Menu Utama

May, 2015

 

Karnival JCorp Segamat 2015

SEGAMAT – Selepas sambutan yang cukup meriah diterima daripada pengunjung semasa siri jelajah pertama Karnival Jcorp (Johor Corporation) di Dataran Tanjung Emas, Muar pada April lalu, kini penduduk di daerah Segamat pula berpeluang menikmati kemeriahan tersebut.

Siri kedua Karnival Jcorp yang akan bermula pada 21 hingga 23 Mei ini di kawasan lapang, Bandar Utama Segamat (tapak Bazaar Ramadhan) juga akan dilengkapi dengan pelbagai program dan pengisian yang menarik.

Bagi anak jati daerah ini yang ingin menyambung pelajaran, Johor Corporation menyediakan peluang untuk menyambung pengajian ke KFCH International College manakala bagi mereka yang mencari peluang pekerjaan, pelbagai kekosongan jawatan juga turut ditawarkan sepanjang karnival ini berlangsung. Antara syarikat yang terlibat ialah:

  1. KFC
  2. Pusat Pembangunan Tenaga Industri Johor (Puspatri) dan
  3. KPJ Universiti College (KPJUC).

jcorp04edit

Selain berpeluang menjalani pemeriksaan kesihatan secara percuma di KPJ, pelbagai pengisian yang bermanfaat akan diadakan pada hari pertama (21 Mei- Khamis) seperti pertandingan kompang berirama, ceramah ‘Sedekah dan Waqaf Sebagai Saham Akhirat’ anjuran Waqaf An-Nur Corporation pada malamnya.

Hari kedua karnival ini pula (22 Mei- Jumaat) pula memperlihatkan kayuhan berbasikal sejauh 25 kilometer secara sihat dan selamat iaitu ‘Segamat MTB Funride’ dan terbuka kepada mereka yang berumur 18 tahun ke atas dan t-shirt percuma juga disediakan untuk 200 penyertaan terawal SAHAJA.

Segamat MTB Funride | Karnival Jcorp Segamat 2015

Segamat MTB Funride | Karnival Jcorp Segamat 2015

Pengunjung juga akan disajikan dengan persembahan keroncong dan silat Melayu pada petang hari kedua karnival ini. Bagi memeriahkan lagi karnival ini, artis-artis popular personaliti Astro seperti kumpulan Lampu (Raja Lawak) dan Yazer AF turut akan membuat persembahan pada malamnya.

Bagi ibu bapa yang mahu memanfaatkan cuti hujung minggu bersama keluarga dan anak-anak kecil mereka, Pertandingan Mewarna Bagi Kategori Kanak-Kanak Bersama Maskot Upin & Upin akan diadakan pada hari kedua (22 Mei-Jumaat).

Bagi mereka yang memiliki bentuk tubuh badan yang ‘sado’, pertandingan ‘Badang Man’ boleh digunakan sebagai pentas untuk mereka mencipta ruang dan peluang selain juara berpeluang memenangi wang tunai RM500 selain mengikuti syarat dan terma yang telah ditetapkan oleh pihak penganjur.

Pertandingan "Badang Man" | Karnival Jcorp Segamat 2015

Pertandingan “Badang Man” | Karnival Jcorp Segamat 2015

Hari terakhir karnival ini juga turut menyaksikan pertandingan ‘Gusti Lengan’ yang terbuka kepada semua kaum lelaki rakyat Johor khususya penduduk Segamat yang berumur 18 tahun ke atas. Dengan yuran penyertaan percuma, juara berpeluang memenangi wang tunai RM500.

Pertandingan Gusti Lengan | Karnival Jcorp Segamat 2015

Pertandingan Gusti Lengan | Karnival Jcorp Segamat 2015

Bagi mereka khususnya penduduk daerah ini yang belum merancang sebarang aktiviti pada hujung minggu ini, marilah beramai-ramai meluangkan masa untuk mengunjungi karnival JCorp ini kerana anda pasti akan disajikan dengan pelbagai aktiviti yang menarik dan bermanfaat.


Tugas guru martabatkan profesion keguruan

MASIH kental lagi tersemat di dalam kotak pemikiran penulis akan pengalaman menjadi guru sandaran di sebuah sekolah menengah beberapa tahun yang lalu terutamanya ketika menyambut sambutan Hari Guru pada tahun tersebut.

Pada ketika itu, apabila penulis bersama-sama dengan guru-guru lain membacakan ikrar sebagai pendidik dan menyanyikan lagu Guru Malaysia dalam majlis perhimpunan, terdetik di hati penulis bahawa karier perguruan ini mempunyai nilai yang unik dan tersendiri.

Teringat juga kenangan manis apabila air mata ini begitu mudah mengalir apabila ada anak murid miskin yang bersusah payah mencarikan ‘hadiah’ sebagai ucapan terima kasih sempena sambutan Hari Guru ini.

Hakikatnya, seorang guru tidak memerlukan anak-anak muridnya membalas jasa-jasanya. Cukuplah hanya dengan membuktikan bahawa mereka boleh menjadi insan yang cemerlang dan mampu menyumbangkan sesuatu yang berguna kepada agama, bangsa dan negara.

Menjadi guru bukanlah tugas yang mudah, apatah lagi guru merupakan orang yang paling bertanggungjawab selepas ibu bapa dalam memberi didikan, pedoman dan bimbingan terhadap anak-anak bangsa.

Begitu jua dalam usaha membentuk modal insan yang cemerlang, kadangkala nasihat dan pujuk rayu guru tidak memadai untuk mendisiplinkan sesetengah anak murid. Lantaran itu, denda dan hukuman lebih tegas yang difikirkan wajar diaplikasikan semata-mata untuk mendisiplinkan anak-anak murid.

Namun, tidak semua pihak terutamanya ibu bapa dan anak-anak murid itu sendiri yang faham akan niat murni para guru, lantas mengambil pelbagai tindakan yang ‘terburu-buru’ dengan menghukum dan mengheret guru ke muka pengadilan.

Itu adalah antara cabaran yang perlu ditempuh oleh guru zaman sekarang dan guru perlu terus menguatkan azam, menunjukkan wibawa diri dalam usaha memartabatkan profesion keguruan mereka.

Sebagaimana yang pernah dinyatakan oleh Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Datuk Alimuddin Mohd. Dom terdapat lima fokus yang diharapkan mampu mengekalkan kejayaan dan kegemilangan dalam karier seseorang guru.

Pertamanya, kekuatan intelek memungkinkan seseorang guru terus menjadi ‘ensiklopedia bergerak’ yang dijadikan sumber rujukan dalam bidang masing-masing. Bukan sahaja anak murid, bahkan masyarakat sekeliling turut mendapat kebaikannya apabila guru yang mantap nilai inteleknya ini berkongsi kepakarannya dengan pihak awam.

Kedua, nilai kepimpinan berwibawa pula perlulah diadun dengan baik berasaskan ajaran agama Islam yang syumul dan apa yang digariskan dalam konteks moral. Seorang guru sememangnya akan menjadi role-model kepada anak-anak muridnya. Jika betul dan sempurna kaedah kepimpinannya, maka betul jualah sifat dan sikap anak-anak murid. Jika salah memimpin, pastilah anak-anak murid yang menerima implikasi negatif dan mewarisi kesilapan gurunya.

Ketiga, kemurnian akhlak seseorang guru itu turut menjadi ikutan dan panduan buat anak-anak murid. Sopan santun, lembut tutur kata, berdisiplin, bermentaliti kelas pertama dan memiliki towering personality ibarat pakaian yang perlu dipakai 24 jam seminggu oleh guru-guru kerana banyak mata yang melihat keperibadian mereka.

Keempat, dalam era modenisasi dan dihambat arus globalisasi ini, sememangnya guru perlu mempunyai kesediaan untuk berubah. Penggunaan teknologi pengajaran terkini di sekolah dan pengenalan dasar dan polisi pendidikan yang baru adalah contoh perubahan yang tidak dapat tidak, perlu dihadapi dan ditangani oleh guru.

Kelima, minat dan cinta terhadap profesion keguruan akan mendorong ke arah kesempurnaan kerjaya seseorang guru. Bapa penulis yang juga seorang guru pernah menyebut “sebenar-benar guru adalah guru yang menanam niat menjadi guru, dan bukan kerja sebagai guru.”

Ujarnya lagi, “Menjadi cikgu pula ibarat meletakkan ‘roh’ guru dalam diri yang berperanan mendidik, membimbing dan meneladani sesiapa sahaja, pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja.”

Nyatanya, selagi hayat dikandung badan, kita semua pasti tidak dapat melupakan akan budi dan jasa guru-guru kita.

(Artikel ini pernah disiarkan di ruangan Rencana Utusan Malaysia pada 16 Mei 2008)


Mini Karnival Kerjaya – Azam Kerja

JobsMalaysia Iskandar dengan kerjasama JobsMalaysia Centre Segamat di bawah program Azam Kerja 1 Malaysia akan mengadakan Program Mini Karnival Kerjaya Azam Kerja Peringkat Daerah Segamat pada hari Ahad, 17 Mei 2015 dari jam 9.00 pagi sehingga jam 5.00 petang bertempat di perkarangan Pejabat Tenaga Kerja Segamat, Jalan Gudang Ubat (berhampiran Dataran Segamat).

Objektif program ini adalah untuk membantu mereka yang menganggur atau masih tercari-cari peluang pekerjaan bagi mendapatkan kerja berdasarkan kelayakan mereka.

Antara syarikat-syarikat yang akan menawarkan peluang pekerjaan sebaimana di bawah ini :-

  1. White Horse Ceramic
  2. UO Superstore
  3. Segamat Panel Boards
  4. Flextronic Shah Alam Sdn Bhd
  5. Premier Circuit Green Technology
  6. Dairy Farm Giant Retail
  7. IOI Loders Croklan Oil Sdn Bhd
  8. Heaverboard Sdn Bhd dan beberapa lagi syarikat yang masih tunggu pengesahan kehadiran.

Sila hadir dengan berpakaian kemas (tidak berseluar jeans dan menjolok mata), berkasut dan bawa bersama sijil akademik, salinan sijil akademik (bawa lebih), resume beserta gambar berukuran passport.


Seronok menjadi sukarelawan dan aktivis kemanusiaan

SEGAMAT – Jika diminta menawarkan diri untuk melakukan kerja sukarela, pasti ramai yang akan berfikir panjang kerana tugas atau kerja yang dilakukan itu tidak mendapat sebarang bayaran, dan kerap kali tiada penghargaan.

Semangat kesukarelawan sebenarnya tidak mengenal usia jika seseorang itu sanggup mengorbankan masa, dan kadangkala harta benda mereka demi kepuasan hasil kerja-kerja sukarela.

Bagi  Pengerusi Biro Agama Kelab Putera 1Malaysia (KP1M), Datuk Rusdin Mahmud, 50,  yang juga akitvis sukarelawan berkata, di negara yang penduduknya majmuk ini, pengorbanan itu juga tidak mengenal agama, bangsa dan warna kulit kerana konsepnya yang luas

Menurut anak jati kelahiran Labu, Negeri Sembilan itu, dia sudah 14 tahun melibatkan diri dalam dunia sukarelawan dan melihat aktiviti-aktiviti sukarelawan ini mampu memberikan kepuasan kepada dirinya terutama dalam membantu mereka yang memerlukan dan ditimpa musibah.

“Sebenarnya, semangat sukarelawan dalam diri saya telah dipupuk daripada kecil kerana saya merupakan seorang anak kampung yang hidup dalam persekitaran tolong-menolong dan sukarela dan semangat itulah yang kekal di dalam diri saya sehingga sekarang.

“Tidak ramai golongan muda mempunyai kesedaran tinggi untuk melibatkan diri dalam kerja sukarela kerana memerlukan komitmen tinggi tambahan pula kerja-kerja sukarelawan ini tidak memberi pulangan lumayan,” katanya kepada Sinar Harian.

Rusdin ketika menyertai misi kemanusiaan KP1M di Filipina

Rusdin ketika menyertai misi kemanusiaan KP1M di Filipina

Menurutnya, penglibatannya dalam KP1M bermula pada tahun 2000 apabila KP1M yang baharu ditubuhkan dan dipimpin oleh Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim di peringkat nasional ketika itu menyasarkan supaya setiap negeri di Malaysia menubuhkan KP1M.

Katanya, dia yang ketika itu memegang jawatan sebagai Ketua Pemuda Umno Bahagian Labis telah dilantik dan diamanahkan oleh Ketua Pemuda Umno Johor, Datuk Ayub Rahmat menjadi Pengerusi KP1M negeri Johor.

“Ketika itu saya tekadkan di dalam hati untuk meningkatkan lagi kerja-kerja sukarelawan di negeri Johor dan mula bergerak mencari ahli-ahli yang mempunyai semangat kesukarelawan yang tinggi dan saya tidak mahu menoleh kebelakang lagi.

“Apa yang mudahnya di negeri ini, golongan sasar kami iaitu golongan remaja ketika itu mudah untuk didekati kerana nilai-nilai murni di dalam diri mereka sudah mula dipupuk terutamanya melalui sekolah agama kerajaan negeri,” katanya.

Melawat negara-negara bergolak dan ditimpa bencana

Sepanjang penglibatannya secara aktif dalam KP1M, kebanyakan negara-negara bergolak dan ditimpa bencana di dunia seperti Palestin, Manila, Filipina, Myanmar, Somalia, Acheh, Jepun, dan New Zealand sudah beberapa kali dikunjungi dalam usaha memberi bantuan misi kemanusiaan.

Menurutnya, dia sendiri sudah tiga kali ke Palestin dan baharu sahaja pulang dari negara tersebut pada 23 Ogos  lalu selepas beberapa minggu di sana dan tambah membanggakan Malaysia merupakan negara terawal selepas Turki yang memberikan bantuan kepada penduduk Gaza.

Katanya, antara pengalaman yang tidak dapat dilupakan apabila menguruskan jenazah jurukamera BernamaTV Noramfaizul Mohd. Nor yang maut akibat terkena tembakan peluru sesat semasa membuat liputan Misi Kemanusiaan KP1M di Mogadishu, Somalia.

Datuk Rusdin Mahmud

“Saya masih ingat lagi tarikh pada petang 2 September 2011 apabila menerima panggilan daripada Datuk Azeez yang mengatakan Noramfaizul diserang hendap dan mati ditembak. Berita tersebut membuatkan saya dan beberapa lagi sukarelawan terkejut dan menangis.

“Ketika kejadian, Normafaizul bersama rakan-rakan wartawannya seramai lima orang sedang menaiki pacuan empat roda dan mereka dalam perjalanan pulang ke tempat penginapan dengan diiringi tentera kerajaan Somalia,” katanya.

Menurutnya, timbul kesukaran untuk menguruskan jenazah Noramfaizul ekoran kekurangan kemudahan asas seperti air, sabun dan kain kafan sehingga pada satu tahap kerajaan Somalia menawarkan alas meja untuk dijadikan kain kafan.

Katanya, selepas berbincang dengan Datuk Abdul Aziz dan sukarelawan-sukarelawan KP1M yang berada di sana, mereka sepakat untuk menolak mengkafankan jenazah menggunakan alas mesa tersebut dan memasukkan jenazah ke dalam kotak sebelum dihantar pulang ke Malaysia.

Perlu wujudkan mata pelajaran khusus untuk kesukarelawanan

Rusdin yang juga guru besar Sekolah Kebangsaan Kampung Kudong, Bekok, berkata, perlu ada mata pelajaran khusus di sekolah untuk mengajar kewarganegaraan dan kesukarelawanan sekiranya mahu melihat semangat tersebut terus subur di dalam jiwa generasi baharu.

Rusdin ketika menerima Pingat DPSM daripada TYT Melaka

Rusdin ketika menerima Pingat DPSM daripada TYT Melaka

Menurutnya, perkara tersebut diyakini boleh direalisasikan sekiranya pihak kerajaan bersama badan-bana bukan kerajaan (NGO) dapat melihat peri pentingnya semangat tersebut dalam kehidupan bermasyarakat seharian.

“Matlamat dan perjalanan hidup saya sebagai aktivis tidak hanya terhenti setakat berkungjung dan pulang, sebaliknya membuat kajian menyeluruh tentang keperluan di sana dan berkongsi pengalaman melalui ceramah motivasi dan seminar.

“Dengan menelusuri kisah dan liku-liku hidup mereka yang dibelenggu kemiskinan dan berfikiran terkebelakang membuatkan saya bersyukur dilahirkan di Malaysia bumi bertuah yang jauh lebih aman berbanding negara-negara tersebut,” katanya.

DIsebabkan sumbangannya dalam bidang sukarelawan, beliau dianugerahkan Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM) yang membawa gelaran Datuk daripada Tuan Yang Terutama Negeri Melaka, Tun Datuk Seri Utama Mohd Khalil Yaakub pada Oktober tahun lalu.