terdahulu, Sinar Harian melaporkan bahawa penduduk di kawasan perumahan berkenaan meminta pihak bertanggungjawab supaya menyelenggara segera kawasan tadahan air sementara di kawasan perumahan mereka.
Kawasan tadahan air sementara tersebut yangg sudah sekian lama tidak diselenggara juga kini semakin dipenuhi semak samun sehingga mengundang pelbagai masalah kepada mereka selain menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes dan binatang berbisa yang lain.
PDRM disaran beri kursus jangka pendek kepada bakal pesara
SEGAMAT – Polis Diraja Malaysia (PDRM) disarankan supaya mengadakan pelbagai kursus jangka pendek untuk pegawai dan anggota yang akan bersara sebagaimana yang dilakukan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Ahli Parlimen Sekijang, Anuar Abdul Manap berkata, kursus jangka pendek atau kursus peralihan ini penting bagi kebaikan anggota selepas bersara kerana kembali sebagai orang awam setelah sekian lama berkhidmat mungkin bukan sesuatu perkara yang agak mudah.
“Untuk menyesuaikan diri dengan alam baharu itu pastinya agak sukar pada peringkat awal, apatah lagi jika pesara tersebut menceburi kerjaya yang cukup berbeza daripada bidang pekerjaan sebelum ini.
“Jadi, kursus jangka pendek penting kepada golongan tersebut sebelum menamatkan perkhidmatan bagi membolehkan mereka memperoleh kemahiran dan pengalaman untuk melangkah ke dunia awam,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya semasa merasmikan Mesyuarat Agung ke-27 Persatuan Polis Pencen Negeri Johor Cawangan Daerah Segamat di Dewan Serbaguna Perumahan Polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat, di sini.
Turut hadir ialah Ketua Polis Daerah Segamat, Supritendan Mohd Kamil Sukarmi; Ketua Masyarakat Kaum Cina Daerah Segamat, Tan Sri Dato Sri Tan Beng Tong dan Pengerusi Tetap Persatuan Polis Pencen Cawangan Daerah Segamat, Hamzah Hussin,

Anuar (dua,kiri) selepas merasmikan Mesyuarat Agung ke-27 Persatuan Polis Pencen Negeri Johor Cawangan Daerah Segamat
Menurutnya, PDRM juga boleh merangka beberapa kursus berkualiti dan bersesuaian dengan permintaan pasaran semasa sama ada sebagai seorang usahawan atau bekerja makan gaji disediakan untuk mereka.
“Tidak salah sekiranya kita mengambil modul agensi kerajaan yang lain asalkan matlamat atau objektifnya adalah untuk kebaikan bakal pesara selain tidak mengharapkan duit pencen bulanan mereka.
“Selain penekanan kepada ilmu kemahiran, ilmu menguruskan kewangan dengan baik juga perlu didedahkan kepada anggota yang bakal bersara kerana kos sara hidup kini semakin meningkat,” katanya.
Pada masa sama, Anuar meminta Persatuan Polis Pencen Negeri Johor melakukan kerjasama dengan penerbit buku agar pengalaman dan sejarah perjuangan mereka dapat dibaca dan dihayati oleh generasi muda yang akan datang.
Menurutnya, beliau turut mengharapkan lebih ramai pesara polis yang dapat menyertai persatuan tersebut agar kebajikan mereka tetap terbela walaupun selepas berpencen.
Sasar gas CO2 dikurangkan sehingga 45 peratus pada tahun 2025
SEGAMAT – Kerajaan negeri menyasarkan pelepasan gas karbon dioksida (CO2) dapat dikurangkan sebanyak 45 peratus menjelang tahun 2025 di negeri ini menerusi penubuhan Majlis Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim (MTHPI).
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Ayub Rahmat berkata, pelbagai usaha juga telah dilakukan oleh kerajaan negeri bagi memastikan sasaran tersebut dapat dicapai dalam masa sembilan tahun akan dating.
“Setakat ini, Felda Taib Andak di daerah Kulai telah dipilih menjadi perkampungan ‘low carbon society’ yang mengaplikasikan konsep 3R iaitu pengurangan (reduce), penggunaan semula (reuse) dan kitar semula (recycle).
“Kita juga telah menanam pelbagai jenis pokok di kawasan tersebut dan sekitar Wilayah Pembangunan Iskandar bagi memastikan pelepasan gas CO2 ini dapat diserap oleh pokok-pokok tersebut,” katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas merasmikan Majlis ‘’Anita Nation Ride’ Kami Prihatin bersama Kami Anak Felda (KAF) Kemelah di Dewan Serbaguna Felda Kemelah, di sini, baru-baru ini.

Ayub (tiga,kanan) menerima cenderahati daripada Dali (empat,kiri)
Turut hadir ialah Pengurus Besar Felda Wilayah Segamat, Razuwan Che Rose; Pengurus Felda Kemelah, Ishak Hassan; Pengerusi KAF Kemelah, Dali Jasmin dan penganjur, Anita Yusof.
Menurutnya, MTHPI ini yang dipengerusikan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin turut mempunyai empat jawatankuasa iaitu adaptasi, kejiranan hijau, industri dan pembangunan yang diketuai oleh barisan exco kerajaan negeri.
“Selain itu, MPTHI ini membolehkan aktiviti dan program yang menyokong pembangunan teknologi dan kejiranan hijau, perubahan iklim dan pembangunan bandar rendah karbon di seluruh Johor dapat diselaraskan.
“Penubuhan MTHPI ini seiring dengan tahap kesedaran masyarakat yang kian meningkat serta kepesatan pembangunan di negeri ini dan pada masa sama masalah penipisan ozon dapat dikawal,” katanya.
Menurutnya, kesemua jawatankuasa tersebut juga bertanggungjawab merangka strategi terbaik dan segala penyelarasan tindakan MTHPI diselaraskan oleh Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) dan Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA).
Pada masa sama, Ayub yang juga Adun Kemelah berkata, selekoh ‘S’ sepanjang 500 meter di persimpangan masuk ke Felda Kemelah, di sini, akan diluruskan selepas peruntukan sebanyak RM2.5 juta telah diluluskan oleh Kementerian Kerja Raya.
“Projek pelurusan jalan tersebut akan dimulakan pada tahun ini dan pihak Felda bersama pengurusan estet teribat juga telah bersetuju untuk melakukan pertukaran hak tanah bagi memastikan tiada pihak yang aka rugi,” katanya.
Wanita tunggal Segamat buka gimnasium
LABIS – Apabila bercerita mengenai bidang bina badan dan perniagaan gimnasium, pasti terlintas di dalam fikiran kita bahawa bidang tersebut terlalu sinonim dan dipelopori oleh kaum lelaki.
Tetapi, berbeza pula keadaannya bagi Pengurus Along Gym & Fitness, Zulaiqa Mohd Salleh, 23, yang memecahkan monopoli tersebut dengan memberanikan diri untuk memulakan perniagaan gimnasium sekaligus menjadi wanita tunggal di daerah ini yang mengusahakan perniagaan berkenaan.

Zulaiqa Mohd Salleh
Menurut anak kedua dari lima beradik itu, dia telah menceburi bidang perniagaan sejak lima tahun lalu bermula dengan modal permulaan sebanyak RM500 yang dipinjam daripada keluarganya untuk memulakan perniagaan biskut dan kuihnya.
“Titik mula di dalam bidang perniagaan ini bermula selepas saya kecewa kerana tidak dapat melanjutkan pelajaran di salah sebuah kolej swasta di Johor Baharu kerana masalah kesihatan dan kekecewaan tersebut meninggalkan kesan yang mendalam terhadap diri saya.
“Selepas kekecewaan tersebut, saya mula memberanikan diri untuk memulakan perniagaan biskut dan kuih di untuk dihantar ke kantin-kantin sekolah di daerah Segamat,” katanya kepada Komuniti Facebook Segamat.
Menurutnya, ketika itu semua kerja bermula dari proses membuat biskut hingga kepada urusan pemasaran dilakukan sendiri kerana tidak mampu mengupah pekerja sehingga pernah terlintas dalam fikirannya untuk mengundurkan diri.
Katanya, pada peringkat awalnya juga dia tidak mampu untuk menyewa tempat untuk menjalankan operasinya dan menjadikan rumah keluarganya di Perumahan Awam Labis, di sini, sebagai tempat untuk dia beroperasi.

Zulaiqa (tiga,kiri) melihat pelanggannya di Along Gym & Fitness menjalani latihan
“Selepas beberapa tahun, terlintas difikiran saya untuk mengembangkan perniagaan yang tidak melibatkan proses pembuatan, namun waktu itu perniagaan gimnasium tidak terlintas langsung difikiran saya sehinggalah dicadangkan oleh seorang adik lelaki saya secara berseloroh.
“Pada awalnya, saya tidak mengetahui selok belok tentang perniagaan tersebut dan mengambil masa beberapa bulan mencari maklumat dengan mengunjungi beberapa buah gimnasium yang terdapat di daerah Segamat, Muar dan Batu Pahat,” katanya.
Menurutnya, usaha dia untuk memulakan perniagaan tersebut tidak semudah yang disangka kerana perlu berdepan dengan pelbagai cabaran termasuk kekurangan modal untuk membeli peralatan yang mencecah ratusan ribu ringgit.
Bagaimanapun, isteri kepada Long Ibrahim Long Man, 24, mendapat bantuan kewangan daripada keluarga mertua dan keluarganya sendiri dan kesemua mereka sepakat mengumpul wang sebanyak RM50,000 bagi membantunya.
“Saya ingin buktikan kepada mereka yang di luar sana bahawa kaum wanita seperti saya juga boleh menceburi bidang ini. Apa yang penting, kita mesti berani dan berfikiran optimis apabila menceburi bidang yang baharu.
“Saya tidak akan meninggalkan perniagaan biskut yang telah saya usahakan walaupun impian saya selama ini telah hampir tercapai,” katanya.
Menurutnya, gimnasium miliknya terletak bersebelahan Bank Rakyat Labis dan dibuka setiap hari bermula jam 8.30 pagi sehingga 11.30 pagi bagi sesi pertama dan 4.30 petang sehingga 11 malam bagi sesi kedua.


