Menu Utama

October, 2015

 

Kampung Tenang simpan banyak sejarah

LABIS – Setiap kampung di daerah Segamat mempunyai pelbagai cerita menarik sama ada cerita benar mahupun yang berunsur mitos dan salah satu kampung yang mempunyai sejarah  tersendiri ialah Kampung Tenang.

Kampung Tenang yang terletak kira-kira 15 kilometer dari Pekan Labis merupakan sebuah kampung tradisional yang masih mengekalkan kawasan penempatan secara warisian oleh masyarakat Melayu dan mempunyai ciri-ciri Melayu dalam seni binanya.

Ketua Kampungnya, Mohd Pu’ad Ahmad, 57, berkata, berdasarkan penulisan sejarah dan cerita orang terdahulu, Kampung Tenang ini telah dibuka pada hari Rabu 22 Ramadan 1221 Hijrah bersamaan 3 Disember 1806.

Mohd Pu'ad Ahmad

Mohd Pu’ad Ahmad

Menurutnya, individu yang bertanggungjawab membuka kampung ini ialah Kamarul Arifin Bin Alaudin Bin Bahauddin atau dikenali sebagai ‘Tok Tenang’ atau ‘Tok Maarib’, seorang pengembara dan pengembang ajaran Islam dari Pagar Ruyung, Minangkabau, Indonesia.

“Banyak versi mengenai cerita kedatangan Tok Tenang ke sini (Kampung Tenang) dan salah satunya Almarhum bersama pengikutnya dikatakan datang ke sini dengan memudik Sungai Tenang dari Muar melalui Segamat.

“Semasa beliau berehat dan berteduh di bawah sebatang pokok , gugur tiga helai daun iaitu satu daun gugur terlangkup manakala dua lagi daun gugur terbuka dan ini memberikan tanda yang amat bermakna kepada Tok Tenang,” katanya kepada Komuniti Facebook Segamat.

Ubah kawasan hutan kepada penempatan penduduk

Menurutnya, mengikut firasat Tok Tenang juga, kawasan yang dijadikan tempat berehatnya itu sesuai dijadikan pusat penyebaran ilmu agama, pertanian dan penternakan kerana kaya dengan alam semulajadi dan flora serta faunanya.

Katanya, sebelum kampung ini dibuka, kawasan ini asalnya merupakan hutan rimba yang luas dan didiami oleh Orang Asli yang mencari rezeki dengan memungut hasil-hasil hutan di sekitarnya.

“Justeru, dapatlah dikatakan bahawa terdapat dua kawasan di mana di sebelah mudik sungai ialah tempat bercucuk tanam dan mencari rezeki manakala sebelah hilir pula ialah tempat tinggal mereka.

“Kedatangan Tok Tenang dan beberapa orang pengikutnya membawa binatang seperti kerbau dan kambing berjaya mengubah keadaan tempat ini dan mereka juga telah menebas hutan untuk bercucuk tanam dan menetap di kampung ini,” katanya.

Mohd Pu'ad menunjukkan Makam Tok Tenang yang terdapat di Kampung Tenang

Mohd Pu’ad menunjukkan Makam Tok Tenang yang terdapat di Kampung Tenang

Menurutnya, Tok Tenang juga telah membina sebuah masjid dan pusat pengajian ilmu agama (pondok) untuk penduduk di sekitar kawasan tersebut dan masjid yang dibina amat unik dengan menggunakan putih telur sebagai simen. Masjid tersebut kemudian telah dibesarkan dan dinamakan sebagai ‘Masjid Darul Iman’.

Katanya, sejak itu, Kampung Tenang mula membangun dan ditadbir mengikut sistem hierarki dan pelan tersendiri dengan Tok Tenang bertindak sebagai ketua pentadbir dan ketua agama. Tok Tenang dikatakan meninggal dunia pada usianya 117 tahun.

“Dahulu, ekonomi utama penduduk pada waktu tersebut termasuk bersawah padi dan mengusahakan tanaman-tanaman lain serta buah-buahan. Sawah padi ketika itu sangat subur dan penduduk turut membuat empeng ketika musim menuai.

“Aktiviti sawah padi pula berakhir pada tahun 1960-an dan telah diubah kepada tanaman lain seperti kelapa sawit, pokok buah-buahan selain didirikan rumah oleh penduduk kampung,” katanya.

Kampung Tenang masih dikelilingi keindahan alam semulajadi

Sementara itu, Setiausaha Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) Kampung Tenang, Khairul Nizam Abdul Manap, 36, berkata, sehingga kini, jumlah penduduk kampung tersebut adalah seramai 1,019 orang dengan 284 keluarga.

Khairul Nizam Ab Manap

Khairul Nizam Ab Manap

Menurutnya, Kampung Tenang ini merupakan kampung induk dan mempunyai sembilan kampung rangkaian termasuk beberapa perkampungan Orang Asli dan setiap kawasan mempunyai tarikannya yang tersendiri serta unik.

Katanya, Kampung Tenang juga dilihat masih kaya dengan keindahan alam semulajadi kerana terletak berhampiran sempadan Hutan Simpan Labis dan mempunyai Hutan Lipur Taka Melur sebagai tarikan utamanya.

“Sebelum ini, hutan lipur ini terbiar selama lapan tahun dan tidak dikunjungi oleh pengunjung akibat jambatannya runtuh semasa banjir besar melanda negeri ini pada tahun 2006 dan selepas itu kehadiran pengunjung ke kawasan tersebut berkurangan dan tiada langsung.

“Bagaimanapun, kawasan tersebut bakal kembali seperti sediakala apabila jambatan baharu telah siap dibina beberapa bulan lalu dan berharapkerja-kerja memulihara kawasan tersebut akan menarik lebih ramai pengunjung datang ke kawasan ini selepas ini,” katanya.

Katanya,kawasan tersebut yang dikelilingi oleh hutan simpan bukan sahaja sesuai untuk melakukan aktiviti riadah nersama keluarga, sebaliknya sebagai tempat kepada golongan remaja untuk mengenali dengan lebih dekat keindahan serta khazanah alam semulajadi negara ini.

Menurutnya, dia yakin Hutan Lipur Taka Melur ini akan menerima jumlah pengunjung yang lebih ramai selepas infrastruktur yang sedia ada dibaik pulih dan pada masa sama mempopurlkan lagi Kampung Tenang ini.

Hutan Lipur Taka Melur yang sering dikunjungi pengunjung.

Hutan Lipur Taka Melur yang sering dikunjungi pengunjung.


Layar gergasi final AFC meriahkan Karnival Segamat Sehati Sejiwa

Karnival Segamat Sehati Sejiwa, 29 Oktober 2015 sehingga 11 November 2015

Tayangan layar gergasi sempena perlawanan akhir Piala AFC di antara JDT dan Istiklol FC Sabtu ini dijangka dapat memeriahkan lagi Karnival Segamat Sehati Sejiwa yang dijadualkan berlangsung bermula pada hari ini, 29 Oktober 2015 sehingga Rabu depan 11 November 2015.

Pelbagai aktiviti menarik yang telah diaturkan oleh pihak penganjur sepanjang Karnival Sega
mat Sehati Sejiwa ini berlangsung antaranya jualan ekslusif barangan penyokong bola sepak JDT (B.O.S.) pada 29 Oktober sehingga 31 Oktober 2015.

“Pada malam ini dijangka kumpulan Qasidah akan membuat persembahan permulaan, manakala pada malam berikutnya persembahan live band daripada artis tempatan,” kata Yaakob Ikhsan daripada Citra Medini, penganjur karnival.

Karnival Segamat Sehati Sejiwa

Karnival Segamat Sehati Sejiwa

“Sanggar Budaya Seri Pengkalan, Juara Festival Zapin Kebangsaan dan Nusantara 3 tahun berturut-turut dijangka akan membuat persembahan khas pada pada 10 November 2015 selain daripada tokoh agama dan artis tempatan seperti Ustaz Yusri (Al Hijrah) bersama Ijam Medicine, Zaleha Hamid, Aris Ariwatan, Yaabang Khalifah dan ramai lagi mengikut jadual yang telah ditetapkan.”

“Kami juga akan mengadakan Pertandingan Mencari Seniman Segamat yang akan diadakan sepanjang karnival ini berlangsung dan borang penyertaan boleh dapatkannya di meja urusetia,” katanya lagi.

Tentatif Karnival Segamat Sehati SejiwaJualan Merchandise B.O.S. di Dataran Segamat

29 Oktober 2015
Persembahan Qasidah

30 Oktober 2015

Persembahan Live Band

31 Oktober 2015
Match Party Bersama Segamat Fan Club dan Johor Southern Tiger
Tayangan Perlawanan Akhir Piala AFC

Tayangan perlawanan akhir Piala AFC antara JDT dan Istiklol FC pada 31 Oktober ini.

Tayangan perlawanan akhir Piala AFC antara JDT dan Istiklol FC pada 31 Oktober ini.

1 November 2015
Persembahan Artis Zaleha Hamid

2 November 2015
Persembahan Kebudayaan Joohor
Juara Festival Zapin

3 November 2015
Persembahan Live Band

4 November 2015
Saringan 1 Mencari Seniman

5 November 2015
Ceramah Perdana
Ustaz Yusri Al Hijrah bersama Ijam Medicine

6 November 2015
Saringan 2 Mencari Seiman

7 November 2015
Persembahan artis jemputan Aris Ariwatan

8 November 2015
Mencari Seniman Peringkat Akhir

9 November 2015
Persembagan Live Band

10 November 2015
Persembahan Khas
Sanggar Budaya Seri Pengkalan
Juara Festival Zapin Kebangsaan dan Nusantara 3 tahun berturut-turut

11 November 2015
Persembahan artis jemputan Yaabang Khalifah


Helikopter ditembak, rakan maut terpijak jerangkap samar di depan mata

SEGAMAT – Pengalaman helikopter Nuri ditembak pasukan komunis di hutan semasa melaksanakan Ops Gubir sehingga mengakibatkan kecederaan kepada tiga anggota komando yang berada di dalam helikopter tersebut mungkin tidak akan dapat dilupakan oleh Emran Karno, 64, sepanjang perkhidmatannya sebagai anggota keselamatan negara.

Ketika itu dia bersama lima lagi anggota Y Skuadron Rejimen Gerak Khas (RGK) sedang dalam perjalanan ke tapak lokasi pendaratan untuk melakukan pembersihan iaitu menghapuskan ancaman aktif daripada pengganas yang boleh mendatangkan ancaman kepada anggota yang bakal turun daripada helikopter.

“Kami seramai lima orang di dalam pesawat tersebut dikehendaki menyediakan ‘landing point’ untuk pesawat yang membawa anggota Askar Melayu. Selain itu, kami turut memastikan ‘landing point’ tersebut selamat daripada ancaman pengganas dan laluan yang bakal dilalui nanti bersih daripada jerangkap samar.

“Sampai sekarang, saya masih lagi ingat detik pesawat tersebut ditembak bertalu-talu oleh pengganas komunis berhampiran kawasan pendaratan dan juruterbang yang menyedari bahawa pesawat kami ditembak kemudian sempat berpatah balik ke Kem Gubir. Mungkin rezeki kami, setibanya di kem, minyak helikopter habis kerana tangki minyak sudah ditembak,” katanya kepada Komuniti Facebook Segamat.

Emran sewaktu mengikuti latihan di laut

Emran sewaktu mengikuti latihan di laut

Walau bagaimanapun, dia bernasib baik kerana tidak terkena sebarang tembakan manakala tiga lagi rakannya yang turut sama berada dalam pesawat tersebut mendapat kecederaan. Tiga orang rakannya iaitu Truper Sahak mendapat kecederaan di jari, Truper Awang Ibrahim ditembak di peha manakala Sarjan Kassim mengalami kecederaan di bahagian punggungnya.

Tambah memeranjatkan, hasil pemeriksaan mendapati bahawa pesawat tersebut ditembak sebanyak 45 das dan mujur tiada sebarang kemalangan jiwa akibat kejadian tersebut.

Penglibatan awal dalam tentera

Menceritakan pada awal pembabitannya dalam bidang ketenteraan, Emran memulakan tugas seawal usia 23 tahun. Pada tahun 1972, beliau menghadiri temu duga di Gemencheh, Negeri Sembilan dan akhirnya diterima memulakan latihan selama enam bulan di Port Dickson.

Selepas tamat latihan, Emran terus diserapkan ke Batalion 13 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) di Seremban dan pada tahun 1973 dia dipindahkan ke Serian, Sarawak.

Emran (kanan) menerima hadiah perpisahan daripada Pegawai Pemerintah 21 Komando, Leftenan Kolonel Omar Datuk Ismail

Emran (kanan) menerima hadiah perpisahan daripada Pegawai Pemerintah 21 Komando, Leftenan Kolonel Omar Datuk Ismail

Setelah cukup perkhidmatan dua tahun setengah, Emran membuat keputusan untuk menyertai unit elit Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan mengambil kursus asas komando di Kem
Sungai Udang, Melaka pada tahun 1974.

“Ketika itu untuk menyertai komando, kita perlu berada di dalam perkhidmatan sekurang-kurangnya dua tahun setengah dan baru boleh mengambil kursus asas komando. Pada waktu itu, dengan azam, minat dan semangat membara saya mengambil keputusan untuk mengambil kursus tersebut.

“Setelah dilanyak dari segi mental dan fizikal selama tiga bulan dengan latihan khusus, barulah saya layak ditaulihakan sebagai anggotakomando sebelum disarungkan beret hijau yang menjadi kebanggan dalam ATM,” katanya yang turut dianugerahkan pelatih muda terbaik asas komando.

Setelah berada di unit komando, Emran telah menyertai pelbagai operasi khusus dan sulit seperti Ops Rangkum, Ops Gonzales, Ops Gubir dan pelbagai lagi yang menguji ketangkasan dan kemahirannya sebagai anggota komando.

Sehari selepas kejadian helikopter yang dinaiki Eman ditembak pengganas semasa Ops Gubir, Emran dan pasukannya telah diarahkan untuk masuk ke kawasan tersebut melalui jalan darat pula dan Pegawai Pemerintah ketika itu ialah Leftenan Kolonel Hasbullah Mohd Yusof.

“Waktu inilah yang tidak akan saya lupa apabila Seksyen Komander saya, Sarjan Jingat yang berasal daripada Sarawak telah terpijak jerangkap samar yang dipasang musuh di kawasan hutan dan mengakibatkan kaki kanannya putus. Tetapi dia tidak mati.

“Selain itu, semasa operasi memburu saki baki komunis di Bukit Kayu Hitam pada tahun 1985 semasa saya di dalam Z Skuadron, kami pernah bertempur dengan musuh sehingga menyebabkn salah seorang anggota komando iaitu Truper Osman meninggal dunia terpijak jerangkap samar di depan mata saya,” katanya.

Aktif dalam kejohanan menembak

Semasa dalam perkhidmatannya, Emran telah menggunakan kepakaran menembaknya untuk menyertai kejohanan-kejohanan menembak yang dianjurkan oleh ATM dan pasukan-pasukan keselamatan negara luar.

“Saya merupakan salah seorang penembak tepat di dalam unit saya dan saya pernah mendapat johan keseluruhan di peringkat antarabangsa iaitu semasa pertandingan di Singapura pada tahun 1983 dan di Brunei pada tahun 1986.

“Disebabkan kepakaran menembak saya itu, saya pernah diamanahkan untuk menjadi jurulatih menembak Bakat (Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera) dan seterusnya sebagai jurulatih komando,” katanya.

Selepas 15 tahun berkhidmat di dalam ATM, Emran mengambil keputusan untuk berhenti daripada tentera pada tahun 1987 dan pangkat terakhir yang disandangnya adalah koperal.

Emran (dua, kanan) sewaktu pertandingan menembak di Brunei
Perjuangannya di dalam ATM kemudian terus disambung oleh anak-anaknya apabila lima orang anak lelakinya mengikuti jejak langkahnya sebagai anggota tentera tetapi tiada seorang pun yang menjadi komando seperti dirinya.

Emran kemudian pulang ke kampungnya di Kampung Sanglang, Segamat dan kemudian menyara diri dan lapan orang anaknya dengan bekerja kebun dan kini dia melakukan pelbagai pekerjaan seperti tukang menggali kubur, pembuat keranda dan deejay majlis-majlis rasmi dan perkahwinan.

“Walaupun sudah lama meninggalkan unit komando, saya masih berjiwa ketenteraan lagi dan semangat sebagai anggota komando masih menebal tambah-tambah lagi selepas menyertai Kelab Veteran Komando Malaysia (KVKM).

“Sebab itu saya marah apabila ada pihak yang cuba membawa balik abu mayat Chin Peng ke negara ini kerana kami telah bermandi darah untuk memastikan negara ini bebas daripada pengganas dan jika diperlukan, saya akan kembali mengangkat senjata bersama-sama berjuang,” katanya.


Tukang kasut jalanan kerjaya pilihan dua anak muda

SEGAMAT – Pekerjaan sebagai tukang kasut tidak diminati oleh golongan muda kerana selain dianggap tidak mampu memberi pendapatan lumayan, kerjaya sebagai tukang kasut ini pastinya bukan pilihan mereka.

Malah, tukang kasut jalanan ini juga mampu menjimatkan kos sehingga ratusan ringgit dengan membaiki semula kasut yang rosak daripada membeli yang baharu dan keadaan tersebut dilihat amat merugikan

Bagaimanapun, dua anak muda di daerah ini mahu membuktikan kepada masyarakat bahawa kerjaya sebagai tukang kasut juga mampu memberikan pulangan yang lumayan sekiranya diusahakan dengan bersungguh-sungguh.

Bagi Mohd Fitri Supa’at, 24, berkata, dia tidak menyesal menamatkan pengajian dalam bidang perhotelan di sebuah universiti awam di negara ini pada tahun 2009 sebelum memilih untuk menjadi tukang kasut di sebuah kedai kasut di Jalan Aji, dekat sini.

“Saya sudah tujuh tahun menjadi tukang kasut dan masyarakat tidak harus memandang rendah kepada kami hanya disebabkan kami berniaga di kaki-kaki lima dan kedai yang tidak mempunyai pendingin hawa.

“Pada pandangan saya, seorang tukang kasut ini merupakan individu yang beruntung kerana perniagaan ini tidak memerlukan modal permulaan yang besar tetapi mampu memberi pulangan yang lumayan,” katanya kepada Komuniti Facebook Segamat.

Mohd Fitri menunjukkan keadaan salah satu kasut yang rosak

Mohd Fitri menunjukkan keadaan salah satu kasut yang rosak

Menurutnya, usaha yang dilakukan oleh tukang kasut seperti dirinya juga tiada bezanya dengan apa yang dilakukan oleh para peniaga kecil lain seperti penjual burger, peniaga pisang goreng atau air tebu di jalanan kerana matlamat mereka hanya mahu mencari rezeki yang halal sahaja

Menurutnya, kerjaya awalnya sebagai tukang kasut juga bermula pada tahun 2008 apabila dia hanya bekerja sambilan sahaja di kedai tersebut sementara menunggu keputusan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) diumumkan.

“Apabila mendapat tawaran untuk melanjutkan pengajian dalam bidang perhotelan, saya terpaksa melupakan sementara kerjaya sebagai tukang kasut. Namun, selepas beberapa semeseter, saya terpaksa berhenti kerana jurusan tersebut tidak selari dengan minat saya.

“Saya kemudiannya bertekad untuk mendalami lagi kemahiran sebagai tukang kasut dan bercadang untuk menjalankan perniagaan sendiri dalam tempoh setahun lagi selepas yakin dengan pengalaman yang ada serta modal mencukupi,” katanya.

Menurutnya, pada peringkat awal juga, dia mengakui pernah berasa rendah diri dengan kerjayanya itu apabila bertemu dengan rakan-rakannya, dan lama kelamaan perasaan tersebut hilang apabila dia mampu meraih pendapatan setanding dengan rakannya yang berkerjaya.

Berbeza pula dengan Mohammad Fikri Yusuf, 20, pula, dia hanya menjadikan kaki lima berhampiran sebuah pasaraya di Jalan Syed Abdul Kadir, di sini, sebagai pusat ‘operasinya’ bagi dia membetulkan kasut para pelanggannya.

“Duduk selama berjam-jam melakukan kerja-kerja membaiki kasut di kaki lima bukan perkara asing bagi saya kerana sebelum ini saya sering membantu ayah yang juga seorang tukang kasut di lokasi sama sejak berumur 14 tahun lagi.

“Bagaimanapun, selepas diberi kepercayaan oleh ayah sejak tiga tahun lalu, saya lebih banyak menghabiskan masa di sini dan berasa bangga mampu menguasai kemahiran membaiki kasut walaupun tidak pernah mendapat pendidikan khusus mengenainya,” katanya.

Mohammad Fikri tekun membaiki kasut pelanggannya

Mohammad Fikri tekun membaiki kasut pelanggannya

Bagi pelajar lepasan Giat Mara Segamat itu, dia juga sedang mengintai peluang untuk menyewa sebuah kedai bagi mengembangkan perniagaan yang diambil alih dari bapanya itu dan bercita-cita untuk membuat kasut wanita atas jenamanya sendiri suatu hari nanti.

Menurutnya, dia juga mengakui kerjaya sebagai tukang kasut jalanan seperti dirinya ini turut mengundang perasaan negatif sesetengah pihak dan tambah menyedihkan apabila ada yang melabelkannya sama seperti pengemis dan gelandangan.

“Untuk pengetahuan semua, perniagaan saya ini mempunyai kelulusan daripada Majlis Daerah Segamat (MDS) dan kami tidak suka-suka hati untuk membuka kedai membaiki kasut di kaki lima.

“Tambahan pula, saya hanya menjadikan sebuah rak besi sebagai tempat menyimpan segala peralatan dan kasutkasut milik pelanggan dan akan memastikan kaki lima kedai ini akan dikemas terlebih dahulu sebelum kedai ditutup,” katanya.

Mohammad Fikri menunjukkan salah satu peralatan yang digunakan untuk membaiki kasut

Mohammad Fikri menunjukkan salah satu peralatan yang digunakan untuk membaiki kasut

Menurutnya, sekiranya seseorang itu mempunyai minat, penguasaan membaiki kasut tidak memerlukan masa yang lama kerana kebanyakkan peralatan untuk membaiki kasut boleh dibuat sendiri kecuali beberapa peralatan lain seperti pembuat alur benang yang terpaksa dibeli.

Katanya, setakat ini dia selesa melakukan kerja sebagai tukang kasut dan tidak mahu memikirkan pandangan orang lain terhadap apa dilakukannya ini dan bersedia untuk mencurahkan ilmu kemahiran yang ada kepada sesiapa yang berminat untuk mempelajarinya.

Sementara itu, rata-rata pelangan yang menghantar kasut untuk dibaiki oleh tukang kasut jalanan berpuas hati dan yakin dengan kemampuan golongan tersebut yang mampu membaiki semula kasut mereka yang rosak.

Bagi Mohd Ali Musa, 43, berkata, kehadiran tukang kasut yang menawarkan khidmat membaiki kasut di kaki lima sering tidak diendahkan oleh orang ramai malah ada yang memandang rendah kerjaya tersebut sehinggalah mereka memerlukan perkhidmatan mereka.

“Saya pernah menghantar kasut saya untuk dibaiki oleh tukang kasut jalanan termasuk anak muda ini dan hasil kerja mereka sungguh kemas dan ada di antara kasut yang rosak kembali seperti keadaan asal selepas dibaiki.

“Bagi saya, mereka bukan sahaja berdisplin dengan waktu kerja, tetapi pandai melayan pelanggan yang datang untuk mendapatkan perkhidmatan membaiki kasut, selain boleh dijadikan contoh oleh rakan lain kerana tidak memilih kerja untuk mencari rezeki halal,” katanya.

Menurutnya, tukang kasut jalanan yang ada pada hari ini bukan seperti apa yang disangkakan kerana ada di antara mereka yang memiliki ijazah dan memperolehi pendapatan lumayan setanding kerjaya lain walaupun hanya ‘bertugas’ di kaki lima.


Kedai Bawah Pokok, Segamat

Apabila bercerita mengenai bandar Segamat dari perspektif nostalgianya, kebiasaannya orang Segamat akan mengaitkan kedai dibawah pokok sehingga ia dikenali sebagai Kedai Bawah Pokok. Kedai Bawah Pokok juga dikenali sehingga ke Johor Bahru. Pada ketika itu di Johor Bahru telah pesat membangun menyebabkan orang-orang di Johor Bahru merasakan ianya satu keunikan di Segamat.

Lokasi kedai tersebut berhampiran Bangunan Wisma Lai Hee Sang atau dikenali sebagai Derang Emas iaitu bangunan tertinggi di Segamat yang siap dibina pada tahun 1986. Kedai asal tersebut dibina daripada kayu dan terletak dibawah pokok ditengah-tengah Jalan Ismail. Pada tahun 1930 kedai tersebut tidaklah terlalu banyak.

Gambar Ihsan: Mr. Raymond Morris. Deretan pokok-pokok di Jalan Awang pada tahun 1960.

Gambar Ihsan: Mr. Raymond Morris | Deretan pokok-pokok di Jalan Awang pada tahun 1960.

Selepas itu, apabila lokasi tersebut mula mendapat tarikan orang-orang awam kedai-kedai mula dibina dan ditambah lagi. Kemudian pokok-pokok telah ditebang pada pertengahan tahun 60an. Pada tahun 1958 terdapat pertikaian mengenai soal hendak menebang atau tidak pokok-pokok yang terdiri di tengah-tengah jalan sekitar Bandar Segamat.

Bantahan keras telah dibuat oleh pekedai-pekedai tempatan yang berkata bahawa pokok-pokok itu adalah menjadi tempat berteduh yang cantik dan unik. Jika pokok-pokok itu ditebang akan menggalakkan orang-orang membawa kereta secara laju menyebabkan bahaya kepada pejalan kaki. Oleh kerana itu kedai tersebut masih dinamakan Kedai Bawah Pokok oleh orang-orang di Segamat.

Gambar ihsan: En. Paul Tan. En. Paul Tan dan En. Ah Hock ketika di kedai beliau.

Gambar ihsan: En. Paul Tan. En. Paul Tan dan En. Ah Hock ketika di kedai beliau.

Cerita mengenai Kedai Bawah Pokok orang-orang Segamat akan mula bercerita tentang seorang lelaki berbangsa cina yang berniaga disitu. Ah Hock atau juga dikenali dengan panggilan Abang Sayang pada ketika itu. Nama beliau dikenali dengan Abang Sayang kerana ianya menjadi panggilan gadis-gadis ketika itu untuk mendapatkan barangan yang dijual dengan harga yang murah. Oleh itu, nama panggilannya kerap dipanggil oleh gadis-gadis.

Kedainya menjadi terkenal kerana menjual pelbagai barangan terutamanya alat-alat jahitan lantas menjadi tarikan kepada gadis-gadis. Pada tahun itu alat-alat jahitan hanya boleh didapati di kedai Abang Sayang sahaja. Paul Tan abang kepada Ah Hock yang turut sama menguruskan perniagaannya pada waktu itu.

Menurut cerita Encik Yacob A Aziz, di Kedai Bawah Pokok tersebut menjual pinggan, mangkuk, barangan jahitan seperti benang, butang, dan jarum. Selain itu, terdapat juga barangan yang dijual seperti piring hitam dan kaset. Malahan minuman, makanan dan herba juga dijual. Beliau sendiri sering kesitu untuk membeli piring hitam lagu 60an.

Gambar ihsan: En. Abd Latip | Encik Abdul Latip bin Haji Idris ketika projek membina Bangunan Sri Genuang pada tahun 1994.

Gambar ihsan: En. Abd Latip | Encik Abdul Latip bin Haji Idris ketika projek membina Bangunan Sri Genuang pada tahun 1994.

Puan Mariam Haji Bujang turut menceritakan kenangannya ketika beliau menetap di Segamat. Ketika itu kedai tersebut juga dianggap sebagai Pasar Malam yang menjadi tempat menarik di Segamat. Berhampiran Kedai Bawah Pokok terdapat juga panggung wayang seperti Capitol di Jalan Tengku Ahmad dan Rex di Jalan Aji menjadikan kawasan tersebut sebagai tempat yang strategik untuk berniaga.

Setiap kenangan ada pahit dan manisnya. Pada tahun 1989 Segamat mula membangun dengan pesatnya. Kenderaan mula bertambah hari demi hari menyebabkan laluan jalan raya mulai sesak. Berdasarkan maklumat Encik Abdul Latip bin Haji Idris yang bekerja di Majlis Daerah Segamat (MDS) pada ketika itu mengatakan terdapat beberapa aduan daripada orang awam mengenai Kedai Bawah Pokok itu. Misalnya kedai tersebut tidak sesuai lagi untuk dijadikan sebagai tempat berniaga kerana terletak ditengah-tengah jalanraya. Oleh itu, cadangan MDS adalah membina satu bangunan yang menggantikan tempat kedai tersebut.

Gambar ihsan: En. Abd Latip | Kedai Abang Sayang di Sri Genuang pada tahun 1996

Gambar ihsan: En. Abd Latip | Kedai Abang Sayang di Sri Genuang pada tahun 1996

Pada tahun 1990 projek itu dimulakan sehingga siap pada tahun 1995. Bangunan itu diberi nama Sri Genuang kerana sempena dengan nama Jalan Genuang, Segamat. Semua kedai ditempatkan di Bangunan Sri Genuang dan mula beroperasi seperti biasa. Pada tahun itu juga terminal bas dan teksi ditempatkan di bangunan yang sama turut menjadikan sebagai tempat strategik untuk para usahawan berniaga. Ketika itu juga terminal bas dan teksi dirobohkan untuk memperbesarkan lagi bangunannya kerana bilangan populasi rakyat dan kedatangan orang luar semakin meningkat. Sehingga kini Kedai Abang Sayang masih beroperasi seperti biasa di Jalan Yusof Abdul Rahman, Kampung Abdullah, Segamat, Johor.