Menu Utama

April, 2015

 

Dua kilang dan sebuah bengkel hangus terbakar

SEGAMAT – Dua buah kilang dan sebuah bengkel di Kawasan Perindustrian Segamat, di sini, musnah dijilat api dalam kejadian kebakaran kira-kira pukul 4.05 pagi semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat bandar Putra, Mohd Aizad Mamat berkata, pihaknya menerima panggilan kebakaran tersebut pada pukul 4.11 pagi sebelum dua buah jentera bomba dan 14 anggota dikejarkan ke kawasan kejadian.

“Kami juga mendapat bantuan daripada Balai Bomba Jalan Abdullah dan Labis dengan dua jentera dan lapan anggota disebabkan api kebakaran semakin marak memusnahkan bangunan kilang dan bengkel tersebut.

“Api dapat dikawal sepenuhnya pada pukul 5.01 pagi daripada merebak memusnahkan kilang-kilang berhampiran. Dua buah kilang yang hangus terbakar berstruktur separuh kekal dengan luas 50 kaki lebar dan 100 kaki panjang,” katanya.

Unit Forensik daripada Jabatan Bomba & Penyelamat Johor sedang melakukan siasatan punca kebakaran.

Unit Forensik daripada Jabatan Bomba & Penyelamat Johor sedang melakukan siasatan punca kebakaran.

Menurutnya, sebuah bengkel dengan keluasan 50 kaki panjang dan lebar yang terletak bersebelahan kilang tersebut turut terbakar dan ketika kejadian tiada sebarang kecederaan dilaporkan.

Katanya, punca kebakaran dan anggaran kerugian yang dialami oleh dua kilang dan bengkel tersebut juga masih dalam siasatan pihaknya.


Asal usul Kampung Sepinang, Segamat

SEGAMAT – Kampung Sepinang yang terletak kira-kira sembilan kilometer dari bandar Segamat merupakan sebuah kampung tradisional yang masih mengekalkan kawasan penempatan secara warisian oleh masyarakat Melayu  dan mempunyai ciri-ciri Melayu dalam seni binanya.

Ketua kampungnya, Mohd Taher Ibrahim, 68, berkata,  berdasarkan cerita orang-orang tua terdahulu, Kampung Sepinangtelah dibuka kira-kira 300 tahun dahulu dan telah diterokai oleh seorang lelaki dari keturunan Temenggung dan kemudiannya diperintah oleh seorang raja.

Menurutnya, beliau sendiri tidak dapat memastikan kesahihan cerita tersebut kerana telah berlaku terlalu lama dahulu dan tidak ramai penduduk kampung ini yang dapat mengingati cerita ini sepenuhnya lebih-lebih lagi tentang salasilah atau keturunan raja tersebut.

Mohd Taher Ibrahim

Mohd Taher Ibrahim

“Kampung ini dahulu dipenuhi dengan semak samun dan ketika mula-mula diterokai dahulu, terdapat sepohon pokok pinangtunggal yang ditemui di kawasan tersebut dan sejak itulah kampung ini dinamakan Kampung Sepinang.

“Ada juga pendapat lain yang menyatakan bahawa kampung ini dinamakan Sepinang sempena nama buah pinang yang ditemui. Variasi lain berdasarkan sebuah sekolah yang dibina berasaskan batang-batang pinang dan dipanggil ‘Sekolah Batang Pinang’ ketika itu,” katanya.

Katanya, berdasarkan penceritaan secara lisan oleh orang-orang tua di kampung tersebut, penduduk Kampung Sepinangdahulunya sangat dihormati oleh penduduk-penduduk kampung lain.

Menurutnya, sebagai contoh, ketika penduduk kampung ini menghadiri sesuatu kenduri perkahwinan di sesebuah kampung, terdapat satu balai khas telah disediakan untuk mereka yang lebih tinggi kedudukannya daripada balai-balai lain.

“Walau ke mana sahaja mereka pergi ketika itu, penduduk-penduduk kampung ini amat disegani dan dihormati oleh penduduk kampung sekitar kawasan ini. Mungkin disebabkan ketika itu kampung ini merupakan satu-satunya kampung yang diperintah oleh keturunan raja.

“Bagaimanapun, sehingga kini juga tidak diketahui mengapa pemerintahan beraja itu lenyap begitu sahaja dan hanya tinggal kenangan. Asal-usul kampung ini tetap menjadi lagenda begitu juga dengan pemerintahan berajanya yang penuh misteri itu,” katanya.

Menurutnya, terdapat tiga buah kampung yang terdapat di bawah pentadbirannya selain Kampung Sepinang iaitu Kampung Pauh dan Kampung Berangan yang kesemuanya berkeluasan kira-kira 1063.5 hektar.

Kisah Atuk Bonda Sepinang menjadi seorang bidan

Di Kampung Sepinang juga, terkenal dengan sebuah kisah mengenai seorang wanita yang digelar Atuk Bonda suatu ketika dahulu. Menurut Mohd Taher, nama sebenar Atuk Bonda ialah Wan Kundur Wan Abu Bakar dan berasal dari Kampung Belimbing, Pahang.

Menurutnya, orang-orang tua di kampung tersebut ketika itu juga tidak mengetahui tujuan dan bagiamana Atuk Bonda boleh sampai ke daerah Segamat dan seterusnya menetap di Kampung Sepinang ini.

“Atuk Bonda kemudian telah berkahwin dengan penduduk kampung ini. Namun, ketika zaman pemerintahan Jepun di Tanah Melayu dahulu, suaminya telah ditembak oleh komunis. Sejak itu dia menjadi janda dan membesarkan sendiri anak-anaknya.

“Sehinggalah pada suatu hari, dia didatangi oleh seorang pemuda untuk meminta pertolongan ketika dia sedang menidurkan anaknya yang kecil. Waktu itu, keadaan kampung masih diselubungi oleh semak samun dan rumah didirikan berjauhan di antara satu sama lain,” katanya.

Taher dihadapan replika buah pinang yang terdapat di kampungnya

Taher dihadapan replika buah pinang yang terdapat di kampungnya

Katanya, Atuk Bonda kemudian memberi alasan tidak dapat pergi untuk menolong pemuda tersebut kerana tidak ada sesiapa untuk menjaga anaknya yang masih kecil. Tambahan pula, ketika itu bahaya sentiasa ada di mana-mana.

Bagaimanapun, pemuda tersebut terus mendesak dan merayu kepada Atuk Bonda dengan meyatakan dia sangat memerlukan pertolongannya ketika itu sambil menyakinkan bahawa ada orang yang akan menjaga anaknya.

“Setelah didesak beberapa kali, akhirnya Atuk Bonda setuju dan sewaktu dalam perjalanan ke rumah pemuda tersebut, mereka telah melalui satu kampung dengan pemandangan yang indan dan jalan itu tidak pernah dilaluinya sepanjang dia berada di kampung ini.

“Perjalanan tersebut diraskaan terlalu jauh dan apabila tiba di rumah pemuda tersebut, baharulah Atuk Bonda mengetahui bahawa isteri pemuda berkenaan sedang menahan sakit untuk bersalin,” katanya.

Menurutnya, dari situlah Atuk Bonda mengetahui cara-cara membidankan orang bersalin setelah diajar oleh seorang wanita lain yang turut berada di rumah pemuda tersebut. Setelah selesai membidankan anak pemuda berkenaan, beliau telah dihantar pulang.

Namun, perjalaan ketika pulang dirasakan lebih cepat berbanding perjalanan ketika pergi dan apabila sampai di rumahnya, Atuk Bonda melihat anaknya yang kecil sedang tidur nyenyak seolah-olah ada orang menjaganya.

“Bermula saat itu, Atuk Bonda kemudian telah menjadi seorang bidan dan membidankan setiap orang yang hendak bersalin di kampung ini.Dia juga dipercayai dikurniakan satu kebolehan iaitu dengan dapat merasakan sesuatu apabila ada orang yang memerlukan bantuannya.

“Namun, segalanya kini hanya tinggal sejarah dan kenangan selepas Atuk Bonda meninggal dunia. Kisah pemuda yang meminta pertolongan dan wanita yang mengajarkannya ilmu perbidanan itu juga masih kekal misteri sehingga kini,” katanya.

Menurutnya, Kampung Pinang juga kini sudah berubah dengan memiliki kemudahan infrastruktur asas yang lengkap seperti sekolah rendah, sekolah agama, perpustakaan desa dan balairaya untuk kegunaan komuniti.

Bersama kakitangan Perpustakaan Desa Kampung Sepinang

Bersama kakitangan Perpustakaan Desa Kampung Sepinang


Jurutera jadi perawat Islam

SEGAMAT – Ramai masyarakat di luar sana yang keliru dan ada juga yang tidak tahu langsung mengenai konsep sebenar rawatan Islam berbanding rawatan yang diterima di hospital dan sebagainya.

Menurut pengamal perubatan Islam yang mengusahakan pusat rawatan Baitul Syifa’ Kersani, Ir Abdul Manaf Ismail, rawatan dalam Islam terbahagi kepada dua iaitu rawatan hasil daripada kajian dan pengalaman seperti yang diamalkan oleh doktor dan pengamal perubatan yang bertauliah seperti di hospital dan klinik.

“Kedua ialah rawatan alternatif. Salah satu rawatan alternatif ini ialah rawatan Islam. Jika di hospital doktor mengubat penyakit yang dapat dilihat secara zahir dan mata kasar, kami (pengamal rawatan Islam) mengubati mereka yang mempunyai masalah spiritual, emosi, gangguan makhluk halus, sihir, saka dan sebagainya yang tidak dapat dilihat pada pandangan mata kasar.

“Rawatan Islam ini juga turut disebut sebagai ruqyah atau jampi. Jampi yang dimaksudkan di sini adalah bacaan atau doa yang diajar oleh Nabi Muhammad SAW dan para sahabat yang diyakini tidak bertentangan dengan syariat ALLAH SWT,” katanya kepada Sinar Harian.

Ir Abdul Manaf Ismail @ Pak Long Kersani

Ir Abdul Manaf Ismail @ Pak Long Kersani

Abdul Manaf yang mesra disapa Pak Long berkata, secara mudahnya rawatan Islam adalah pengubatan Islam yang menggunakan ayat-ayat suci al-Quran sepertimana yang diamalkan oleh nabi dan para sahabat dalam usaha mereka menyembuhkan pelbagai penyakit. Sesungguhnya al-Quran yang diturunkan sememangnya mempunyai penyembuh kepada semua penyakit.

Dalam satu hadis, Rasullullah SAW bersabda bahawa semua penyakit itu mempunyai ubatnya melainkan kematian. Dalam hadis lain yang diriwayatkan oleh Ad-Daulabi dalam Al-Kuna, Nabi bersabda, “Sesungguhnya ALLAH menciptakan penyakit dan ubat, maka berubatlah dan jangan kamu berubat dengan yang haram”.

“Ruqyah juga mempunyai prinsipnya yang tersendiri. Pertama, kena lihat orang yang sakit. Jika, dia boleh meruqyah dirinya sendiri itu lagi bagus kerana amalan dan perlakuan itu dilakukan oleh dirinya sendiri untuk mengubati dirinya. Pada masa yang sama dia beribadat kepada ALLAH dengan berzikir dan membaca ayat-ayat suci al-Quran.

“Jika dia tidak berkemampuan untuk mengubati dirinya sendiri barulah dia merujuk kepada mereka yang mahir atau perawat Islam. Walau bagaimanapun, dia perlu lihat kepada siapa dia datang..Jangan silap. Jangan pergi kepada orang yang dipercayai mengamalkan unsur-unsur syirik dan khurafat seperti menurun dan memakai benda yang diharamkan dalam rawatannya kerana bimbang boleh menyelewengkan iman dan akidah kita sebagai seorang muslim,” katanya.

Kebelakangan ini, ramai pesakit yang menemui Pak Long adalah mereka yang menghidap penyakit misteri seperti gangguan mental bahkan tidak kurang juga yang melibatkan masalah fizikal seperti tidak mampu berjalan, sakit belakang badan, lumpuh dan sebagainya. Pemeriksaan doktor secara saintifik terhadap mereka tidak mampu menemui punca penyakit apatah lagi untuk memberikan satu rumusan bagaimana menyembuhkan penyakit misteri tersebut.

Kebanyakan penyakit misteri tersebut berpunca daripada gangguan syaitan atau jin. Tambahan pula, terdapat segelintir manusia mempunyai niat buruk terhadap orang lain dengan ‘menghantar’ jin terutamanya jin kafir untuk menyempurnakan hajat buruk tuannya. Maka, jin-jin tersebut berada di dalam badan pesakit mengikut kehendak penghantarnya. Ini termasuklah di celah-celah kelengkang, kepala dan lain-lain tempat yang boleh menganggu pesakit kerana jin boleh bergerak melalui setiap pembuluh darah di dalam badan manusia.

Kaedah Rawatan

Menurut Pak Long, kaedah rawatan yang digunakan olehnya adalah bergantung sepenuhnya kepada ayat-ayat al-Quran dan bacaan doa yang diyakini berlandaskan Islam dan tidak menggunakan benda-benda yang haram dan syubhah (diragui).

“Jika terdapat pesakit yang memerlukan rawatan, Pak Long akan mendengarkan kepada mereka surah al-Jinn. Jika terdapat, jin atau makhluk halus di dalam badan seseorang itu, dia akan bertindak dan memberi reaksi kerana surah tersebut menceritakan perihal mengenai jin.

“Pada ayat keenam surah tersebut ada mengatakan bahawa amat salah perbuatan manusia yang menjaga dan melindungi dirinya dengan meminta pertolongan kepada ketua-ketua golongan jin, kerana dengan permintaan itu mereka (manusia) menjadikan golongan jin bertambah sombong dan kuat,” katanya.

Pak Long yang mempunyai Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal daripada Universiti Sunderland, England dan Diploma Pengajian Islam daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, antara medium yang digunakan olehnya untuk merawat pesakit adalah dengan menggunakan air yang sudah dibacakan dengan 30 juzuk al-Quran, doa penerang hati dan doa pelembut hati.

“Selain itu Pak Long juga menggunakan daun bidara kerana daun ini amat ditakuti oleh jin dan iblis kerana di dalam al-Quran ada menceritakan mengenai khasiat dan kelebihan daun tersebut untuk menangani gangguan makhluk halus.

“Ibnu Katsir saat menafsirkan surah al-Baqarah ayat 102, yang bercerita mengenai fitnah syaitan kepada Nabi Sulaiman menyebutkan bahawa untuk mengubati sihir,  sebaiknya kita mengambil tujuh helai daun bidara, kemudian ditumbuk halus atau diracik, lalu dicampurkan daun tersebut kepada air atau minyak yang dibacakan doa. Kemudian dibacakan ayat kursi dan tiga kul sebelum disapukan di tempat yang sakit ataupun diminum.

“Pak Long juga akan memohon pada ALLAH supaya pesakit yang mendapatkan rawatan dengan Pak Long disembuhkan dengan cara bangun solat malam untuk solat hajat, tahajjud selain berpuasa sunat pada setiap hari Isnin dan Khamis. Perlu diingat saya ini hanya perantara. Yang berkuasa untuk menyembuhkan dan menentukan ialah ALLAH,” katanya.

Di samping itu, Pak Long juga dibantu oleh isterinya, Siti Hawa Talib atau lebih dikenali sebagai Mak Long oleh masyarakat setempat di sini dalam merawat pesakit terutamanya pesakit wanita.

Perbezaan Rawatan Islam

Pak Long juga turut mengakui terdapat segelintir mereka di luar sana yang tidak bertanggungjawab menggunakan nama Islam dalam rawatan mereka sehingga berlaku penyelewengan tanpa disedari oleh pesakit.

Perawat Islam juga perlu memiliki keimanan dan keyakinan yang tinggi kepada ALLAH serta memiliki keilmuan dengan ilmu rawatan Islam dengan sumber yang sah dan tahu membezakan sesuatu yang betul dan yang salah.

Pengamal perubatan Islam juga hendaklah memastikan bahawa amalan perubatan Islam yang diamalkannya bebas daripada unsur-unsur batil yang biasa diamalkan dalam sistem perbomohan yang terpesong daripada Islam seperti penggunaan khidmat jin, tangkal, azimat, jampi serapah, menilik, penggunaan bahan yang jelas haram seperti darah binatang dan daging binatang yang diharamkan.

“Ada pesakit yang mengadu kepada saya bahawa terdapat perawat yang mengaku dirinya perawat Islam menggunakan darah binatang dalam rawatan mereka dan mereka juga turut menggunakan ayat-ayat al-Quran seperti kalimah bismillah. Ini secara terang-terangan sudah haram dan menyimpang daripada ajaran Islam kerana darah itu adalah makanan jin dan penggunaan ayat-ayat suci dibimbangi membawa kepada syirik dan khurafat.

“Untuk membezakan rawatan Islam sebenar dengan rawatan yang bertopengkan Islam adalah mudah. Pertama lihat personalitinya. Jika keadaannya tidak ubah seperti seorang bomoh atau dukun tetapi menggunakan ayat-ayat suci, maka dia bertopengkan rawatan Islam. Kedua, melalui persekitarannya. Jika persekitarannya meragukan dengan terdapat pelbagai azimat, kain kuning, tengkorak dan kemenyan itu bukannya pengamal perubatan Islam,” katanya.

Rawatan Islam juga tiada pantang larang yang ketat berbanding rawatan yang bertopengkan Islam kerana ada di antara perawat yang mengenakan pantang larang kepada pesakit seperti tidak boleh memakan makanan pedas dan tajam, tidak boleh lalu bawah ampaian dan sebagainya.

Ini kerana, pengamal perubatan Islam hendaklah menunjukkan contoh terbaik dalam amalan mereka dengan mementingkan keikhlasan dalam membantu, memoitivasi, mendakwah pesakit, mengutamakan keredhaan ALLAH dan mengejar kebaikan tanpa meletakkan imbuhan duniawi sebagai matlamat utama dalam rawatannya.

Keberkesanan Rawatan

Menurut Pak Long, bukan setakat orang Melayu sahaja yang mendapatkan rawatan daripadanya tetapi ada juga kaum lain seperti orang Cina dan India yang datang berjumpa dengannya.

“Kebanyakan mereka ialah jururawat yang bekerja di klinik dan hospital. Kita sedia maklum kawasan tersebut terutamanya rumah mayat merupakan kawasan yang banyak gangguan dan ada di antara mereka yang tidak kuat semangat kemudian diganggu.

“Ada juga pesakit yang datang daripada seluruh Malaysia dan ada pesakit daripada Thailand dan Singapura datang ke sini. Dengan berkat dan keizinan ALLAH mereka beransur sembuh setelah mendapatkan rawatan dengan Pak Long,” katanya.

Ada di antara pesakit yang sembuh setelah melakukan sekali rawatan dan ada juga yang memakan masa dan beberapa sesi rawatan barulah mereka sembuh dan semua itu bergantung kepada gangguan yang dialami oleh pesakit.

Ada sesetengah penyakit yang tidak dapat dikesan oleh doktor dirujuk ke sini setelah perubatan moden gagal mengesan apakah penyakitnya yang sebenar.

“Pernah ada seorang wanita daripada Johor yang sudah berkahwin mendapatkan rawatan di sini. Dia mendakwa kandungannya akan hilang setelah usia kandungan mencapai tiga bulan. Dia dan suaminya sudah buntu kerana menurut doktor dia tidak keguguran tetapi janin tersebut hilang dan ghaib begitu sahaja.

“Semasa menjalani rawatan di sini, Pak Long mendapati ada jin yang memakan janin tersebut dan hasil dialog bersama jin tersebut, jin itu mengakui dihantar oleh seseorang yang dengki dengannya yang tidak mahu melihat pasangan tersebut bahagia. Alhamdulillah selepas menjalani rawatan pasangan berkenaan tidak mengalami lagi gangguan tersebut,” katanya.

Pak Long sedang mengubati seorang remaja yang mempunyai saka di pusat rawatan Islam Baitul Syifa' di Kampug Bumbun, Jabi

Pak Long sedang mengubati seorang remaja yang mempunyai saka di pusat rawatan Islam Baitul Syifa’ di Kampug Bumbun, Jabi

Ada pesakit yang mempunyai saka harimau bila dibawa menjalani rawayan di sini dia berkelakuan seperti harimau dan mencakar-cakar dinding apabila diazankan. Setelah ditanya, saka tersebut merupakan saka warisan daripada keturunannya.

“Atuk dan bapa kita dahulu tinggalkan dua perkara untuk kita. Pertama harta pusaka seperti tanah, rumah dan sebagainya. Yang kedua ialah saka. Sewaktu hayat mereka mungkin ada di antara mereka menjadi pawang, dukun dan bomoh. Jadi, kita hairan bagaimana orang dahulu boleh membuka kebun yang luas tanpa bantuan sesiapa melainkan bantuan saka ini,” katanya.

Katanya, rugi ibadah seseorang yang beragama Islam itu sekiranya mereka melakukan sesuatu perkara yang mensyirikkan ALLAH kerana syirik merupakan salah satu dosa yang tergolong di dalam dosa besar.

Punca masyarakat hari ini sering diganggu seperti histerian, masalah emosi dan sebagainya adalah disebabkan mereka tidak menjadikan al-Quran dan sunnah Rasullullah SAW sebagai asas kehidupan mereka.

“Iman generasi sekarang sangat tipis dan rapuh. Doa-doa yang diajar oleh Rasullullah sebenarnya sangat berguna. Tetapi masayarkat kini berfahaman membaca doa untuk mendapat pahala. Dari segi amalan dan pengisiannya tiada. Ini kerana doa merupakan benteng diri seseorang mukmin itu,” katanya.


Pengunaan Air Bateri Memanjangkan Jangka Hayat Radiator Kenderaan

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.

Saya ingin berkongsi sedikit tips penjagaan radiator kederaan anda. Gunakan “air suling” bagi memanjangkan jangka hayat radiator anda, atau dengan lebih mudah anda membeli air bateri di mana-mana kedai yang menjualnya.

Kesilapan yang sering di lakukan oleh pengguna adalah seringkali mengisi atau menambah air di radiator dengan menggunakan air paip.

Berikut disertakan sebab-sebab kenapa anda tidak digalakkan menggunakan air paip.

  1. Air paip mengandungi kandungan klorin yang di campur di loji penapisan dan di salurkan ke paip-paip komersial atau industri.
  2. Kandungan air paip yang mengitari radiator akan menghasilkan hablur atau partikel-partikel lantas ianya akan menempel pada sesalur radiator dan liang rongga aliran air di enjen anda.
  3. Partikel-patikel ini akan menjadikan enapan dan tindak balas kimia kepada logam lantas menhasilkan karat dan kemudian mengitari sesalur radiator anda. Suhu juga memainkan peranan pembentukan hablur.
  4. Keadaan akan lebih serius dan berlaku peningkatan suhu enjen apa bila sesalur ini tersumbat atau kandungan air mengandungi enapan karat dan mengitari sesalur enjin anda.
  5. Suhu yang terlalu tinggi akan mempercepatkan fungsi serta kelancaran enjin terganggu. Apa yang lebih teruk suhu yang terlalu tinggi akan membuatkan blok serta tuil piston enjin anda akan mengetuk dinding piston dan berlaku kerosakan enjin. Ia akan berhenti serta merta

Berbanding air suling, ia adalah cecair yang tidak mempunyai partikel-partikel campuran manakala ia adalah gabungan H2o iaitu (2 molekul hidrogen + 1 molekul oksigen). Tiada proses penghabluran daripada molekul sejati air. Maka kurang enapan dan kuranglah penyekatan pada sesalur air di radiator anda.

Oleh itu ia boleh memanjangkan hayat radiator dan kes kebocoran radiator atau peningkatan suhu mendadak pada sistem enjin amat kurang berlaku.

Maka jika anda ingin mengisi air tangki radiator gunakanlah air suling atau air bateri, sila tanya pekedai kerana air bateri ada 2 jenis iaitu air bateri berasid dan air suling (guna yang ini).


“Snap-Check” kesan penjenayah

SEGAMAT – Cawangan Kereta Peronda IPD Segamat dan juga Unit Ronda Bermotosikal akan lebih kerap mengadakan pemeriksaan secara “Snap-check” di lokasi-lokasi yang dikenal pasti berkemungkinan merupakan laluan kepada penjenayah.

Menurut penyelia Cawangan Kereta Peronda, Sarjan Mohd Rais Bin Mohamed Darwish, orang ramai tidak perlu bimbang tentang pendekatan pemeriksaan yang dilakukan oleh pihak polis kerana matlamat utama dan sasaran mereka melakukan pemeriksaan adalah mengesan dan mencegah penjenayah.

Ini berikutan beberapa kejayaan dalam pemeriksaan secara “Snap-check” yang dilakukan bersama anggota Unit Ronda Bermotosikal sehingga berjaya menangkap beberapa penjenayah.

Beberapa kereta peronda yang meronda di lokasi berhampiran akan dipanggil serentak dibantu oleh Unit Ronda Bermotosikal kelokasi yang di kenal pasti dan akan membuat sekatan dalam masa kurang sejam sebelum berpindah ke lokasi lain.

Anggota yang bertugas yang terlibat dengan pemeriksaan "Snap-check" yang diadakan di beberapa lokasi di Segamat baru-baru ini.

Anggota  bertugas yang terlibat dengan pemeriksaan “Snap-check” yang diadakan di beberapa lokasi di Segamat baru-baru ini. | Gambar dan artikel oleh Polis Daerah Segamat

Menurutnya lagi tindakan yang dijalankan ini walau bagaimanapun tidak akan menjejaskan atau menggangu tugas rondaan di lokasi yang telah ditetapkan kerana tindakan yang dijalankan tidak mengambil masa yang lama dan tidak berjauhan dari lokasi tugasan sebenar.