January, 2016
Budaya ‘Minum’ Kakitangan Kerajaan
Sebagai kakitangan awam kita harus membuang jauh-jauh sifat mementingkan diri dan amalan-amalan negatif yang mampu mencalarkan nilai integriti dan merendahkan keberkesanan perkhidmatan seperti merasuah, curi tulang, ponteng kerja, birokrasi, dan sebagainya.
Tidak ketinggalan amalan keluar minum yang nampaknya masih begitu kental menghantui diri kita sebagai kakitangan awam.
Sebagai pelanggan atau orang awam, mungkin ada dalam kalangan kita selalu merungut-rungut dan berasa meluat mendengar alasan ‘pegawai sedang minum’ apabila ingin menyelesaikan urusan penting dengan sesetengah jabatan kerajaan. Apatah lagi bila kita sedang dihambat masa dan sesuatu urusan itu hanya memerlukan tempoh yang singkat untuk diselesaikan.
Bertambah sakit hati lagi apabila datang berurusan pada waktu pagi, diminta oleh pegawai di kaunter untuk datang pada sebelah petang, dan apabila datang pada sebelah petang, diminta untuk datang pada keesokan harinya semata-mata kerana pegawai pergi minum.
Budaya keluar minum dalam kalangan kakitangan awam ini sememangnya masih galak berlaku. Cubalah jenguk restoran, warung dan kafetaria yang berhampiran dengan pejabat-pejabat kerajaan dalam hari-hari bekerja. Boleh dikatakan bahawa tempat-tempat makan ini memang tidak akan sunyi dengan pelanggan yang turun minum, rata-ratanya kakitangan awam.
Tidak menjadi keanehan juga jika kita bertemu dengan sebilangan kakitangan awam yang berkali-kali datang ke kedai makan hanya untuk minum sambil bergebang membuang masa!
Tiada salahnya untuk berehat seketika pada waktu bekerja. Daripada perspektif saintifik, diakui bahawa penggunaan domain-domain afektif (perasaan dan emosi), psiko motor (fizikal) dan kognitif (pemikiran) seseorang itu mempunyai had-hadnya. Ia perlu disegarkan semula dengan cara berehat seketika untuk mengelakkan unsur-unsur negatif berlaku seperti stres dan kelesuan.
Namun, yang silapnya apabila keperluan dan kelonggaran untuk berehat itu disalahgunakan seterusnya mengganggu kelancaran urusan pejabat terutamanya jika berurusan dengan pelanggan secara langsung.
Itu sebabnya apabila diajukan persoalan tentang fenomena waktu minum dalam kalangan kakitangan kerajaan ini, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal melahirkan rasa kurang senangnya dan mahukan mekanisme kawalan dan tindakan proaktif diambil oleh semua pihak.
Kakitangan awam perlu sentiasa tepat pada masanya dan mengutamakan pelanggan bukannya membuang masa dengan berbual-bual perkara tidak berfaedah di kedai makan sehingga boleh menimbulkan prasangka buruk daripada masyarakat.
Sesungguhnya, sebagai kakitangan awam, kita perlu mengingatkan diri kita bahawa tugas yang dipikul di bahu kita ini adalah suatu amanah yang diberikan oleh kerajaan dan rakyat.
Akan peri pentingnya sifat amanah ini disebutkan dengan jelas melalui Firman Allah SWT dalam Surah al-Anfaal, ayat 27, bermaksud: ‘Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan RasulNya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya).’
Diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Rasulullah SAW bersabda, ‘Ketahuilah! Tidak beriman bagi sesiapa yang tidak amanah.’ Bukan sekadar tidak beriman bahkan tergolong dalam golongan orang munafiklah adanya bagi orang yang tidak amanah.
Sabda Rasulullah SAW dalam satu hadis lain:
Ada tiga tanda munafik, apabila bercakap dia berbohong, apabila berjanji dia memungkiri dan apabila diberi amanah dia mengkhianati.
Mengkhianati amanah dengan menghabiskan banyak masa dengan minum atau membuat kerja tidak berfaedah bermaksud kita makan gaji buta. Bila makan gaji buta ia akan menyentuh pula persoalan apakah gaji yang diterima itu setimpal dengan kerja dan usaha yang dilaksanakan?
Bahkan perlu juga difikirkan adakah ianya halal untuk digunakan bagi menyara kehidupan diri, isteri dan anak-anak? Bila sumber haram menjadi tunjang menyara kehidupan, maka keberkatan hidup itu secara automatiknya ditarik oleh Allah SWT dan mengundang akan berlakunya gejala-gejala negatif dalam diri seseorang dan kelangsungan hidup keluarga yang disaranya.
Demi membendung budaya minum pagi yang mencacatkan kesempurnaan perkhidmatan jabatan kerajaan ini, semua pihak sebenarnya perlu melaksanakan perubahan. Pihak pengurusan dalam jabatan-jabatan kerajaan perlu mewujudkan dan mengaktifkan penggunaan pantri dalam pejabat.
Peralatan paling asas untuk memasak air, memanaskan makanan dan menyimpan makanan boleh disediakan seperti cerek, ketuhar gelombang mikro, peti sejuk dan sebagainya.
Dicadangkan juga agar ketua-ketua jabatan tegas mengatur waktu rehat dan minum para pekerjanya agar perjalanan perkhidmatan dan operasi pejabat tidak terganggu. Dengan cara ini, produktiviti dan kualiti perkhidmatan kakitangan awam akan tetap mantap sepanjang hari dan urusan pelanggan berjalan lancar kerana akan sentiasa ada pegawai atau kakitangan yang berada di kaunter atau di pejabat.
Jika ada kakitangan yang masih kerap keluar minum dan membuang masa kerjanya, maka menjadi peranan ketua jabatan dan rakan-rakan sekerja untuk menegur dan memperingati mereka agar mengubah sikap dan memberi fokus terhadap tugas.
Sebagaimana yang diamalkan oleh sebilangan organisasi, para pekerjanya menyumbangkan sedikit wang dan berkongsi membeli makanan dan minuman ringan untuk diletakkan di pantri. Ada juga dalam kalangan pekerja yang sama-sama membawa ‘pot-luck’ dari rumah masing-masing dan bertukar-tukar juadah makanan di pantri pejabat.
Langkah ini bukan sahaja menjimatkan masa untuk berjalan dan melepak di kafeteria, bahkan menjimatkan kantung poket daripada membelanjakan duit membeli air dan makanan di kafetaria. Begitu juga, silaturrahim sesama rakan sekerja dapat dieratkan.
Kesimpulannya, perubahan sikap dalam hal keluar minum ini perlu dimulakan dan seterusnya dikekalkan. Kita tidak mahu orang awam berterusan berpegang kepada stigma ‘pegawai kerajaan suka keluar minum’.
Jika kita benar-benar berpegang kepada konsep mencari pendapatan halal dan beramanah seperti mana yang digariskan syariat Islam, pasti kita akan berjaya mengubah sikap negatif sebegini. Barulah boleh kita nanti layak dipanggil sebagai kakitangan awam yang berintegriti, produktif dan memiliki minda kelas pertama.
Penulis ialah anak jati Gemereh, Segamat dan berkhidmat sebagai Pensyarah Kanan dalam Program Dakwah dan Pengurusan Islam, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
Harap adik untuk uruskan diri
SEGAMAT – Seorang lelaki yang tinggal seorang diri terpaksa mengharap bantuan adiknya yang juga seorang ibu tunggal untuk membantu menguruskan dirinya selepas tidak mampu berjalan akibat menghidapi pelbagai penyakit sejak dua tahun lalu.
Ahmad Saufi Haron, 44, yang tinggal di Kampung Tenang, di sini, berkata dia bukan sahaja tidak mampu berjalan, malah turut hilang daya penglihatan pada pertengahan tahun lalu berpunca saraf matanya rosak akibat penyakit diabetis kronik.
“Lebih malang lagi, selepas beberapa bulan hilang penglihatan, saya ditahan di Hospital Sultanah Fatimah (HPSF) Muar sebelum doktor mengesahkan kedua-dua buah pinggang saya pula rosak dan perlu menjalai rawatan hemodialisis dengan segera.
“Namun saya mengalami masalah untuk menyediakan wang bagi membuat tapak dialisis sebanyak hampir RM 2,000 kerana tidak mempunyai pendapatan dan hanya mengharap ihsan adik saya,” katanya.
Dia ditemui ketika menerima kunjungan Adun Tenang, Mohd Azahar Ibrahim di Hospital Daerah Segamat (HDS), di sini, semalam.
Menurutnya, dia yang belum berkahwin itu sebelum ini pernah bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah sekolah di Kuala Lumpur pada tahun 1990 sehingga 2008 sebelum pulang ke kampung halamannya disebabkan oleh masalah kesihatannya itu.
Sementara itu adiknya, Sahila, 43, berkata, dia buntu memikirkan nasib abangnya kerana dia sendiri terpaksa meninggalkan abangnya bersendirian di rumah peninggalan arwah bapa mereka untuk keluar bekerja bagi menyara tiga anaknya yang masih bersekolah.
“Saya tinggal bersebelahan dengan rumahnya dan hanya mampu memperuntukkan masa beberapa jam sehari untuk menjaganya kerana bekerja sebagai Pembantu Pemaju Masyarakat Sukarela (PPMS) pada sebelah pagi dan membantu rakan berniaga di pasar malam pada waktu petang..
“Saya pernah bercadang untuk mengeluarkan wang caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Sosial dan Kebajikan Pekerja (Perkeso) abang saya untuk menampung kos perubatannya namun, tidak tahu caranya,” katanya.
Menurutnya, ketika ini dia amat berharap masalah abangnya itu mendapat perhatian dan bantuan daripada mana-mana pihak untuk menampung kos membuat tapak bagi membolehkannya menjalani rawatan hemodialisis secepat mungkin.

Ahmad Saufi (kiri) ketika menerima kunjungan Mohd Azahar (tengah) dan isteri di HDS
Sementara itu, Adun Tenang, Mohd Azahar Ibrahim berkata, beliau akan menyalurkan masalah yang dihadapi oleh Ahmad Saufi kepada pihak berkaitan seperti Jabatan Kebajikan Masayrakat (JKM) dan baitumal dalam masa terdekat bagi membantunya.
“Sekiranya dia dibiarkan sendirian di rumahnya, kita bimbang penyakitnya itu akan semakin melarat kerana saya dimaklumkan bahagian belakang badannya sudah berlubang akibat terlantar terlalu lama sebelum ini,” katanya.
Pengusaha ubat Cina rugi RM8,000
SEGAMAT – Seorang pengusaha kedai menjual ubat-ubatan tradisional Cina di Jalan Ibrahim, di sini, mengalami kerugian kira-kira RM8,000 selepas sebuah bekas kaca mengandungi gamat laut dicuri.
Pemilik kedai yang ingin dikenali sebagai Ah Soon, 45, berkata, dia hanya menyedari kejadian tersebut pada 21 Januari yang lalu kira-kira pukul 12.15 tengahari apabila ada pelanggannya yang mahu membeli gamat laut.
“Saya kemudian pergi ke rak yang menyimpan gamat laut tersebut dan terkejut apabila mendapati bekas kaca yang masih dipenuhi dengan gamat laut telah tiada sedangkan tiada pelanggan yang datang membeli.
“Saya kemudian memeriksa rakaman kamera litar tetutup (CCTV) yang dipasang di kedai dan tekejut apabila melihat seorang lelaki dan perempuan dalam keadaan mencurigakan sedang berada di rak berkenaan,” katanya.
Menurutnya, rakaman CCTV selama satu minit dan tujuh saat itu pada 20 Januari itu juga jelas menunjukkan pasangan tersebut mengambil bekas kaca di kedainya yang berisi gamat laut sebelum meninggalkan kedai.
Katanya, pada hari kejadian, suspek lelaki berkenaan hanya berlegar-legar di ruang dalam kedai sebelum berhenti di rak yang menempatkan gamat laut sebelum salah seorang perempuan bertudung datang menghampiri.
“Apa yang memeranjatkan saya, wanita tersebut membawa lari bekas gamat laut dengan meletakkan di celah kelengkangnya tanpa disedari oleh sesiapa sama ada oleh saya dan pekerja saya yang lain.
Rakaman CCTV jelas menunjukkan dua suspek melarikan bekas gamat laut
“Saya telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat sejurus selepas kejadian dan turut menyerahkan rakaman CCTV kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Segamat, Supritendan Mohd Kamil Sukarmi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian tersebut dan usaha mengesan kedua-dua suspek juga sedang giat dilakukan.
Lantik sub kontraktor yang layak sahaja
SEGAMAT – Kementerian Kesihatan menasihatkan supaya lima syarikat konsesi Perkhidmatan Sokongan Hospital (PSH) di negara ini supaya melantik sub kontraktor yang terbaik dan berkelayakan sahaja untuk mekakukan kerja.

Chaw Min (tiga,kanan) mendengar penerangan daripada Dr Aman (dua,kiri) di Hospital Daerah Segamat
Ketua Setiausahanya (KSU), Datuk Dr Chew Chaw Min berkata, ini bagi mengelakkan perkhidmatan di 143 hospital kerajaan di seluruh negara tidak terjejas seperti masalah pendingin hawa yang berlaku di Hospital Daerah Segamat (HDS), baru-baru ini.
“Pihak kementerian sudah melakukan perjumpaan bersama lima Ketua Pegawai Operasi (COO) PSH ini bagi membincangkan mengenai masalah ini selain memastikan mereka melakukan skop kerja mengikut kontrak yang telah ditetapkan.
“Ada kemungkinan sub kontraktor yang dilantik tidak cekap atau kurang pengetahuan dan syarikat konsesi mesti mencari yang terbaik dan juga mungkin ada kelemahan di pihak konsesi yang perlu diperbaiki seperti meletakkan beberapa kakitangan mereka di hospital,” katanya.
Beliau berkata kepada pemberita semasa lawatan kerjanya ke Hospital Daerah Segamat (HDS), di sini.
Turut hadir ialah Pengerusi Jawatannkuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Ayub Rahmat, Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Dr Fatimah Othman dan Pengarah HDS, Dr Aman Rabu.
Menurutnya, lima syarikat konsesi PSH itu ialah Faber Medi-Serve Sdn Bhd di Zon Utara, Radicare (M) Sdn Bhd Zon Tengah dan Timur, Medivest Sdn Bhd Zon Selatan, One Medicare Sdn Bhd bagi Sarawak dan Sedafiat Sdn Bhd di Sabah.
“Tambahan pula, kelima-lima syarikat konsesi ini telah 15 tahun berkhidmat dan kontrak mereka juga baharu sahaja diperbaharui untuk 10 tahun lagi pada 1 April tahun lalu dan kami mengharapkan perkhidmatan mereka dapat ditingkatkan lagi.
“Sekiranya masalah seperti ini berulang, tindakan lebih tegas akan diambil terhadap syarikat yang melanggar kontrak dan sepanjang tahun lalu, sebanyak RM15 juta denda dan penalti telah dikeluarkan kepada lima syarikat konsesi tersebut,” katanya.
Menurutnya, sebelum ini juga terdapat masalah-masalah seperti ini berlaku, namun tidak diviralkan dan pihak kementerian kini juga sedang dalam peringkat berfasa untuk menggangtikan penghawa dingin terutamanya di hospital yang berusia 20 tahun ke atas.
Johor negeri pertama miliki JDMRV
LABIS – Johor menjadi negeri pertama memperolehi sebuah trak pacuan empat roda seberat tiga tan bagi tujuan operasi menyelamat mangsa bencana (JDMRV) bukan sahaja di negeri ini malah di mana-mana lokasi bencana di negara ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Ayub Rahmat berkata, JDMRV ini akan digerakkan dalam masa yang singkat dan merupakan ilham daripada Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ).
“JDMRV mempunyai kelebihan mengharungi banjir sedalam empat hingga lima kaki dan merentas permukaan tanah tidak rata yang sukar dilalui oleh lain-lain kenderaan pacuan empat roda yang bersaiz kecil.
“Trak ini juga boleh membawa seramai 12 petugas kecemasan yang diketuai oleh seorang Pakar Perubatan Kecemasan dan Trauma serta berupaya mengangkut pelbagai peralatan bantuan kecemasan seperti ubat-ubatan dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata kepada pemberita semasa siding media selepas merasmikan Latihan Pengoperasian ‘Johor Disaster Medical Response Vehicle’ (JDMRV) dan Khidmat Masyarakat di Balai Raya Kampung Orang Asli Kudung, di sini, semalam.

Ayub (tengah) bersama kakitangan Kementerian Kesihatan di hadapan JDMRV.
Turut hadir ialah Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan, Datuk Dr Chen Chaw Min; Pengarah JKNJ, Datuk Dr Mohd Khairi Yaakob dan Pegawai Kesihatan Daerah Segamat, Dr Mokhtar Ahmad.
Menurutnya, JDMRV ini juga diletakkan di bawah pengendalian Jabatan Kecemasan, Hospital Sultan Ismail (HIS), Johor Bahru dan akan diiringi oleh dua buah kenderaan pelbagai guna (SUV) dengan enam petugas kesihatan dari Pejabat Kesihatan Daerah Johor Bahru.
“Pengaktifan JDMRV ini akan memperlihatkan gabungan respon kecemasan para petugas dari hospital dan pejabat kesihatan secara bersama dan pasukan ini boleh menstabilkan pesakit selama dua hari sementara menunggu bantuan datang.
“Selain itu, pasukan ini juga boleh membuat pembedahan minor seperti bersalin, luka-luka yang tidak kritikal, keadaaan takut dan trauma selain dilengkapi mesin defibrillator untuk pesakit jantung,” katanya.
Menurutnya, bagi meningkatkan tahap kesiapsiagaan pasukan dan kemahiran pemanduan JMRV ini, satu latihan pengoperasian juga akan di adakan di Bekok selama tiga hari bermula di Kampung Orang Asli Kudung dan berakhir di Taman Negara Endau-Rompin- Selai.
Katanya, latihan tersebut juga akan diadili oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan wakil daripada Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (Mercy).
“Mereka ini akan mengadili latihan JDMRV ini sama ada sesuai atau sebaliknya untuk digunakan ketika bencana dan turut diuji dengan pelbagai senario luar jangka dengan sokongan komunikasi radio amatur.
“Kita mengharapkan kenderaan ini mampu beroperasi dengan sebaiknya di kawasan bencana dan berharap penambahan asset-aset yang sesuai bagi membantu memperkukuhkan lagi pasukan JDMRV ini,” katanya.


