Menu Utama

December, 2015

 

Perlawanan amal untuk Yussalman Jumaat ini

SEGAMAT – Satu perlawanan amal persahabatan bola sepak akan diadakan pada Jumaat ini bagi mengutip dana untuk membantu bekas pemain Johor, Yussalman Jusoh, 36, yang kini lumpuh.

Bekas pemain Johor, Azmil Azali berkata, perlawanan tersebut yang akan diadakan di Padang Batu Hampar, di sini, akan menemukan bekas-bekas pemain Johor pada tahun 1992 hingga 1997 bertemu pilihan veteran Segamat.

“Selepas mengetahui kisah Yussalman baru-baru ini, kami (bekas-bekas pemain Johor) merancang dan bekerjasama dengan Persatuan Bola Sepak Daerah Segamat (PBDS) untuk menganjurkan perlawanan amal ini.

“Kutipan yang akan diperolehi pada perlawanan tersebut akan diserahkan sepenuhnya kepada Yussalman bagi membantu meringankan beban dia dan keluarganya selain membantu kos perubatan yang terpaksa ditanggungnya,” katanya kepada Komuniti Facebook Segamat, semalam.

Menurutnya, di antara bekas pemain Johor yang akan menyertai perlawanan tersebut selain dirinya ialah Shaharudin Yusof, Bakhtiar Othman, Suthesh Nair, Yusrizam Yusof, Idris Karim, Tan Oei Seng, Eddy Rahim, Rezal Zambery Yahya dan ramai lagi.

Katanya, pihak Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) dan Johor Souther Tiger (JST) juga dijangka akan hadir pada perlawanan amal tersebut dan akan menjadikan perlawanan amal ini sebagai satu siri jelajah bagi membantu bekas pemain seperti Yussalman.

Sementara itu, Yussalman berkata, dia yang telah dimaklumkan mengenai perlawanan amal tersebut terharu kerana bekas rakan sepasukannya masih lagi mengambilberat tentang keadaan dirinya.

“Walaupun saya masih belum jelas dengan perkara ini, namun andai ianya menjadi kenyataan, saya amat berterima kasih kepada semua yang terlibat terutama bekas pemain yang sudi membantu,” katanya.


Bekas pemain Johor kini terlantar lumpuh

SEGAMAT – Bekas pemain bola sepak yang pernah mewakili Johor dalam saingan Liga Malaysia dan Piala Malaysia pada tahun 2000 kini terlantar akibat lumpuh daripada paras bahu ke bawah selepas terlibat dalam kemalangan pada tahun 2011.

Bekas pemain pertahanan Johor, Mohd Yussalman Jusoh, 36, berkata, dalam kejadian 29 September 2011 kira-kira pukul 11 malam itu, motosikal yang ditungganginya dirempuh sebuah kenderaan sebelum melarikan diri di Bandar Baru Uda, Johor Bahru.

“Ketika kejadian saya dalam perjalanan pulang ke rumah saya selepas pulang bekerja di sebuah pasaraya dan hanya dijumpai oleh anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) di dalam longkang dengan tidak sedarkan diri pada keesokan paginya.

“Saya kemudian terus dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru (HSAJB) dan koma selama 14 hari sebelum disahkan oleh doktor bahawa saraf tunjang saya telah rosak selain pundi kencing pecah,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, dia kemudian terpaksa ditahan di dalam wad selama 44 hari sebelum dibawa pulang oleh isterinya, Norliana Razali, 32, ke kampung mertuanya di Felda Palong Timur 1, di sini.

Tambah menyedihkan, Norliana ketika itu sedang sarat mengandung anak bongsu mereka, Mohd Zidane Mikail, 5, selain terpaksa mengharapkan ihsan ibu bapa mertuanya iaitu Razali Daud, 57 dan Zarina Hassan, 52, untuk menjaga dua lagi anak mereka.

“Saya kini tidak boleh bekerja dan haya mengharapkan bantuan bulanan sebanyak RM700 daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial Malaysia (Perkeso) selain RM300 daripada Baitulmal dan penjaga saya pula menerima RM300 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Saya juga perlu menjalani rawatan susulan setiap dua minggu sekali di Hospital Daerah Segamat (HDS) serta sebulan sekali di Pusat Rehabilitasi Perkeso di Melaka dan mujur isteri saya boleh memandu kereta,” katanya.

Menurutnya, sejak kemalangan tersebut juga, dia turut terputus hubungan dengan rakan-rakan sepasukan lain seperti Otman Katmon, Rizal Zamri Yahya dan Sani Fahmi selain pernah menangis hampir setengah tahun mengenangkan nasib dirinya itu.

Katanya, dia juga menyimpan hasrat untuk bertemu secara dekat dengan ketua pasukan Johor Darul Takzim (JDT), Mohd Safiq Rahim yang disifatkannya bukan hanya sebagai pemain yang licik, malah sebagai individu yang memiliki kepimpinan tinggi ketika di padang.

“Walaupun saya terpaksa meminta bantuan isteri untuk menguruskan diri, saya sentiasa mengikuti perkembangan pasukan JDT malah tidak pernah terlepas menyaksikan siaran langsung yang melibatkan perlawanan JDT di televisyen.

“Saya juga merindui saat-saat ketika bermain bola sepak di padang dan kali terakhir saya mewakili Johor pada tahun 2000 dengan memakai jersi nombor 25 di bawah kendalian jurulatih, Wan Jamak Wan Hassan ketika itu,” katanya.

Menurutnya, sebelum ini, dia juga pernah mewakili Johor ketika Piala Menteri Besar pada tahun 1995, Piala Razak (1996-1997), Piala Presiden (1998-1999), Piala Presiden Johor (2000) dan mewakili Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Pasir Gudang (2001).

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan bagi meringankan beban yang ditanggung oleh Yussalman boleh berbuat demikian melalui akauñ Maybank bernombor 151306742493 miliknya atau menghubunginya melalui talian 012- 7674047.


Kutipan Amal bekas Pemain Bola Sepak Johor

Bekas-bekas pemain Johor tahun 1992 sehingga 1997 melalui kerjasama Persatuan Bola Sepak Daerah Segamat akan menganjurkan perlawanan persahabatan Legend Johor 92-97 menentang Veteran Segamat pada hari Jumaat, 1 Januari 2016 mulai jam 4.45 petang bertempat di Padang Batu Hampar, Segamat.

Perlawanan persahabatan ini diadakan sempena kutipan amal (charity) bagi membantu bekas pemain Johor iaitu Yussalman Jusoh yang kini terlantar sakit di rumahnya di Felda Palong Timur  1.

Kerjaya pemain itu berakhir selepas terbabit dalam kemalangan motosikal di Bandar Baru Uda, Johor Bahru pada 29 September 2011. Akibat kejadian itu, Mohd Yussalman koma selama 11 hari di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru sebelum disahkan hilang upaya dan pundi kencingnya pecah.

Perlawanan Persahabatan Charity Bekas Pemain Johor

Menurut Setiausaha Persatuan Bola Sepak Daerah Segamat, antara pemain-pemain yang dijangka akan beraksi ialah Azmil Azali, Shaharudin Yusof, Bakhtiar Othman, Suthesh Nair, Yusrizam Yusof, Idris Karim, Hasnizam Uzir, Allangovan, Tan Oei Seng, Eddy Helmy, Rezal Zambery Yahya dan ramai lagi.

Orang ramai dijemput hadir untuk menyaksikan perlawanan persabahatan ini.


Segamat Rangkul 2 Anugerah

SEGAMAT – Sempena Sambutan Hari Orang Kurang Upaya Peringkat Negeri Johor bagi Tahun 2015 yang telah diadakan di Dewan Raya Bandar Putra, Kulai baru-baru ini, daerah Segamat telah berjaya merangkul dua anugerah iaitu Anugerah Khas Ibu Bapa Mithali dan  Anugerah Pelatih PDK Lelaki Terbaik.

Azizul Ibrahim, Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Segamat berkata anugerah ini menampilkan penerima yang layak dijadikan tauladan oleh masyarakat khususnya di Segamat.

“Pengorbanan serta semangat ibu bapa membesarkan anak kurang upaya perlu dijadikan iktibar kepada yang lain, selain daripada itu setiap manusia mempunyai kelebihan istimewa yang dikurniakan Ilahi antara satu sama lain.

“Walaupun kurang dari sudut upaya, bakat istimewa lain yang ada menjadikan seseorang OKU itu luar biasa di mata masyarakat, “katanya lagi mengakhiri perbualan melalui fanpage Komuniti Facebook Segamat.

Anugerah Khas Ibu Bapa Mithali telah dimenangi oleh En. Nasurudin bin Harun dari Kg. Batu Hampar, Segamat. Terdahulu, beliau juga merupakan penerima Anugerah Ibu Bapa Mithali sempena Sambutan Hari OKU Peringkat Kebangsaan yang diadakan di PWTC sebelum ini.

Mohd Azmeer bin Ithnin (kiri) dari Felda Pemanis 1 memenangi Anugerah Pelatih PDK Lelaki Terbaik

Mohd Azmeer bin Ithnin (kiri) dari Felda Pemanis 1 memenangi Anugerah Pelatih PDK Lelaki Terbaik

Manakala, adik Mohd Azmeer bin Ithnin dari Felda Pemanis 1 memenangi Anugerah Pelatih PDK Lelaki Terbaik. Beliau yang mempunyai bakat dalam melukis merupakan pelatih Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Nur Kasih Pemanis.